Menyingkap Kisah Pusara Dekat Rumah Di Masjid Tanah, Melaka

Kalau anda memandu di sekitar Masjid Tanah, Pengakalan Balak dan Alor Gajah di Melaka, ada tak ternampak beberapa rumah yang ada pusara di dalam kawasan rumah? Kalau ada pernah tak tertanya-tanya di dalam kepala anda kenapa beberapa buah rumah ada kubur begitu dekat dengan rumah.

Selepas beberapa tahun, barulah saya dapat mengetahui kisah sebenar di sebalik kewujudan pusara purba yang sudah berusia beratus tahun ini.

Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau, Zohaime Muhamad Sori menjelaskan kepada saya cerita sebenar disebalik kewujuda tiga pusara di dalam kawasan sebuah rumah di Lorong JBS 7, di Masjid Tanah. Sekurang-kurangnya saya dapat tahu kisah satu kubur daripada kisah-kisah kubur yang lain yang ada di sekitar daerah ini.

Kesimpulannya ialah, pada zaman dahulu sekitar tahun 1900 dan 1800, keadaan jalan di dalam kawasan kampung tidak terurus kebanyakan masih dalam kawasan hutan. Kubur berkenaan kebiasaannya adalah kubur orang yang membuka tanah di kawasan rumah berkenaan.

Menurut kata Zohaime, sebelum mereka meninggal dunia, mereka akan meminta ahli keluarga untuk mengebumikan mereka berdekatan dengan rumah kerana ketika itu jarang wujud tanah perkuburan yang besar kerana jarak dari rumah ke rumah yang lain agak jauh.

Bagaimanapun, tiga pusara yang dipaparkan ini ada jalan cerita berbeza. Ada kisah yang tersendiri.

Cerita berkenaan dikongsikan oleh Zohaime dan Pengusaha Katering Norhashikin Ali kerana mereka berdua ada kaitan rapat dengan keluarga arwah yang dikebumikan di pusara berkenaan yang terletak dalam kawasan Kampung Ayer Limau.

“Kita lihat ada kawasan kecil perkuburan yang terletak di dalam kawasan rumah orang kampung, untuk makluman, kubur yang ada di sini adalah kubur mereka yang terawal datang ke Kampung Ayer Limau dan membuka tanah di kawasan berkenaan.

“Apa yang telah diberitahu oleh orang-orang tua dahulu, bahawa pada sekitar awal tahun 1900, Raja Senara daripada Medan akibat pergolakan politik yang tidak stabil di Medan melarikan diri bersama anak-anaknya enam orang untuk datang dan menetap di Kampung Ayer Limau,” kata Zohaime.

Beliau berkata selepas tanah diteroka, rumah dibina dan anak-anak Raja Senara dipastikan selamat serta selesa, Raja Senara pulang kembali ke Medan dan dipercayai terbunuh akibat sengketa politik.

Untuk tempahan program di Homestay Kampung Ayer Limau, hubungi Encik Zohaime +6019-275 3708 dan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut Zohaime, keturunan Raja Senara ada enam orang hanya seorang sahaja lelaki dan ada lima orang anak perempuan yang mana maklumat yang diterima menyatakan hanya seorang anak Raja Senara kuburnya ada di Kampung Ayer Limau. Kubur baki lima orang adik-beradik anak Raja Senara tidak diketahui dan mungkin berada di kawasan perkuburan yang lain.

“Ini menunjukkan orang dulu yang telah membuka kawasan kampung, mereka lebih rela dikebumikan di tempat di mana mereka sudah mencurahkan titik peluh mereka, dan disemadikan dekat dengan rumah mereka,” kata Zohaime.

Itulah cerita kenapa tiga perkuburan itu berada dalam kawasan sebuah rumah di Kampung Ayer Limau. Dipercayai kubur berkenaan adalah kubur seorang daripada anak Raja Senara bersama anak beranaknya sekali. Difahamkan kubur yang anda lihat sebenarnya hanya tiga dan bukan empat.

Ini adalah kerana bahagian atas satu daripada batu nisan yang telah patah dan dicacakkan sahaja di dalam kawasan perkuburan itu.

Ini hanyalah selembar kisah unik berkaitan sejarah yang tak terungkap di negeri Melaka yang sudah tersedia banyak dengan khazanah sejarahnya.

Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau, Zohaime Muhamad Sori (kanan) bercerita tentang asal usul pusara berkenaan sambil diperhatikan oleh Norhashikin Ali.

Zohaime dan Norhashikin tahu kisah-kisah lain berkenaan kubur-kubur lain dan anda boleh datang ke Homestay Kampung Ayer Limau berbincang dan boleh mengambil pakej untuk merasai pengalaman tinggal di homestay berkenaan serta mengetahui titian sejarah yang ada di kampung itu.

Leave a Comment