UTAMA : Homestay Kampung Ayer Limau, Pilihan Kehidupan Kampung Yang Tenang

Tahukah anda? Setiap homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ada ciri berbeza dan unik. Bukan semuanya sama. Setiap satu ada ciri istimewa yang membuatkan pengalaman berada dan menetap di sana satu pengalaman berharga.

Saya menginap di Homestay Kampung Ayer Limau di Masjid Tanah pada 27 Januari lepas bertemu dengan rakan yang juga pengusaha Kampungstay EnJ di kampung ini. Sampai-sampai sahaja di Kampung Ayer Limau, saya terus terpesona dengan rumah tradisional Melaka yang tersergam indah di tepi kolam.

Itu adalah rumah Zohaime Muhamad Sori yang cukup cantik dan hiasannya cukup tradisional. Dengan ukiran kayu di dinding dan juga pagar yang mengelilingi rumah berkenaan ia membuatkan hati terasa dekat dengan budaya Melayu bila berada di sini.

Saya mencadangkan kalau anda hendak merasa pengalaman hidup dalam suasana kampung ala Melaka, Homestay Kampung Ayer Limau adalah pilihan tepat. Dengan lokasi yang amat sesuai dikelilingi lokasi makan-makan yang sedap, mana lagi anda boleh berada kalau bukan di Melaka.

Pantai Tanjung Bidara pun tidak sampai 10km, Pengakalan Balak yang penuh dengan gerai makan ikan bakar pun tidak jauh sangat.

Di Kampung Ayer Limau dan di Kampungstay EnJ ini, ada satu aktiviti istimewa anda boleh buat. Anda boleh mengatur jadual melancong dan jalan-jalan khusus untuk apa yang anda hendak tengok dan rasai pengalaman di Kampung Ayer Limau.

Anda hendak tengok kambing, hendak menjala ikan, hendak pergi makan-makan, hendak ronda-ronda kampung atau hendak berehat sambil berbual-bual pun boleh di Kampung Ayer Limau.

Sebelum bercerita lebih panjang, anda kalau berminat boleh menghubungi Zohaime 019-275 3707 dan anda berbincang untuk reka jadual khas anda sama ada dengan sahabat atau keluarga.

Kalau anda ada aktiviti syarikat atau organisasi hendak diadakan, ia juga boleh diatur kerana Homestay Kampung Ayer Limau ada barisan rumah kampung dan keluarga angkat yang peramah dan sudi melayan karenah anda sepanjang anda berada di sana.

Jika menempah bilik di EnJ Kampungstay, bilik tempat anda menginap adalah bilik yang ceria dan tidak sama seperti rekaan hiasan bilik di kampungstay lain.

Hiasan cantik ini adalah hasil idea isteri Zohaime yang lebih mesra dipanggil Jenny sahaja. Ia menggabungkan pelbagai warna ceria termasuk gambar kata-kata motivasi menghias dinding tempat anda menginap.

Saya hanya menginap di sana satu malam, tapi sampai sekarang saya terbayang-bayang lagi suasana tenang di kampung berkenaan. Tambahan pula, Kampungstay berkenaan terletak betul-betul di sebelah rumah tradisional Melaka yang cantik itu.

Ada banyak pilihan bilik untuk anda pilih sama ada anda datang berdua, bertiga atau pun beberapa keluarga jika hendak menginap di sini. Kalau anda hendak berkelah di Tanjung Bidara atau berjalan-jalan di Pengkalan Balak atau pekan Masjid Tanah, tidur di EnJ Kampungstay adalah pilihan yang paling sesuai.

Bilik selesa, kawasan luas, suasana tenang dan dalam kawasan kampung cukup untuk memastikan percutian anda berjalan lancar dan dipenuhi kenangan yang manis-manis belaka.

Anda boleh menghabiskan masa bergambar di rumah tradisional Melaka itu untuk posing-posing di sekitar rumah berkenaan. Jika anda hendak mengambil rumah berkenaan untuk sesi photoshoot perkahwinan anda pun boleh dan memang sesuai lah kan kalau pengantin baru hendak bergambar di sini.

Hubungi Encik Zohaime di 019-275 3707 untuk maklumat lebih lanjut dan perancangan percutian gaya Kampung Ayer Limau anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *