Encore Melaka : Teknologi Canggih Jadi Medan Pamer Pementasan Kisah Negeri Bersejarah

Pertama sekali, saya ingin menyatakan bahawa secara jujurnya, saya tidak pernah mengetahui sebelum ini ada tarikan persembahan ala-teater yang canggih di Melaka. Saya memang kagum bila kali pertama menjejakkan kaki ke panggung teater Encore yang terletak dekat Impression City di Kota Syahbandar.

Dulu lama dulu, saya pernah mengacarakan satu konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur iaitu Konser Sang Pencinta, Datuk M Nasir dan ia adalah satu pengalaman unik dapat menakluki pentas Istana Budaya.

Tapi, bila dapat berada dalam panggung yang besar serta dilengkapi dengan teknologi tempat duduk penonton boleh berputar 360 darjah, saya terus terpesona dan memang teruja menyaksikan persembahan hebat di Encor Melaka.

Dari cerita asalnya, persembahan Encore Melaka diarahkan oleh Wang Chaoge yang sebelum ini merupakan tenaga kreatif dalam majlis pembukaan Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Encore Melaka mula mempersembahkan karya mereka pada 7 Julai 2018 dalam satu persembahan teater yang mengisahkan tentang Melaka. Ia dititipkan berkisahkan tentang sejarah, masa kini dan masa depan negeri Melaka.

Ada persembahan permainan gendang simbol kepada kehadiran Laksamana Cheng Ho ke Melaka. Segmen tentang kepelbagaian budaya dan kaum yang ada di Melaka antara yang paling menarik.

Anda bayangkan, di atas pentas yang besar dipenuhi air macam kolam dan jatuh pula dari atas air seakan hujan dan seakan air terjun di dalam panggung berkenaan.

Air jatuh dari atas bahagian pentas canggih, Encore Melaka menghiasi persembahan.

Saya berasa bertuah dapat menyaksikan persembahan Encore Melaka dalam Travelogue Malaysia Melaka siri 2, baru-baru ini. Saya agak kecewa sedikit kerana persembahan yang kami pasukan Travelogue Malaysia tonton, jadualnya pada hari bekerja, jadi penonton tidak terlalu ramai.

Jadi, bila bertepuk tangan, kesan yang dirasai kurang umpph.

Adakah satu hari nanti, Encore akan jadi pentas para penerbit hebat dunia akan mempersembahkan teater bertaraf dunia di panggung yang sama. Adakah teater yang gah satu masa dulu, Puteri Gunung Ledang akan mendapat peluang membuat persembahan epik mereka di sini.

BACA : Travelogue Melaka Dan Muar Food Trail, Trip Laluan Sutera Makanan Melayu (Siri 1)

Semua itu hanya angan-angan dan jangkaan kita sahaja, buat sementara ini, persembahan yang disajikan ialah tentang negeri Melaka yang penuh dengan keajaiban.

Dewan panggung boleh memuatkan maksimum 2,000 orang dengan sistem hidraulik yang menyokong sebuah pentas sepanjang 240 meter. Ada lebih 400 orang menyumbangkan kudrat mereka mempersembahkan karya ini.

Ada kebimbangan sedikit, jika ia berterusan menyajikan persembahan yang sama, bimbang ia akan satu hari nanti menjadi bosan dan orang ramai tidak berulang kali menontonnya kerana sudah tahu akan jalan ceritanya.

Dengan panggung berteknologi tinggi, Encore Melaka perlu mementaskan satu karya yang boleh memacakkan kenangan terus ke dalam hati penonton khususnya pelancong dari luar negara.

Panggung Encore Melaka dibina dengan ciri binaan seakan-akan Water Cube di Beijing yang merupakan gelanggang sukan renang ketika Sukan Olimpik yang dihoskan oleh negara China pada tahun berkenaan. Jika dirancang dan diuruskan dengan baik, masa depan Encore Melaka akan terus kekal seperti impian mereka di hujung persembahan.

Mereka mahu pada tahun-tahun yang akan datang, hatta pada tahun 3000 ke atas, Encore terus kekal bertapak di situ dan mempersembahkan pementasan hebat untuk tontonan para pelancong. Bagi saya, kunjungan ke Encore, Melaka satu kunjungan yang sempurna.

Travelogue Malaysia Melaka Food Trail dibawakan khas kepada anda dengan kerjasama antara Borakkita Media, #TravelogueMalaysia dan The Influenzas team, disokong oleh MITC dan Majlis Perbandaran Muar.

Terima kasih dan setinggi penghargaan kepada penaja kami, MITC, Encore Melaka, Justberrys, Melaka River Cruise, Mango Shake Royale Melaka, Restoran Cerana, Alai; Ujang Asam Pedas Claypot, Cendok Kampung Hulu, Muar Indah Villa, Muar Historia, Restoran Rabbit Home, Tourism Muar, Galeri Seni Muar, R&H Cafe, 434 Coffee dan Origina Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *