ITB Selangor : Walaupun Aidilfitri Masih Dirai, Tapi Kini Masa Kembali Tingkatkan Produktiviti

Mood Hari Raya Aidilfitri masih hangat tetapi bagi penggiat pelancongan dan pengendali produk pelancongan, sudah tiba masa untuk mereka kembali bersama-sama menghadiri bengkel intensif berkaitan pelancongan untuk berusaha cari jalan untuk meningkatkan produktiviti negara.

Bermula Isnin ini, 17 Jun program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 akan bersambung kembali selepas berehat seketika untuk bulan Ramadan dan meraikan ketibaan bulan Syawal. Bahagian kedua ITB untuk tahun ini akan bermula di Selangor selama 3 hari dari 17 hingga 19 Jun nanti.

Program ITB di Johor Bahru, Johor.

Program ITB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

Malaysia meletakkan sasaran untuk menyambut ketibaan 36 juta orang pelancong yang akan membawa pulangan RM168 bilion tahun depan yang juga merupakan tahun kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurut statistik di laman web wayup.my untuk TPN, pada 2015, Malaysia menerima ketibaan 25.7 juta pelancong dan ia meningkat pada tahun berikutnya apabila negara menerima ketibaan 26.8 juta pelancong meningkat sebanyak kira-kira 4 peratus.

Pada tahun lepas pula, Malaysia dikunjungi oleh 31.4 juta pelancong dan menerima pulangan RM125.1 bilion.

Dalam jangkaan pertumbuhan ia menunjukkan peningkatan antara 8.6 peratus hingga 26.2 peratus jumlah kehadiran pelancong ke Malaysia, jika strategi yang betul digunapakai nescaya sasaran untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya dicapai.

Negara menggunakan peluang kewujudan trend mengembara secara Free Indipendent Traveler (FIT) dengan berusaha mewujudkan pakej-pakej pelancongan yang mensasarkan golongan ini untuk mereka tempah dan menikmati pelancongan ke Malaysia dengan pengalaman yang amat berbeza.

Melalui kepakaran dan pengalaman para Trainer, di dalam bengkel ITB para pengusaha dan penggiat industri pelancongan akan berkumpul dan dibimbing untuk membentuk pakej pelancongan yang baru sesuai untuk semua kategori pelancong khususnya kumpulan FIT ini.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis yang juga merupakan Pengerusi atau Champion TPN akan bersama-sama selama tiga hari untuk berkongsi pengalaman dan menyampaikan amanat penting selaku aktivis pelancongan untuk para pengusaha lebih giat dalam mempromosi Malaysia ke peringkat dunia dan menambahkan lagi kehadiran pelancong ke negara ini.

Presiden MITA dan Pengerusi atau Champion TPN Uzaidi Udanis ketika berucap pada majlis penutup program ITB Terengganu di Kuala Terengganu sebelum program berkenaan berehat seketika untuk menyambut Ramadan dan meraikan Syawal.

Uzaidi akan dibantu oleh barisan jurulatih berpengalaman dalam semua aspek pelancongan. Para peserta akan dibimbing oleh Jurulatih Isvaran Ramasamy yang berpengalaman sebagai Pemandu Pelancong dan mempunyai akreditasi untuk memberi latihan kepada penggiat pelancongan mengikut standard ASEAN.

Mereka akan dibimbing juga oleh pakar pakej pelancongan iaitu Ahmad Najib Ariffin yang akan memberikan bimbingan khusus dalam bagaimana untuk menjadikan pakej pelancongan lebih kreatif dengan memasukkan elemen penceritaan dan penyampaian maklumat pakej untuk ia terserlah berbeza dari pakej pelancongan yang lain.

Kemudian, para peserta ITB akan diberikan tunjuk ajar oleh pakar yang berpengalaman dalam menggunakan aplikasi online dalam mempromosikan pakej pelacongan iaitu Muzammil Mardzuki. Beliau amat dikenali dalam kalangan penggiat pelancongan kerana merupakan antara penggiat awal melibatkan diri dalam bidang Experience Host dan beliau aktif dalam menganjurkan kempen berkhemah menggunakan Hammock.

Peserta program ITB Terengganu bergambar ketika mengikuti lawatan ke tapak pelancongan sekitar Kuala Terengganu.

Bermula 17 Jun, penggiat industri dari Selangor akan berkumpul di Subang, untuk ITB Selangor untuk bersama-sama memerah otak untuk mewujudkan pakej percutian baru dan menawarkan pengalaman yang berbeza yang lebih mementingkan aktiviti cuba sendiri untuk pelancong merasai pengalaman dan ia akan dibawa pulang nanti ke negara mereka.

Walaupun masih dalam mood Aidilfitri tapi kini sudah tiba masanya semua kembali untuk meningkatkan produktiviti.

#ITBSelangor #MPC #MITA #TourismProductivityNexus #Subang #SelangorDarulEhsan #Malaysia #MemacuProduktivitiNegara #TravelMalaysia #TourismSelangor

Leave a Comment