Inbound Tourism Bootcamp Berkampung Di Kota Bharu

Bengkel unggul peningkatan produktiviti pelancongan kini berkampung di Kota Bharu, Kelantan untuk mendedahkan rahsia mempromosikan pelancongan dengan cara baru yang lebih berkesan dan efektif untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Dengan kejayaan sudah tercipta di Langkawi, Kuantan dan Lahad Datu, Kota Bharu yang sudah tersedia dengan kawasan tumpuan pelancongan yang biasanya mendapat perhatian dunia kini hanya menunggu masa untuk muncul sebagai negeri yang bakal menerima kemasukan pelancong yang ramai dari luar negara.

Di Kelantan, ada makanan yang popular di negara ini iaitu Budu, kuih Akok dan Taik Itik, ada tarian tradisional serta seni yang terkenal iaitu permainan Wau Bulan, identiti negeri Kelantan sebagai negeri yang banyak memiliki kawasan tumpuan berasaskan Islam serta pantai yang cantik.

Program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Kelantan 2019 di Kota Bharu berkumpul bersama-sama dengan kira-kira 50 orang pengusaha pelancongan di negeri Kelantan akan mencari elemen baru yang boleh digunakan untuk mempromosikan Kelantan, jauh daripada cara biasa yang menawarkan hanya pakej-pakej biasa sebelum ini.

Pakej biasa adalah pakej yang hanya membawa pelancong melihat sekeliling negeri Kelantan tanpa menawarkan pengalaman unik dan istimewa kepada tetamu yang datang melawat negara ini.

Dengan program ITB, hasil bimbingan menyeluruh sekumpulan ikon dalam industri pelancongan, peserta bengkel akan dapat menghasilkan pakej pelancongan yang menawarkan pengalaman unik serta akan memaparkan sisi lain negeri Kelantan yang sebelum ini mungkin terlepas pandang dalam promosi pelancongan negeri ini.

Para peserta diberikan nasihat dan tunjuk ajar oleh Champion Produktiviti Pelancongan Nexus (TPN) dan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis, Trainer Pelancongan Isvaran Ramasamy dan Trainer Pemasaran Pelancongan Ahmad Najib Ariffin sepanjang tiga hari dua malam di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Trainer Inbound Tourism Bootcamp 2019 Kelantan Ahmad Najib Ariffin memberikan bimbingan kepada pengusaha pelancongan di negeri Kelantan dalam program ITB Kelantan di Kota Bharu,
Trainer Inbound Tourism Bootcamp 2019 Kelantan, Isvaran Ramasamy membincangkan tentang pakej pelancongan yang dihasilkan oleh para peserta.
Trainer Inbound Tourism Bootcamp 2019 Kelantan Muzammil Mardzuki mendengar pendapat daripada peserta bengkel berkenaan teknik pemasaran pelancongan.

Turut membantu ialah seorang Pakar Pemasaran Pelancongan menggunakan cara Experience Host iaitu Muzammil Mardzuki.

Para peserta diberi bimbingan secara dekat untuk memastikan pakej yang dirangka betul-betul berkualiti untuk dipromosikan di peringkat dunia melalui aplikasi promosi pelancongan yang popular di dunia.

Menurut Uzaidi ketika menyampaikan sedikit ucapan pada hari pertama semalam, beliau berkata pasaran pelancongan amat besar di Singapura kerana di republik itu menempatkan syarikat-syarikat besar dunia dengan pekerja-pekerja yang memiliki pendapatan tinggi.

“Jika kita dapat sasarkan Singapura sahaja dulu, itu sudah memadai. Kita perlu mempromosikan Kelantan supaya para pelancong berpendapatan tinggi ini datang ke Kelantan dan berbelanja untuk menempah pakej-pakej percutian yang berkualiti ini.

“Persoalannya, jika ada pakej yang berkualiti tetapi para pengusaha pelancongan masih tidak bersedia juga tidak ada gunanya, dalam program ITB inilah kita perlu menjalan persediaan untuk menerima kehadiran pelancong,” kata Uzaidi.

Program ITB diadakan pada tahun ini sebagai persediaan untuk para pengusaha pelancongan untuk bersedia dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2020 untuk memenuhi sasaran 36 juta pelancong datang dan melawat Malaysia.

Bengkel di ibu negeri Cik Siti Wan Kembang itu merupakan siri ke-4 dalam program ITB selepas negeri Kedah sebagai negeri pertama selepas itu di Pahang dan kemudian di Sabah. Sebanyak 12 siri ITB sudah dirancang sepanjang tahun 2019 untuk menyemarakkan lagi suasana industri pelancongan di negara ini.

Pelbagai pakej menarik yang baru sudah mula ditempah pelancong dari luar negara di Langkawi, Kuantan dan di Lahad Datu selepas selesai program ITB di sana.

Paling mendapat tempat di mata dunia ialah penemuan Blue Hole di kawasan perairan di Lahad Datu, Sabah. Blue Hole ialah kawasan idaman penyelam skuba. Ia dikenali dengan nama Blue Hole di Terumbu Tingkayu yang selama ini tidak dijangka oleh sesiapa.

Ia ditemui seorang daripada peserta ITB di Lahad Datu iaitu Glen Hapirulla yang sebelum itu telah menyelam di kawasan Blue Hole itu selama sembilan tahun dan membawa penyelam ke situ sejak dua tahun lepas. Secara teknikalnya, Glen sudah menemui Blue Hole itu di Lahad Datu sejak dua tahun lepas.

Untuk pengetahuan, Blue Hole itu ditemukan dengan dua struktur lubang biru, dianggarkan sedalam 15 meter (45 kaki) ke dasar laut dan ia merupakan penemuan tunggal seumpamanya di Malaysia.

Perjalanan ke Blue Hole itu hanya memakan masa 30 minit menaiki bot laju dari Silam Coast Conservation Area (SCCA) dan kedudukannya berdekatan dengan Pulau Sipadan di Semporna.

Jadi, pelancong dari Semporna boleh terus ke kawasan Teluk Darvel ini.

Selain boleh dibuka kepada penyelam sebagai ‘open water’, Blue Hole ini juga boleh dijadikan tapak aktiviti ‘sea walking’ yang cukup terkenal di pulau di Sabah.

Jika Blue Hole ini dipromosikan sebagai tapak selam skuba, ia boleh menjadi tarikan pelancongan hebat sebaris dengan The Great Blue Hole di Belize, Blue Hole Deam di Bahamas dan Dragon Blue Hole di China.

Negeri Kelantan juga bakal berubah wajah dalam industri pelancongan negara.

Program ITB Kelantan adalah program di bawah platform TPN dan Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC).

#ITBKotaBharu #Kelantan #TravelKelantan #Pelancongan #MITA #MPC #ThinkTourismActTourism #MemacuProduktivitiNegara #TourismProductivityNexus #ECTC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *