40 Ejen Pelancongan Dari China Terpesona Dengan Tarian Igal-Igal Dari Lahad Datu

Kira-kira 40 orang ejen pelancongan dari negara China semalam, terpesona dengan persembahan tarian tradisional Igal-Igal dari Lahad Datu, Sabah. Ia dipersembahkan oleh dua wakil dari Pulau Buta Eco Tourism pada sesi pemadanan perniagaan di Genting Highland, semalam.

Ketika tarian itu dipersembahkan, para ejen yang hadir berdiri dan merakamkan tarian berkenaan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Selain itu, mereka juga menjadi saksi betapa hebatnya kawasan tumpuan pelancongan di Malaysia hasil dari pembentangan seramai 20 pengusaha pelancongan Malaysia berkaitan pakej pelancongan yang mereka tawarkan untuk dipromosikan kepada pelancong dari negara Tanah Besar itu.

Para penggiat industri dan ejen dikumpulkan dalam satu program Showcasing Tourism Product (STP) Edisi Khas yang diadakan khusus untuk mencari padanan yang sesuai untuk para ejen dari China dengan produk pelancongan yang ada di Malaysia.

Kesemua mereka adalah hasil daripada program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 dari empat negeri yang menjadi lokasi penganjuran bengkel intensif industri pelancongan itu. Penggiat industri daripada Kelantan dan Pahang adalah peserta daripada dua negeri yang menjadi sebahagian daripada Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC).

Program STP Edisi Khas dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dibawah platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan kerjasama Resort World Genting. Pengerusi atau Champion TPN, Uzaidi Udanis hadir dan memberikan ucapan kepada para ejen yang hadir dari China sebelum sesi pembentangan bermula.

Beliau berkata program STP itu menempa sejarah kerana program itu akan mencari padanan sesuai di antara pengusaha dari China dengan pengusaha dari Malaysia.

“Kami berharap dengan program ini kita akan dapat melihat produk baru, pakej baru dan tarikan baru untuk kami (pengusaha Malaysia) mempromosikannya ke pasaran pelancongan China.

“Para pengusaha di Malaysia juga ingin mendengar daripada anda semua apakah cabaran, apakah masalah, apa jenis pakej pelancongan yang kami para pengusaha tawarkan kepada anda.

“Nexus Produktiviti Pelancongan adalah di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia iaitu sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kami berada di sini bersama dari agensi kerajaan, swasta untuk membantu anda untuk menghantar lebih ramai pelancong ke Malaysia,” kata Uzaidi yang juga merupakan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan, Datuk Seri Sharkar Shamsudin turut hadir sebagai wakil Kerajaan Negeri Pahang.

Para penggiat industri pelancongan yang hadir merupakan peserta ITB yang dipilih berdasarkan kesediaan produk masing-masing dari Langkawi, Kedah; Kuantan, Pahang; Lahad Datu, Sabah dan Kota Bharu, Kelantan.

Antara yang menarik perhatian ialah pembentangan dari Pengurus Operasi Mawar Traveller dan Azdpro Network Sdn Bhd yang menawarkan pakej cabaran rekreasi di Sungai Lembing, Kuantan tetapi beliau boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan agak fasih membuatkan para ejen tertarik dengan cara beliau membentangkan produknya.

Pada majlis berkenaan juga, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pihak TPN dan Ketua Konsortium dari China untuk membawa 10,000 pelancong yang berpendapatan tinggi datang melawat Malaysia dari China.

TPN diwakili oleh Uzaidi manakala pihak Konsortium diwakili Ketuanya Ho Ling.

Turut dimeterai ialah MoU di antara syarikat pelancongan Eyes Holiday dan GuangXi Hong Yue International Travel Services Co. Ltd untuk penganjuran pertandingan Square Dance yang akan diadakan di Resorts World, Genting Highland.

#China #MPC #MITA #TourismProductivityNexus #Malaysia #ResortWorldGenting #TravelMalaysia #VisitMalaysia2020 #ThinkTourismActTourism #ECTC #InboundTourismBootcamp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *