Homestay Pantai Pandak Chendering, Homestay “Wajib Book” Kalau Di Kuala Terengganu

Homestay yang dijadikan tempat untuk pengunjung menginap perlu dipastikan sentiasa bersih dan selesa serta lengkap dengan kemudahan untuk tetamu setiap masa. Ada homestay seperti rumah kampung, ada rumah teres, ada rumah banglo dan ada juga rumah apartment.

Di Terengganu, ada homestay yang unik dan cantik serta lokasinya strategik terletak berdekatan dengan pantai. Saya dengan sungguh-sungguh mengesyorkan kepada anda untuk menginap di Homestay Pantai Pandak Chendering yang terletak kira-kira 6km dari bandaraya Kuala Terengganu kerana ia adalah homestay yang selesa, cantik dan strategik.

Homestay Pantai Pandak Chendering diuruskan oleh Juliana Hassan, 38 tahun, seorang ibu kepada tiga orang anak. Beliau menguruskan 10 unit homestay dan satu daripada unit itu, hiasan dalamannya agak cantik dan amat bersih.

Dalam unit itu, Juliana menyediakan siaran televisyen berbayar Astro pakej penuh. Jadi, penginapan anda tidak akan bosan lagi sepanjang berada di homestay berkenaan.

Selain homestay, Juliana atau mesra dipanggil Kak Jue juga menyediakan pakej katering untuk tetamu homestaynya, pakej jalan-jalan sekitar Terengganu, pakej trip ke Pulau Kapas dan pakej mencandat sotong. Kawasan Homestay Pantai Pandak Chendering terletak berhampiran dengan kawasan perkampungan nelayan.

Saya mendapat peluang menginap di Homestay Pantai Pandak Chendering selepas selesai membuat liputan program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Terengganu 2019 bermula 23 hingga 25 April lepas. Kak Jue juga adalah seorang daripada peserta ITB Terengganu.

Ulasan yang saya berikan adalah ulasan yang jujur dan tidak menerima apa-apa bayaran daripada pihak Kak Jue untuk menulis ulasan ini.

Ruang tamu unit Homestay Pantai Pandak Chendering yang bersih dan selesa.

Unit homestay yang saya menginap berharga RM250 satu malam, dan jika anda menginap dua malam seterusnya anda akan dapat diskaun. Selain unit berkenaan, lagi sembilan unit homestay terdapat di kawasan berhampiran dan juga di kampung bersebelahan.

“Alhamdulillah, setiap masa cuti sekolah mesti penuh,” kata Kak Jue.

Menurutnya, setiap bayaran dari tetamu untuk menginap di homestay, sebahagian daripadanya Kak Jue akan dermakannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.

Bagi Kak Jue, suaminya banyak membantu dan menyokong pengurusan homestay beliau.

“Suaminya berniaga di Pasar Payang, berniaga telur, semua jenis telur ada,” kata beliau.

Bercerita mengenai bagaimana Kak Jue boleh mula menguruskan homestay, semuanya bermula ketika berusia 30 tahun apabila sudah ada memiliki rumah sendiri.

Pengusaha Homestay Pantai Pandak Chendering, Juliana Hassan.

“Mulanya masa umur 30 ada rezeki dapat beli rumah sendiri, flat lama sahaja. Tapi minat menghias, jadi saya hiaslah sampai puas hati.

“Tiga tahun seterusnya, Allah bagi rezeki lagi, beli tanah di Chendering dengan bapa mertua dan terus buat unit rumah yang awak menginap tu.

“Rumah yang 10 unit tu orang yang punya, cuma Jue uruskan sahaja,” kata Kak Jue.

Menurutnya, biasanya jika ada memiliki rumah lebih dari satu, tuan rumah akan sewakan rumah berkenaan tapi Kak Jue enggan menyewakannya bimbang rumah akan rosak kerana tidak dijaga dengan baik jadi, beliau jadikan rumah berkenaan sebagai homestay untuk penginapan.

Unit rumah yang saya menginap amat luas dan selesa untuk keluarga besar. Kak Jue bercerita, ada keluarga pernah datang dan menginap di Homestay berkenaan semata-mata kerana mahu menikmati Nasi Dagang pada keesokan harinya untuk sarapan. Bayangkanlah betapa selesanya jika sampai ada tetamu yang berulang datang dan menginap di homestay Kak Jue ini.

Bilik tidur utama unit homestay.

Dalam rumah telah sedia semua perkakas untuk makan, memasak dan di dalam peti ais sudah tersedia air sejuk, dan di luar ada air biasa untuk tetamu homestay menghilangkan dahaga. Unit berkenaan ada tiga bilik dan semuanya amat selesa dan bersih.

Kalau bosan, ada Astro pakej penuh anda boleh tonton. Pada waktu petang, anda boleh ke Pantai Pandak Chendering, mengambil angin dan melihat kanak-kanak bermain layang-layang di tepi pantai. Satu pengalaman yang sudah pasti akan bawa unsur tenang dalam diri anda.

Pantai Pandak, Chendering, Terengganu.

Anda boleh hubungi Juliana Hassan 013-971 2200 untuk menempah penginapan anda di Homestay Pantai Pandak Chendering. Ia akan jadi satu pengalaman yang amat berbaloi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *