Platform Digital, Tambang Murah Dan Pakej Menarik Faktor Jumlah Pelancong Meningkat

Platform digital, penerbangan yang murah serta pakej unik yang menawarkan pengalaman berbeza adalah faktor-faktor yang boleh meningkatkan ketibaan pelancong ke negara ini serentak ia juga membantu meningkatkan produktiviti industri pelancongan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Ab Rahim Yusoff berkata dengan terhasilnya produk pelancongan yang lebih baik dan lebih bernilai bersama faktor berkenaan ia akan membantu perkembangan industri berkenaan.

“Sektor pelancongan merupakan antara satu sektor yang mempunyai potensi untuk ditingkatkan produktivitinya.

“Maka, kita (MPC) telah melaksanakan inisiatif bagi membolehkan produktiviti di sektor pelancongan ini meningkat,” katanya.

Ab Rahim berucap pada majlis penutup program bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 Terengganu di Kuala Terengganu, Khamis lepas yang diadakan selama tiga hari.

MARI BACA JUGA : Masak, Makan Atas Serambi Homestay Kampung Ayer Limau

Bengkel berkenaan mengumpulkan kira-kira 50 orang penggiat industri pelancongan di negeri Terengganu duduk bersama dalam satu bengkel intensif untuk mengetahui isu yang membantutkan industri pelancongan dan mencari idea baru yang kreatif untuk mempromosikan negeri Terengganu di peringkat dunia.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Ab Rahim Yusoff

Dalam ucapannya, beliau berkata corak pelancongan sekarang para pengembara gemar menggunakan pelbagai platform digital untuk mendapatkan pakej berkualiti dan tiket penerbangan pula sudah bertambah murah dek persaingan merebut pelancong-pelancong ini.

ITB Terengganu dianjurkan oleh MPC dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) dibawah inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN). Untuk Terengganu, program ini merupakan sebahagian daripada kalendar aktiviti bagi Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC).

Dalam pada itu, Presiden MITA, Uzaidi Udanis dalam ucapannya pada majlis yang sama berkata sepanjang tiga hari itu pelbagai cara memantapkan industri pelancongan sudah diajar kepada para peserta seperti menghasilkan pakej yang lain dari yang lain, cara menentukan kos dan diajar menggunakan platform digital sebagai alat pemasaran dan promosi para peserta.

“Ini semua adalah ilmu dan teknik yang penting iaitu secara buat sendiri dan bukannya teori. Jika di luar sana, program bengkel intensif perniagaan sebenarnya amat mahal.

“Kalau kita rujuk di Singapura, satu program bengkel seperti itu bernilai $5,000 Dolar Singapura dengan adanya pengajaran teori dan juga program cuba sendiri atau hands-on,” kata Uzaidi yang juga Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan.

Bagaimanapun, katanya untuk menyertai program ITB, para peserta haya perlu membayar RM50 yang mana tidak setanding dengan kos penganjurannya yang bernilai jauh daripada itu.

Presiden MITA dan Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan, Uzaidi Udanis.

Uzaidi berkata ia adalah usaha dari pihak MPC menganjurkan juga program seumpama itu bertujuan untuk membantu para pengusaha dan penggiat industri berjaya meningkatkan produktiviti.

Sementara itu Pengarah Tourism Terengganu, Ab Rasid Jusoh berkata semua orang berebut untuk menjadi pengusaha unggul dalam bidang pelancongan seperti bidang sukan di mana persaingannya amat sengit.

“Semua orang berebut untuk jadi juara dalam bidang pelancongan, seperti Sabah yang all-out, untuk memajukan sektor pelancongan di negeri mereka, Terengganu pun all-out juga, ada jambatan baru dan kita melantik duta baru iaitu Mat Dan sebagai ikon pelancongan kita,” katanya.

Selama tiga hari, di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu, para peserta diberikan bimbingan dan didedahkan tentang ilmu meningkatkan produktiviti pelancongan oleh para jurulatih yang berpengalaman iaitu Isvaran Ramasamy, Ahmad Najib Ariffin dan Muzammil Mardzuki.

Pengarah Tourism Terengganu, Ab Rasid Jusoh

Mereka bertiga berpengalaman dalam mengendalikan pelancong, menghasilkan pakej yang berbeza dan unik serta pakar dalam penggunaan aplikasi digital dalam industri pelancongan.

Program berkenaan mendapat kesan positif segera apabila seorang peserta ITB yang mengusahakan kedai Nasi Dagang, Mohammad Mahyudin Hasan atau dikenali sebagai Abang Din, 36 tahun sudah mendapat urusniaga untuk membekalkan Nasi Dagang kepada pengusaha Homestay Pantai Pandak Chendering, Juliana Hassan secara harian.

Pengusaha Rempah Cap Rose pula, akan membekalkan rempah ratus kepada Mohammad Mahyudin untuk memasak Nasi Dagang pada harga yang istimewa dan pengusaha Keropok Lekor TGG pula mendapat peluang membekalkan keropok kepada rangkaian Ramly Burger.

ITB Terengganu merupakan program ke-6, separuh daripada 12 jelajah ITB seluruh negara.

#ITBTerengganu #MPC #MITA #TourismProductivityNexus #KualaTerengganu #TerengganuDarulIman #Malaysia #MemacuProduktivitiNegara #TravelMalaysia #TourismTerengganu

Leave a Comment