Inbound Tourism Bootcamp Dedahkan Rahsia Tingkatkan Produktiviti Pelancongan

Selepas program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) di Pahang berakhir pada 13 Februari lepas, kira-kira 35 orang penggiat industri pelancongan di negeri itu sudah bersedia dengan pakej-pakej pelancongan bernilai tinggi untuk dipromosikan ke negara luar bertujuan meningkatkan produktiviti pelancongan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Pakej-pakej yang dirangka sepanjang tiga hari dua malam berkampung di Hotel Cathayana menyediakan pengalaman unik dan berbeza kepada pelancong. Ia akan dipromosikan menggunakan platform pemasaran digital melalui aplikasi perkongsian pelancongan yang kini popular di serata dunia.

Antaranya ada pakej mencari buaya di Sungai Kuantan, ekspedisi mencari air terjun, aktiviti hammock, aktiviti memasak hidangan tradisional negeri Pahang dan pelbagai lagi pakej yang menawarkan pengalaman merasa sendiri oleh para pelancong yang bakal melawat negeri itu nanti.

Program ITB di Pahang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) di bawah kempen produktiviti Tourism Productivity Nexus. Ia juga ada satu program di bawah inisiatif Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC).

Turut mengikuti program berkenaan ialah Presiden MITA dan Champion Tourism Productivity Nexus Uzaidi Udanis.

Dalam ucapan dan taklimat beliau kepada peserta, program ITB bertujuan mewujudkan Champion atau penggiat industri bersifat juara di negara ini yang mampu menyediakan pengalaman bertaraf dunia serta akan membawa masuk pelancongan berpendapatan tinggi untuk berbelanja di Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Presiden MITA dan Champion Tourism Productivity Nexus menyampaikan amanat kepada peserta ITB Pahang di Hotel Chatayana, Kuantan.

“Peranan MITA dan MPC ialah kami tidak mahu penggiat industri pelancongan ketinggalan dan kita terlepas ramai pelancong ketika negara lain sedang rancak mempromosikan pelancongan ke negara mereka.

“Kita mahu bantu anda untuk jadi Champion dan bawa masuk pelancongan yang berpendapatan tinggi (high end) supaya mereka berbelanja bila datang ke Malaysia untuk melancong, kita hendak pemain industri di Pahang jadi Champion dalam pelancongan,” katanya.

Pada hari terakhir program, majlis penutup ITB Pahang disempurnakan oleh Pengerusi Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sharkar Shamsudin.

Pengerusi Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sharkar Shamsudin

Beliau berkata penggiat industri pelancongan di negeri Pahang dijemput menyertai ITB untuk mendapatkan maklumat terbaru tentang tarikan pelancongan yang baru serta membuat pakej-pakej yang baru kerana tidak mahu hanya pakej yang sama dan biasa sahaja dipromosikan kepada para pelancong.

“Kita mahu apabila pelancong-pelancong ini dia balik ke negara mereka, mereka akan memberikan komen yang baik kerana antara pelancong-pelancong yang ada mereka tidak akan pergi mengikuti pakej yang sama kerana Pahang kaya dengan produk pelancongan.

“Kalau pelancong hendak merasa durian, kita akan meletakkan mereka di Raub, ataupun mereka hendak melihat pantai, terutamanya pelancong dari Chengdu atau di tanah besar China yang tidak ada pantai mereka akan pergi ke daerah Kuantan tetapi kebanyakannya akan singgah di Genting Highlands.

“Ada yang mahu melihat hutan tropika dan kita hantar mereka ke Taman Negara. Ini bergantung kepada pakej yang dihasilkan,” katanya.

Sharkar berkata ITB juga diadakan untuk memastikan para penggiat industri meningkatkan tahap perkhidmatan mereka kepada pelancong dari segi ketepatan masa dan kebersihan.

Raja Zainal Raja Ahmad, Pengendali Kuantan River Tours

Sementara itu, pengendali pelancongan bot Kuantan River Tours yang mengusahakan tarikan menjejaki buaya di Sungai Kuantan, Raja Zainal Raja Ahmad, beliau menghargai usaha pihak MITA dan MPC di bawah Tourism Productivity Nexus untuk menjemput beliau untuk mengikuti kursus berkenaan.

“Saya dapati kursus ini sangat-sangat berguna untuk kami memajukan lagi kami daripada sudut mempromosikan Pahang ini,” katanya.

Pengasas Hafiz’s Cherating Activity Mohd Hafiz Abdul Majid pula menyifatkan para pengusaha pelancongan sebenarnya amat memerlukan program seperti ITB untuk memantapkan lagi strategi pemasaran mereka.

“Biasanya, kita merasakan apa yang kita lakukan, sudah satu perkara yang hebat tetapi sebenarnya apa yang kita amalkan selama ini masih tidak sempurna dan dalam bengkel ini mereka memberikan kita lebih banyak ilmu untuk menggilap kebolehan kita (peserta) yang menceburi bidang pelancongan ini,” katanya.

Selepas ITB Pahang, program ITB akan diadakan pula di Lahad Datu, Sabah pada 22 hingga 24 Februari nanti.

#InboundTourismBootcamp #ITBKuantan #MITA #MPC #MemacuProduktivitiNegara #PerbadananProduktivitiMalaysia #ThinkTourismActTourism #TravelPahang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *