Karnival Pelancongan MITA Menanti Kehadiran Anda Di MAEPS Serdang 29 – 31 Mac Ini

Karnival yang menarik dan dinanti-nantikan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Malaysia iaitu Karnival Pelancongan MITA 2019 kini hanya menunggu detik ia bermula iaitu pada 29 Mac ini bertempat di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di Serdang selama tiga hari sehingga 31 Mac nanti.

Akses untuk ke pusat karnival kini begitu mudah kerana perkhidmatan e-hailing, MyCar akan memberikan kod promosi kepada orang ramai yang boleh digunakan untuk mendapatkan kereta untuk ke karnival berkenaan.

Paling istimewa ialah, penumpang yang menggunakan kod promosi itu akan dihantar terus ke Dewan D tempat di mana Karnival Pelancongan MITA diadakan dan penumpang akan diambil dari tempat yang sama dan dihantar terus ke rumah mereka ketika pulang.

Tahun ini adalah tahun ke-4, pihak penganjur iaitu Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) menganjurkan acara seumpama ini dan kali ini mereka menukar namanya daripada MITA Travel Fair kepada MITA Tourism Carnival kerana terdapat banyak acara yang diaturkan sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Setiausaha Agung MITA dan juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan MITA, Adam Kamal berkata pada acara tahun ini, pihak MITA akan menganjurkan persembahan konsert selama 12 jam iaitu Hot FM Big Jam yang akan menampilkan persembahan 24 orang artis tempatan.

“Acara paling utama ialah karnival berkenaan. Pada acara itu ada bahagian pameran untuk percutian domestik dan juga antarabangsa yang mana rakan penaja untuk percutian antarabangsa ialah Indonesia, manakala domestik ialah negeri Terengganu.

“Pada kali ini, kami berjaya membawa penyertaan sebanyak 10 buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak, Selangor dan Melaka,” kata Adam pada sidang media sempena Karnival Pelancongan MITA di ibu pejabat MITA di ibu negara, semalam.

Program lain termasuk Festival Makanan Malaysia yang menampilkan 28 buah gerai makanan tempatan, program pameran seni dan kraftangan yang akan menampilkan kesenian dan hasil kraftangan dari negeri yang turut serta termasuk keris, Program Malaysian Riders iaitu di mana para penunggang motosikal berkumpul dan Hot FM Big Jam.

Konsert berkenaan akan berlangsung selama 12 jam bermula dari pukul 12 tengah hari hingga pukul 12 tengah malam pada 30 Mac nanti.

Di MAEPS nanti, mereka juga akan membuka semua laman-laman pameran berkaitan pertanian kepada orang ramai termasuk membuka ruang untuk orang ramai memegang dan membelai haiwan-haiwan peliharaan seperti Petting Zoo sepanjang Karnival Pelancongan MITA berlangsung.

Bagi Presiden MITA, Uzaidi Udanis karnival itu bukan seperti ekspo pelancongan biasa tetapi ia adalah satu titik perubahan kepada industri pelancongan di Malaysia apabila produk pelancongan yang menyediakan pengalaman baru dan istimewa akan dipromosikan pada acara itu.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis

“Dengan kepelbagaian program dan acara yang sudah diaturkan, orang ramai diajak untuk membawa keluarga dan anak-anak untuk meninjau pakej pelancongan serta menyertai aktiviti yang ada yang sesuai untuk segenap lapisan masyarakat,” kata Uzaidi.

Pada Karnival Pelancongan MITA kali ini, ada pertandingan cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berjumlah RM200,000 iaitu hadiah seperti motosikal, pakej percutian dan gajet.

Ada 300 gerai jualan bakal menanti pengunjung dengan pakej percutian yang harganya murah dan ia boleh digunakan sehingga hujung tahun ini.

Pihak MITA meletakkan sasaran seramai 300,000 orang akan datang memeriahkan Karnival Pelancongan MITA 2019 di MAEPS Serdang pada 29 hingga 31 Mac ini nanti.

Rakan-rakan penaja untuk Karnival Pelancongan MITA kali ini ialah syarikat penerbangan rasmi ialah Air Arabia, Rakan Penaja Online, TourPlus dan MyCar.

Leave a Comment