Menteri Puji Usaha MITA dan MPC Tingkatkan Produktiviti Pelancongan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi memuji usaha yang dilakukan oleh Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) untuk mempromosikan Malaysia dengan lebih kuat lagi untuk membawa lebih ramai pelancong datang melawat Malaysia.

Menurut beliau persatuan yang berperanan membawa masuk pelancong ke dalam Malaysia itu adalah sebuah persatuan yang penting kerana MITA adalah persatuan yang akan membawa pelancong daripada luar negara masuk ke Malaysia.

“Dengan usaha membawa pelancong masuk ke negara kita, maka di situlah negara kita akan mejana pendapatan daripada pelancong-pelancong yang datang,” katanya ketika berucap melancarkan Karnival Pelancongan MITA (MTC) 2019 di MAEPS Serdang, semalam.

Dalam ucapan beliau, beliau menyatakan bahawa beliau ada bisik-bisik dengan Presiden MITA, Uzaidi Udanis supaya datang bertemu dengan beliau jika mahu menganjurkan apa-apa program berkaitan industri pelancongan untuk melihat apa-apa yang beliau boleh bantu.

BACA : Kelantan Bakal Sohor, Dilawati Ramai Pelancong Kelas Dunia Tidak Berapa Lama Lagi

“Seberapa boleh saya bantu, saya akan bantu… lebih-lebih lagi kita akan menghadapi Tahun Melawat Malaysia tahun depan, kita dijangka akan membawa masuk 30 juta pelancong ke Malaysia dengan mengharapkan pendapatan sebanyak RM100 bilion,” kata Mohamaddin dalam ucapannya.

Beliau berkata dengan kerjasama pihak kementerian dengan pihak MITA serta syarikat pelancongan negara dijangkakan akan menerima kehadiran sekitar angka berkenaan atau lebih dari 30 juta pelancong.

Presiden MITA Uzaidi Udanis (tengah, kanan) mengiringi Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi meninjau lokasi pameran di Karnival Pelancongan MITA di MAEPS Serdang.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Silam turut memuji kerjasama MITA bersama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam menganjurkan pelbagai program untuk membantu meningkatkan produktiviti syarikat pelancongan untuk membantu meningkatkan pendapatan industri berkenaan.

“Semua program ini bagus, semua bagus saya beri sepenuhnya sokongan,” kata Mohamaddin selepas meninjau pameran berkaitan inisiatif MPC dalam meningkatkan produktiviti di booth mereka pada karnival berkenaan.

Tahun lepas, di bawah satu platform Produktiviti Pelancongan Nexus (TPN) program pemadanan perniagaan (B2B) diadakan di beberapa buah negeri untuk menemukan pengendali produk pelancongan dengan ejen pelancongan supaya mereka dapat memeterai perniagaan bersama dan dapat meningkatkan produktiviti.

Tahun ini, kedua-dua organisasi itu bekerjasama untuk mengadakan program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 untuk membimbing sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri berkenaan untuk mencari cara baru mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa menggunakan platform digital melalui platform Produktiviti Pelancongan Nexus (TPN).

Selain itu, tidak lama sebelum ini, Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) juga diwujudkan dalam kalangan empat buah negeri yang terletak di Pantai Timur iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Keempat-empat negeri berkenaan akan bekerjasama dalam industri pelancongan untuk meningkatkan produktiviti di dalam kawasan berkenaan.

Pengarah Pejabat Pengurusan Penyampaian MPC, Zahid Ismail (kiri, sekali) memberikan penerangan kepada Mohamaddin tentang usaha MPC meningkatkan produktiviti pelancongan di booth MPC pada Karnival Pelancongan MITA 2019 di MAEPS, Serdang, semalam sambil diperhatikan oleh Exco Pelancongan Negeri Pahang Datuk Seri Sharkar Shamsudin (dua, dari kanan) dan Uzaidi.

Program ITB sudah berlangsung di empat lokasi iaitu di Langkawi, Kedah; Kuantan, Pahang; Lahad Datu, Sabah dan Kota Bharu, Kelantan.

Pada 8 hingga 10 April ini, program ITB akan bertandang ke Johor Bahru, Johor selama tiga hari untuk membantu pengusaha industri di negeri selatan tanah air itu.

Secara keseluruhan Mohamaddin berpuas hati dengan penganjuran MTC 2019 yang berjaya menarik kedatangan orang ramai yang mendapatkan pakej pelancongan di seluruh negara untuk bercuti bersama keluarga.

Bermula 29 Mac, pelbagai aktiviti diadakan dengan hadiah cabutan bertuah sehingga RM200,000 ditawarkan, ada karnival makanan serta ada konsert Hot FM Big Jam diadakan pada 30 Mac. Semalam turut diadakan konsert Kpop dari kumplan D-Crunch yang dibawa khas dari Korea Selatan.

Sementara itu, Uzaidi yang juga Champion platform TPN di bawah MPC amat berpuas hati dengan penganjuran MTC 2019 dengan kehadiran yang menggalakkan sepanjang tiga hari berlangsung.

Dalam ucapannya, karnival MTC 2019 bukan karnival biasa tetapi ia adalah satu perubahan kepada cara promosi pusat tumpuan pelancongan dalam negara untuk membawa lebih ramai pelancong dari luar negara datang ke Malaysia.

Leave a Comment