Program Showcasing Tourism Product (STP) Pemangkin Produktiviti Pelancongan Negara

KUCHING, 22 Nov – Program Showcasing Tourism Product (STP) 2018 di bawah platform Tourism Productivity Nexus yang sudah masuk edisi keempat dilaksanakan untuk menjadi pemangkin atau catalyst industri supaya mewujudkan kesan rantaian untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan di setiap destinasi di seluruh negara.

Pengerusi atau Champion Tourism Productivity Nexus, Uzaidi Udanis berkata produktiviti diletakkan sebagai perubahan kepada persaingan atau game changers dalam usaha meningkatkan produktiviti negara dalam Rancangan Malaysia ke-11.

“Bagi meningkatkan produktiviti atau kecekapan, setiap sektor digerakkan melalui penubuhan Productivity Nexus yang dihasratkan sebagai pemangkin untuk menjana pertumbuhan produktiviti yang berteraskan industri.

“Keanggotaan Nexus ini adalah dalam kalangan persatuan-persatuan industri sektor pelancongan yang akan memainkan peranan utama sebagai change agents,” kata Uzaidi ketika berucap pada majlis STP 2018 di Hotel Pullman di Kuching, Sarawak, hari ini.

Di Sarawak, Tourism Productivity Nexus dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut membawa bersama produk terkini iaitu EzBE dan ePGM yang merupakan peralatan penilaian sendiri khusus untuk menilai kecemerlangan organisasi.

Pada program kali ini, para pemain industri pelancongan boleh menggunakan kedua-dua sistem ini untuk mengukur tingkat produktiviti yang dihasilkan oleh syarikat dalam perniagaan industri pelancongan.

Dalam satu temubual, Uzaidi berkata dalam industri pelancongan di negara kita, ada kira-kira 3 juta pekerja terlibat dalam industri berkenaan dan masalah utama ialah para pemain industri tidak memaksimakan sebaik mungkin peranan pekerja dalam usaha membawa pulangan yang lebih kepada syarikat.

Menurut beliau, dengan sistem EzBE dan ePGM ini, para penggiat industri boleh mengukur tingkat produktiviti secara sendiri tanpa mengupah syarikat perunding untuk melakukannya kerana ia biasanya akan melibatkan harga yang mahal.

Majlis STP pada hari ini di Hotel Pullman dirasmikan oleh Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg sekaligus merasmikan program pemadanan perniagaan antara pengusaha industri pelancongan dan penyedia lokasi pelancongan.

Mereka akan bertemu secara bersemuka membincangkan peluang perniagaan yang boleh didapati dan mendapat situasi menang-menang.

Sebelum ini program STP diadakan kali pertama di Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang. Selepas Sarawak, negeri Sabah akan menjadi destinasi seterusnya program STP.

Uzaidi berkata, program bersemuka atau dikenali sebagai platform Tourism-B2B ini akan dapat memudahkan lagi perkongsian data dan maklumat secara real-time untuk meningkatkan produktiviti sektor pelancongan.

Pada kali ini ada kira-kira 300 orang penggiat industri berkumpul di hotel berkenaan untuk membuat jaringan perniagaan bagi persediaan Tahun Melawat Sarawak pada tahun depan.

Selain program B2B, penggiat industri turut dibawa dari Kuala Lumpur untuk meninjau lokasi-lokasi pelancongan di Kuching bermula semalam di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan di Jong’s Crocodile Farm.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *