ITB Sarawak : Jumlah Buaya Yang Terlalu Banyak Di Sarawak Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Dunia?

Reputasi negeri Sarawak sebagai negeri yang mempunyai jumlah buaya yang banyak dan sudah terlalu banyak mungkin bakal membuka pintu kepada ibu negerinya, Kuching menjadi lokasi nombor satu di dunia untuk pelancong menikmati pelbagai pengalaman untuk mengenali haiwan spesis purba itu dengan lebih dekat.

Jumlahnya terlalu banyak sampai kerajaan negeri Sarawak sudah mengeluarkan 60 lesen untuk memburu buaya sejak dua tahun lepas.

Memetik laporan Berita Harian Online, Lesen itu dikeluarkan sebagai satu langkah mengawal peningkatan populasi buaya yang akan mewujudkan konflik antara manusia dan reptilia itu di Sarawak.

Lesen yang dikeluarkan boleh digunakan untuk tujuan penjualan daging dan kulit buaya dan untuk tujuan pembuatan produk kraftangan dari kulit buaya.

Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Engkamat Lading, berkata pengeluaran lesen pemburuan dan penjualan buaya bertujuan mengimbangi populasi reptilia itu, sekali gus mengurangkan ancamannya terhadap manusia.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut membantu mewujudkan sumber pendapatan bagi masyarakat setempat, terutama di kawasan sungai dikenal pasti memiliki kepadatan buaya yang tinggi.

“Sekarang, buaya boleh ditangkap atau diburu bagi tujuan perdagangan pada peringkat domestik atau antarabangsa asalkan memiliki lesen sah dikeluarkan JHS,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Di Sungai Bako, di pinggir bandar raya Kuching, ada tujuh ekor buaya dilaporkan bagi setiap kilometer sepanjang sungai berkenaan.

Ini bermakna, sepanjang 18 kilometer sungai itu, ada paling sikit 126 ekor buaya, yang jauh melebihi jumlah ideal pengurusan hutan iaitu lima ekor buaya bagi setiap kilometer sepanjang sungai. Sepatutnya, perlu ada hanya 90 ekor buaya sahaja di Sungai Bako.

Seekor buaya air masin berjemur di dalam kolamnya di Ladang Buaya Jong di Siburan, Sarawak.

Bukan itu sahaja, sejak negeri Sarawak melaksanakan Ordinan Hidupan Liar pada tahun 1990, sebanyak 45 batang sungai dikenal pasti sebagai lubuk buaya. Dalam program bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Selangor 2019 idea untuk menjadikan populasi buaya yang banyak ini dicetuskan dan diterima oleh para pengusaha pelancongan yang menyertai program ITB yang diadakan di Kuching.

Bengkel intensif di Kuching bermula hari ini hingga 26 Jun nanti. Bagaimanapun, perbincangan yang diadakan mereka tidak mahu tarikan pelancongan berkenaan mempromosikan sebarang aktiviti pemburuan melampau dan dilihat seakan berlaku kejam ke atas reptilia berkenaan.

Tarikan berkenaan nanti lebih kepada membawa pelancong mendekati perihal spesis itu dari aspek pembelajaran dan pembiakan serta apa yang berlaku tentang buaya di negeri Bumi Kenyalang itu.

Dikatakan, di Jambatan Darul Hana yang merentangi Sungai Sarawak di depan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), orang ramai sudah boleh melihat buaya yang sesekali datang berenang melewati bandar raya Kuching. Kalau dah sampai begitu banyaknya, sudah tentu pelancong akan dapat melihat buaya jika datang ke negeri Sarawak.

Peserta ITB Sarawak sebanyak kira-kira 50 orang secara dasarnya seiring dan akan berbincang dengan kerajaan negeri dalam usaha ini untuk menarik lagi ramai pelancong untuk datang ke negeri Sarawak.

Program ITB di Sarawak adalah edisi kelapan selepas ITB Selangor yang berakhir baru-baru ini. Ia diadakan di bawah inisiatif Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama dengan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA).

Presiden MITA yang juga Pengerusi TPN Uzaidi Udanis adalah antara individu yang mencetuskan idea bengkel ITB dalam usaha membentuk pemikiran para pengusaha pelancongan untuk lebih aktif dalam mempromosikan pelancongan ke dalam Malaysia.

Para pengusaha akan berkumpul selama tiga hari dan akan berbincang mengenai pelancongan di Malaysia mengenal pasti masalah dan paling penting bersama-sama membentuk pakej baru dengan pengalaman yang unik berbeza dengan pakej yang pernah ada sebelum ini lebih mengutamakan kepelbagaian budaya yang belum pernah ditonjolkan kepada pelancong sebelum ini.

Apa sahaja elemen menarik yang berharga menawarkan pengalaman hebat akan dirangkumkan dalam satu pakej untuk pelancong datang ke negeri ini.

#ITBSarawak #MITA #MPC #TourismProductivityNexus #Kuching #ThinkTourismActTourism #TourismHeroes #Malaysia #travelsarawak #travelMalaysia #buaya #SungaiSarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *