Status Halal : Kalau Kelirukan Pengguna, Boleh Didenda RM5 Juta

Anda sebagai pengguna selepas ini boleh ajar sedikit restoran yang dikenalpasti mengelirukan anda berkenaan status halal makanan yang mereka sediakan.

Mana-mana pihak yang cuba melakukan perkara itu boleh dikenakan denda sehingga tidak lebih RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, itu kata Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan untuk media hari ini. Menurutnya, perkara tersebut adalah berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya.

Menurut beliau lagi, peniaga dan pengusaha mesti mempunyai rasa sensitiviti yang tinggi untuk membangunkan perniagaan yang memenuhi keperluan pengguna di negara ini. Pengguna Muslim kena peka untuk memilih untuk makan di premis yang sudah dianugerahkan sijil halal yang sah sahaja oleh JAKIM.

Beliau mengulas laporan Bernama pada 7 Januari lepas berhubung kenyataan Presiden PERMAS Ayob Abd Majid yang mencadangkan JAKIM perlu mewajibkan pengusaha restoran untuk memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Jelas Mohamad Nordin, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan dan ia adalah berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tambah beliau.

“Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.

Mohamad Nordin menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada JAKIM bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan yang disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *