Tahun Melawat Malaysia 2020 Sudah Dekat, Hentikan Budaya Dan Sikap Syok Sendiri Dalam Industri Pelancongan

Tahun Melawat Malaysia 2020 sudah semakin dekat kira-kira lima bulan lagi dan kini bukan masanya lagi untuk amalkan budaya lama khususnya budaya ‘syok sendiri’ yang sudah lama diamalkan dalam kalangan rakyat negara ini.

Lebih buruk lagi, budaya syok sendiri ini sudah bersarang dalam diri para pengusaha pelancongan di Malaysia yang merasakan Malaysia sentiasa mendapat tempat di hati pelancong sedangkan hakikatnya kedudukan Malaysia dalam ranking tempat paling dilawati dan senarai kedudukan jumlah kehadiran pelancong Malaysia semakin menurun dari semasa ke semasa.

Negara Malaysia pernah menduduki ranking ke-10 dunia jumlah kehadiran pelancong pada satu ketika sebelum ini. Dari tahun 2003 hingga tahun 2010 dulu juga jumlah kehadiran pelancong di Malaysia begitu ramai dan pada masa itu Malaysia adalah tarikan yang begitu popular di rantau Asia.

Kini, Malaysia semakin menurun dalam ranking kehadiran pelancong dan pernah menduduki di kedudukan ke-12 dan ia adalah keadaan yang memberikan kesan yang buruk kepada pengusaha dan industri pelancongan di Malaysia.

Program ITB adalah hasil idea dari penggiat industri pelancongan sendiri dan ia digerakkan di bawah platform Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama pihak industri sendiri di bawah Malaysian Inbound Tourism Association (MITA)

Bertempat di Melaka Bandaraya Bersejarah, sekali lagi laungan “Jangan syok sendiri!” diulang dalam program bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 untuk memberi peringatan kepada mereka yang berada dalam kelompok pelancongan supaya membuang sikap itu dan berubah serta jangan syok sendiri lagi.

Di Melaka, Jurulatih ITB 2019, Isvaran Ramasamy berkata orang Malaysia dan para pengusaha pelancongan sudah lama syok sendiri menganggap negara ini hebat sehingga ada kebanyakan dari warga Malaysia sudah tidak menghargai kehadiran pelancong malahan kehadiran mereka sering diperlekehkan.

Isvaran membuka bicara dalam segmen pembukaan program ITB Melaka Negeri Sembilan di Melaka dengan mengingatkan mereka supaya jangan terus mengamalkan budaya ‘syok sendiri’ lagi dalam menguruskan pelancongan negara.

“Biasanya kalau pelancong datang dan kita nampak mereka, kita biasanya akan nampak mereka seperti benda atau kenderaan yang lalu dan kita tidak hargai mereka.

“Kita sudah tidak mahu lagi budaya ini kerana kita perlu menghargai kehadiran pelancong kerana mereka bayar dan memilih Malaysia sebagai destinasi mereka bukan kita yang bayar mereka datang.

Kita kena hargai mereka dan rakyat kena jadikan pelancongan sebagai budaya iaitu jadikan ia ibarat cara hidup,” kata Isvaran dalam bahagian pertama setiap bengkel iaitu peringatan “Jangan syok sendiri!”

Selain itu, semua pihak yang ada dalam ekosistem pelancongan Malaysia supaya mengamalkan gaya ucapan selamat datang identiti Malaysia.

Tidak ramai pengusaha pelancongan walaupun petugas hotel yang mengamalkan gaya Malaysia ini. Ada orang Malaysia lebih mengingati selamat datang gaya negara lain khususnya Thailand dan Indonesia.

Dalam program ITB, ucapan selamat datang gaya Malaysia itu diajar di setiap negeri supaya para pemain industri dan pengusaha pelancongan sentiasa ingat dan mempraktikkan jenama Malaysia itu supaya ia pula diingati oleh pelancong dari negara lain.

Antara slaid dalam modul program ITB 2019 yang memaparkan Nilai Hospitaliti Malaysia yang boleh diamalkan sebagai cara menghormati pelanggan.

Selama tiga hari di Melaka, bermula hari ini kira-kira 40 orang pengusaha pelancongan berkumpul di sebuah hotel di Taman Melaka Raya dalam bengkel intensif tentang pelancongan ke dalam Malaysia atau Inbound untuk kenal pasti masalah dan kemudian cari cara lebih kreatif untuk promosikan Malaysia ke peringkat dunia.

Program ITB adalah hasil idea dari penggiat industri pelancongan sendiri dan ia digerakkan di bawah platform Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama pihak industri sendiri di bawah Malaysian Inbound Tourism Association (MITA).

Presiden MITA, Uzaidi Udanis dilantik dari kelompok industri untuk memimpin TPN mengerakkan ITB untuk membantu dengan sungguh-sungguh supaya para pengusaha pelancongan dapat berubah serta meningkatkan produktiviti pelancongan negara dan kembali meletakkan Malaysia di tahap tertinggi industri pelancongan dunia.

#tourismproductivitynexus #mpc #mita #itbmelakanegerisembilan #inboundtourismbootcamp #travelmalaysia #thinktourism #acttourism #melaka #negerisembilan #tourismmalaysia #tourismmelaka

Leave a Comment