Buru Pembunuh Adik Siti Masyitah Sampai Dapat

Bukan niat saya hendak menakutkan orang atau menyemai rasa takut dalam kalangan masyarakat tetapi kekejaman seperti ini patut diketahui dan orang ramai boleh mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara keselamatan anak-anak supaya kejadian sama tidak berulang.

Bagi netizen kejadian yang menimpa kanak-kanak perempuan, Siti Masyitah Ibrahim, 11, semuanya merasakan kejadian itu adalah satu pembunuhan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mayat arwah ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila ditemui dengan tangan dan kakinya diikat selain beberapa organ dalaman telah hilang.

Kalau dilihat berita dalam Harian Metro, kejadian itu bermula apabila jenazah kanak-kanak ditemui oleh orang kampung di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Pahang pada pukul 5 petang 9 Februari lepas.

Mangsa dilaporkan hilang sejak 30 Januari lepas.

Menurut ibu mangsa, Zaleha Abdullah, 35, dia dimaklumkan berhubung penemuan anaknya selepas waktu Asar sebelum dia dan suami Ibrahim Ali, 39, bergegas ke lokasi kejadian.

“Luluh dan berkecai hati saya apabila melihat keadaan anak saya seperti itu. Tangan dan kakinya diikat selain mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan kepala sudah terpisah daripada badan.

“Beberapa organ dalamannya juga tidak dijumpai. Semasa dia hilang sejak 11 hari lalu kami sudah cari dia di kawasan ini tetapi tidak menjumpainya,” katanya dipetik Harian Metro.

Zaleha berkata, dia mengecam mangsa adalah anaknya berdasarkan baju biru yang dipakai kanak-kanak itu sebelum dilaporkan hilang.

Menceritakan detik anaknya hilang, Zaleha berkata, dalam kejadian 5 petang 30 Januari lalu anaknya meminta duit RM1 untuk ke kedai dan berjanji akan pulang segera.

“Dia kata akan pulang awal namun selepas itu saya sudah tidak berjumpa dengannya. Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Pekan pada hari sama dan usaha mencarinya sekitar kampung ini dilakukan penduduk setiap hari.

“Dalam tempoh kehilangannya saya sentiasa berdoa supaya Allah SWT menemukan saya dengannya dalam apa juga keadaan… bila saya lihat mayatnya semalam saya jadi sedih, mengapa mereka memperlakukan anak saya sebegini,” katanya.

Zaleha menyifatkan Siti Masyitah yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu sebagai anak yang periang dan ceria.

“Mengapa mereka (pembunuh) tergamak lakukan perkara yang sebegini kejam kepada anak saya, apa dosanya?” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Rosli Mat Rasat, 38, berkata, dia antara yang terawal tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan rakannya berhubung penemuan mayat Siti Masyitah.

Katanya, kejadian pembunuhan kejam itu adalah yang pertama berlaku di kampung itu sejak 35 tahun lalu.

“Semasa dia hilang saya dan rakan-rakan mencarinya di seluruh pelusuk kampung termasuk di kawasan mayatnya di temui. Saya rasa dia dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di kawasan ini,” katanya.

Mohd Rosli berkata, Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang tiba ke lokasi kejadian pada 8 malam sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *