Penggiat Pelancongan Optimis Inbound Tourism Bootcamp Bakal Ubah Landskap Pelancongan Negara

Para penggiat industri pelancongan di Kedah dan Langkawi optimis program bengkel Inbound Tourism Bootcamp 2019 (ITB) edisi pertama yang diadakan di pulau peranginan itu mampu menjana idea baru dalam mempromosikan pelancongan ke Malaysia dengan lebih baik khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 tahun depan.

Program ITB yang diadakan selama tiga hari dua malam mengenalpasti isu dan masalah yang dihadapi oleh penggiat industri dan mencari idea serta jalan penyelesaian untuk memantapkan promosi menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia melalui Inbound Tourism.

Inbound Tourism ialah pelancongan yang mengajak pelancong datang ke Malaysia sama ada dari luar negara ataupun daripada pelancong domestik.

Bengkel ITB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) serta Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) di bawah platform Tourism Productivity Nexus. Presiden MITA yang juga Pengerusi MTC serta Champion Tourism Productivity Nexus, Uzaidi Udanis melancarkan program berkenaan di Pulau Langkawi.

Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia, Prof Dr Louis Adaikalam menerima sijil daripada Presiden MITA, Uzaidi Udanis selepas selesai menyertai ITB Langkawi baru-baru ini.

Menurut beliau, ITB bertujuan melahirkan Champion atau pemain industri yang hebat dalam mempromosikan pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong datang melawat Malaysia.

Negara Malaysia menyasarkan sejumlah 36 juta pelancong datang ke negara ini dan menjana pulangan ekonomi sebanyak AS$40.8 bilion Dolar Amerika (RM168 bilion) tahun depan.

Seorang daripada peserta ITB Langkawi, Pengerusi MITA Negeri Kedah Rohaiza Hamzah berkata Uzaidi mewar-warkan kepada peserta satu impian untuk menambahkan pelancong untuk masuk ke Malaysia terutamanya ke Langkawi.

Rohaiza Hamzah Pengerusi MITA Negeri Kedah

“Walaupun saya sekitar 28 tahun dalam industri pelancongan ini tapi kadang-kadang kita terleka, terlalai dengan apa yang kita sudah buat, kita rasa kita sudah cukup tapi sebenarnya hari ini bila kita duduk hari ini sebenarnya tak cukup lagi.

“Sebenarnya, apa yang lebih besar lagi itu ada di depan kita tapi kita mungkin tak sedar,” katanya.

Sementara itu, bagi peserta dari Gerteknik Travel And Tours Sdn Bhd, Ilias Ismail, beliau berasa bertuah kerana terpilih dalam kursus berkenaan dan beliau yakin ia adalah satu peluang yang baik untuk usahawan-usahawan dalam bidang pelancongan.

Peserta ITB Langkawi dari Gerteknik Travel And Tours Sdn Bhd, Ilias Ismail

“Walaupun kita dah lama dalam bidang pelancongan kadangkala hala tuju kita lari daripada sasaran asal, dengan adanya taklimat dan orang-orang berpengalaman, kita boleh letakkan sasaran kita dengan lebih tepat lagi ke mana arah tuju pelancongan kita seterusnya.

“Saya rasa dengan adanya penggiat industri pelancongan pada hari ini, saya rasa ini adalah satu peluang untuk memperbaiki mana-mana kelemahan kita, dan saya rasa apa-apa yang dimaklumkan kepada kita akan membuka lembaran baru tentang masa depan pelancongan dalam negara dan di Langkawi,” katanya.

Pada ITB Langkawi, jurulatih program Invaran Ramasamy membimbing kira-kira 30 orang penggiat industri untuk merangka pakej pelancongan yang baru serta unik dan berbeza jauh daripada kebiasaan pakej pelancongan sebelum ini yang sudah selalu berulang-ulang dipromosikan kepada para pelancong.

Para peserta memberikan kerjasama yang baik dan mereka berjaya merangka satu pakej untuk dipromosikan kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman berbeza jika datang bertandang ke Langkawi. Mereka menyifatkan program ITB Langkawi adalah satu kejayaan yang sempurna.

#ThinkTourismActTourism #PerbadananProduktivitiMalaysia #MPC #MITA #TravelLangkawi #TourismProductivityNexus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *