ITB Kelantan : Tidak Ada Persepsi Buruk Untuk Pelancong Melawat Negeri Cik Siti Wan Kembang

Tidak wujud persepsi buruk bahawa pelancong akan diberikan layanan yang kurang memuaskan jika melawat negeri Kelantan seperti yang kedengaran sebelum ini.

Ada orang berkata, bahawa jika perempuan pergi ke negeri Kelantan mereka akan dikenakan tindakan jika tidak memakai tutup kepala, tetapi itu sebenarnya adalah satu kata-kata bertujuan memburukkan industri pelancongan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Selain itu ada juga pihak menggunakan video yang viral untuk memburukkan keadaan di negeri dan kawasan tertentu sehingga menyebabkan industri pelancongan di sesebuah negeri boleh terjejas.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Mohd Razali Hussain berkata semua persepsi itu mesti diperbetulkan segera dengan memberikan maklumat yang betul supaya orang ramai khususnya pelancong tidak mendapat maklumat yang salah.

“Saya sendiri tidak mendapat secara khusus laporan itu, kalau boleh saya bagi komen, selalunya yang jadi viral ialah kes terpencil. kes berkenaan diambil secara tidak ada gambaran secara menyeluruh.

“Saya sudah sentuh tadi dalam ucapan, dari segi persepsi. Walaupun kita kata persepsi ini tidak benar tapi kita kena juga hadapinya, kita perlu beri maklumat yang sebenarnya.

“Kalau kita dengar dalam Parlimen, lebih 30 tahun kerajaan negeri Kelantan (PAS) memerintah tidak ada sesiapa dihukum dengan berat, kita kena beri maklumat-maklumat sedemikian supaya membantu, kita kena double the good, half the bad, itu boleh membantu,” katanya selepas berucap merasmikan program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 siri Kelantan yang diadakan di Kota Bharu.

Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan penubuhan Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) yang akan mengumpulkan empat negeri di kawasan Pantai Timur untuk bersama-sama bekerjasama meningkatkan produktiviti pelancongan di kawasan itu.

Program ITB di Kelantan adalah satu antara program di bawah ECTC dan platform Produktiviti Pelancongan Nexus (TPN) untuk membantu pengusaha pelancongan di empat negeri berkenaan meningkatkan produktiviti pelancongan dengan membantu mereka dalam bengkel mewujudkan pakej pelancongan yang berkualiti kelas dunia untuk mengajak pelancong luar negara datang melawat Malaysia.

Bengkel berkenaan akan diadakan selama tiga hari dua malam bermula hari ini sehingga 20 Mac 2019 di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Malaysia meletakkan sasaran sejumlah 36 juta pelancong berkunjung ke negara ini yang akan menjana pulangan ekonomi sebanyak AS$40.8 bilion Dolar Amerika (RM168 bilion) pada tahun 2020 sempena Tahun Melawat Malaysia yang akan diadakan pada tahun yang sama.

Program ITB di Kota Bharu adalah siri keempat selepas siri pertama di Langkawi, Kedah; siri kedua di Kuantan, Pahang dan siri ketiga di Lahad Datu, Sabah.

Bengkel berkenaan di Kota Bharu disertai oleh 50 penggiat industri terdiri daripada ejen pelancongan, pengusaha produk pelancongan, dan ikon sosial media. Program di Kelantan adalah siri kedua di bawah ECTC selepas siri pertama di Kuantan sebelum ini.

Mohd Razali berkata program ITB ini yang berteraskan Peningkatan Produktiviti Enterprais (EPP) akan diadakan di seluruh negara selama 12 siri bermula Januari sehingga Julai tahun ini. Ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan keuntungan pengusaha pelancongan bersaiz kecil dan sederhana.

“Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung, kita juga perlu peka dan prihatin dengan kesan ‘mass tourism’ iaitu bila mana aktiviti pelancongan itu tidak lestari lagi untuk sesuatu destinasi.

“Ini dapat dilihat dari pembangunan yang tidak terkawal serta pengurusan sumber alam yang tidak sistematik yang akan mengganggu-gugat alam sekitar destinasi tersebut,” kata beliau.

Sementara itu Champion TPN dan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata negeri Kelantan banyak produk pelancongan yang boleh diketengahkan dan penuh ciri istimewa kebudayaan negeri Kelantan.

Presiden MITA menyerahkan buku 1001 Tourism Ideas kepada Ketua Pengarah MPC Datuk Mohd Razali Hussain selepas majlis perasmian Inbound Tourism Bootcamp 2019, di Kota Bharu, Kelantan.

“Negeri Kelantan ada Wau Bulan dan banyak seni lagi yang berteraskan budaya, paling menarik ialah kepelbagaian makanan di negeri ini yang boleh dipromosikan untuk bawa lebih ramai pelancong dari luar negara.

“Dalam program ITB inilah, kita akan melihat masalah serta isu dalam produk lama dan mungkin mewujudkan produk baru yang menawarkan pengalaman yang lebih unik dan istimewa untuk dinikmati oleh pelancong untuk pengalaman itu dibawa pelancong berkenaan pulang ke negara mereka,” kata beliau.

#ITBKotaBharu #Kelantan #TravelKelantan #Pelancongan #MITA #MPC #ThinkTourismActTourism #MemacuProduktivitiNegara #TourismProductivityNexus #ECTC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *