Inbound Tourism Bootcamp Luaskan Ilmu Pelancongan Ke Negeri Johor Darul Takzim

Program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 hari ini meluaskan penyebaran ilmu meningkatkan produktiviti pelancongan ke negeri selatan tanah air iaitu Johor Darul Takzim atau lebih popular pada masa sekarang dikenali sebagai JDT. Industri pelancongan di negeri Johor adalah penting kerana ia terletak berjiran dengan republik Singapura.

Program bengkel intensif pelancongan yang diadakan di Hotel KSL Hotel and Resort, Johor Bahru dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Abdul Rahim Yusoff.

Program ITB Johor dianjurkan oleh MPC dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) bersama kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada penggiat industri pelancongan terpilih dari seluruh negeri Johor.

Program di Johor Bahru adalah episode kelima bengkel pelancongan itu selepas diadakan di Kedah, Pahang, Sabah dan Kelantan. Turut hadir ialah Presiden MITA dan juga Champion atau Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN), Uzaidi Udanis.

Bengkel ITB diadakan di bawah platform TPN dan edisi Johor adalah program di bawah inisiatif Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) bersama dengan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keempat-empat negeri berkenaan bersetuju untuk membentuk ECTC bagi meningkatkan lagi kualiti produk pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong ke semua negeri berkenaan.

Dalam ucapan perasmian, Abdul Rahim berkata selepas menjalankan kajian ada sektor didapati mencatatkan produktiviti melebihi purata kebangsaan seperti sektor perbankan yang dikawalselia dengan ketat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) membuatkan pihak yang terlibat dalam indusri perbankan menjadi sangat cekap.

“Ada juga sektor-sektor produktivitinya lebih rendah daripada purata produktiviti kebangsaan umpamanya peruncitan dan pemborongan, ia lebih rendah daripada purata produktiviti kebangsaan.

“Satu lagi ialah pembinaan, walaupun kita kata ada bangunan naik tapi dia punya produktiviti masih rendah kerana komponen dalam pembinaan dijana oleh pekerja asing yang dari segi kemahirannya kurang kemahiran dan kita terpaksa bawa masuk ramai untuk mempercepatkan lagi pembinaan, kerana itu produktiviti mereka rendah.

“Salah satu lagi yang rendah ialah pelancongan yang juga lebih rendah dari purata kebangsaan. Oleh kerana itu, Nexus Pelancongan (TPN) ditubuhkan untuk menggiatkan lagi produktiviti mereka supaya kita dapat membantu meningkatkan produktiviti mereka pada peringkat kebangsaan,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Abdul Rahim Yusoff sedang menyampaikan ucapan perasmian ITB Johor di KSL Hotel and Resort, Johor Bahru.

Negeri Johor sudah dikenali dengan kawasan tumpuan pelancongan sejak dulu dan kini lebih banyak tarikan pelancongan muncul dengan pelbagai pengalaman unik disediakan untuk para pelancong.

Kini, di Johor ada Desaru Coast Adventure Water Park, sebuah taman tema air baru yang baru dibuka tahun lepas di kawasan pantai di Desaru. Di Johor ada Pulau Rawa iaitu sebuah pulau terpencil di Mersing yang sangat cantik setaraf dengan destinasi pulau popular lain di Sabah dan Terengganu.

Ada Pulau Sibu yang juga ada di Mersing yang menawarkan kecantikan terumbu karang dan air lautnya yang jernih sesuai untuk aktiviti air seperti snorkeling dan selam skuba.

Bagi pelancong berkeluarga, antara tarikan popular ialah Legolan Malaysia Resort yang terlekat di bandar raya Johor Bahru. Ia menawarkan pelbagai aktiviti dalam dan luar yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Uzaidi dalam ucapannya pula, menganggap negara jiran Singapura sebagai lubuk emas untuk pengusaha industri di Johor memandangkan jaraknya yang dekat dan bilangan pelancong berpendapatan tinggi yang menetap di sana.

“Singapura adalah lubuk emas, semua negeri sangat cemburu dengan Johor sebab depan mata kita (pengusaha pelancongan) adalah lubuk emas iaitu pasaran yang amat bagus untuk kita tarikkan untuk melawat ke Malaysia.

“Syarikat-syarikat besar dunia sebahagian besarnya ada pejabat wakil mereka di Singapura, kalau kita dapat sekurang-kurangnya 10 peratus dari kakitangan syarikat besar ini, kita boleh tarik mereka datang ke Johor untuk mesyuarat, seminar ia akan menjadi satu perubahan yang mendadak di negeri Johor,” kata Uzaidi.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis

Antara syarikat penggiat industri yang menyertai program bengkel ITB Johor ialah Johor City and Nature Tour Guide Association, Ali One Travel and Tour Sdn Bhd, Explore World Travel Sdn Bhd, Mimosa Travel and Tours Sdn Bhd dan Lotus Desaru Beach Resort.

Pada tahun lepas, Johor merekodkan kedatangan 7.52 juta kemasukan pelancong dari luar negara menerusi 14 pintu masuk dari Januari hingga Jun tahun berkenaan, ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Pelancongan Negeri Johor, Liow Cai Tung dengan negara Singapura mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 5.6 juta pelancong.

Katanya, ia diikuti Indonesia (690,998), China (386,778), Filipina (157,594), India (101,750), Jepun (59,901), Korea Selatan (62,474) dan Thailand (47,758), menurut laporan akhbar Berita Harian bertarikh 9 Disember 2018.

Uzaidi berkata ada laporan baru-baru ini bahawa kedatangan pelancong dari Singapura agak merosot sedikit ke Johor tetapi ia boleh disebabkan kerana beberapa faktor.

Dalam bengkel ITB Johor, para jurulatih berpengalaman dalam bidang pelancongan akan memberikan bimbingan secara rapat dengan para penggiat industri untuk mengenalpasti masalah dan isu yang ada menjejaskan industri pelancongan Johor.

Selepas itu, semua peserta akan mencari ruang dan cara baru untuk menggiatkan promosi pelancongan negeri Johor ke luar negara. ITB Johor akan dikelolakan oleh jurulatih berpengalaman, Isvaran Ramasamy, Ahmad Najib Ariffin dan Muzammil Mardzuki.

Para peserta akan dibimbing membentuk pakej pelancongan baru yang menawarkan pengalaman baru yang lebih unik kepada pelancong luar negara dan ia akan dipromosikan menggunakan platform digital di internet. Ini kerana trend pelancongan dunia sudah berubah daripada pelancongan bersama ejen pelancongan mengikut kumpulan kepada pelancongan secara FIT iaitu Free Independent Traveler.

Mereka mahu mencari pakej pelancongan sendiri, mengikut masa mereka dan tidak mahu bersama-sama dengan pakej berkumpulan yang biasanya hanya menawarkan pakej yang sama sejak dulu. Pelancong seperti ini yang semakin bertambah dengan mendadak sekali.

ITB Johor akan berlangsung selama tiga hari dan para peserta akan dibawa melawat kawasan-kawasan pelancong menarik di sekitar Johor Bahru untuk melihat gaya persembahan para penggiat industri pelancongan dalam menerangkan tentang produk pelancongan berkenaan.

Selepas selesai ITB, mereka sudah sedia untuk memuatnaik pakej pelancongan yang dibentuk kepada platform internet berkenaan untuk mempromosikan pakej berkenaan.

#ITBJohor #AyuhJohor #LuaskanKuasamu #MITA #MPC #TourismProductivityNexus #TravelJohor #Malaysia #MemacuProduktivitiNegara #Pelancongan

Leave a Comment