ITB KL : Logo Dan Lagu Tahun Melawat Malaysia 2020 Akan Diumumkan Tak Lama Lagi – TKSU Kementerian

Persiapan Malaysia untuk mengadakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) kini sudah berada di peringkat akhir dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan logo dan lagu sempena kempen melancong ke Malaysia itu difahamkan tidak lama lagi.

Perkembangan itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Haslina Abdul Hamid ketika berucap merasmikan penutup bengkel Inbound Tourism Bootcamp 2019 (ITBKL) untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya dua hari lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Menurut beliau, butiran tentang lagu dan logo semua sudah siap cuma ia tidak boleh diumumkan dalam ucapan kerana perlu menunggu selepas ia diumumkan oleh Tun Dr Mahathir sebelum ia boleh dikongsikan bersama.

Program ITBKL adalah edisi ke-9 program bengkel pelancongan itu daripada 12 program di seluruh negara. Ia ada usaha di bawah platform Tourism Productivity Nexus (TPN) yang digerakkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Program di Putrajaya membawa ITB lebih hampir kepada penghujung penganjurannya iaitu di Ipoh, Perak hujung bulan ini.

Bengkal ITB merupakan satu daripada banyak cabang usaha yang dijalankan untuk negara bersiap sedia untuk TMM2020 nanti.

Haslina dalam ucapannya berkata beliau bersyukur apabila program ITBKL selesai dan berjaya mencapai matlamatnya malahan ada pakej-pakej baru yang unik sudah dihasilkan oleh para peserta sepanjang tiga hari ia berlangsung di Putrajaya untuk dipromosikan kepada pelancong antarabangsa untuk melawat Malaysia.

Selepas tamat ITB, pihak MPC melalui TPN akan terus memantau para peserta yang menghadirinya supaya segala ilmu dan pendekatan yang dikongsikan di dalam bengkel berkenaan digunakan untuk mempromosikan pelancongan seterusnya merekodkan peningkatan produktiviti yang akan membawa peningkatan untung syarikat yang peserta wakili.

Pengerusi TPN yang digelar Champion, Uzaidi Udanis berkata beliau sentiasa mengulangi kepada para peserta supaya lupakan pendekatan yang pernah dipelajari dalam ilmu pelancongan mereka dulu dan belajar semula cara baru, trend baru serta budaya baru yang semakin pantas muncul dan mengubah corak perjalanan industri pelancongan di serata dunia.

Pengerusi Tourism Productivity Nexus (TPN) Uzaidi Udanis.

Beliau yang juga Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) dan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) mahu para ejen pelancongan yang sebelum ini aktif menjalankan perniagaan outbound iaitu membawa rakyat Malaysia melancong ke luar negara supaya berubah lebih memberikan fokus kepada inbound iaitu membawa pelancong luar masuk dan melawat Malaysia.

“Biasanya para pengusaha ini memang aktif buat outbound kerana ia mudah dipromosikan. Saya harap selepas ini lebih ramai akan mula rancak menggerakkan inbound untuk bawa pelancong lagi ramai melawat negara kita dan bawa pulangan ekonomi kepada Malaysia,” katanya yang turut berucap pada hari terakhir ITBKL.

Pada pagi hari terakhir ITBKL, peserta dibawa melawat produk pelancongan di sekitar Putrajaya dan mereka pergi ke Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang dan juga kilang Nasyrul Quran kilang kedua terbesar mencetak Al-Quran di dunia selepas di Madinah.

Di MAEPS, mereka diiringi oleh petugas kawasan itu melawat House of Kambing dan mendengar taklimat dan penjelasan tentang kambing dan kemudian melawat Laman Nenas dan juga Laman Herba untuk menyaksikan kepelbagaian produk dalam industri pertanian dalam negara.

MAEPS sering terpilih menjadi lokasi penganjuran pameran-pameran besar khususnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang merupakan acara utama yang MAEPS kelolakan yang menerima jutaan pengunjung setiap kali diadakan.

Kemudian, para peserta dibawa meninjau dan melawat Nasyrul Quran untuk meneliti cara Al-Quran mushaf Malaysia dicetak di sana.

Program ITB akan bersambung nanti di Melaka pada 15 hingga 17 Julai.

#tourismproductivitynexus #mpc #mita #putrajaya #itbkualalumpur #visitmalaysia2020 #travelmalaysia #thinktourismacttourism

Leave a Comment