Berbaki Dua ITB, Kita Di Selekoh Akhir Untuk Hebatkan Promosi Pelancongan Secara Besar-Besaran

Berbaki dua lagi program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 di utara iaitu di Kedah dan Perak, kini pasukan penganjuran ITB memasuki selekoh akhir untuk lebih aktif membimbing para pengusaha industri pelancongan untuk menguasai platform digital untuk mempromosikan produk pelancongan.

Pada 17 Julai lalu, program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 untuk negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah melabuhkan tirainya di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah.

Pada setiap ITB, hari terakhir biasanya menjadi hari paling menarik apabila pihak penganjur iaitu Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) membawa para peserta yang merupakan wakil syarikat yang berkaitan dengan industri pelancongan melawat tapak-tapak pelancongan sekitar Melaka untuk membawa para peserta turun padang.

Dengan lawatan itu, para peserta boleh melihat sendiri keadaan produk pelancongan di negeri di mana ITB sedang dianjurkan untuk mereka mendapat idea untuk lebih agresif untuk mencari idea yang lebih berbeza dan unik untuk tarikan berkenaan didedahkan dan dihebahkan ke seluruh dunia.

Seramai kira-kira 40 orang peserta dibawa melawat Taman Mini Malaysia dan ASEAN dan juga Villa Istana Melaka yang merupakan bekas tempat kediaman Yang diPertua Negeri Melaka dan kini diambil alih dan dijadikan umpama tempat penginapan yang boleh ditempah seperti hotel.

Petugas Mini Malaysia dan ASEAN di Ayer Keroh, Melaka memberikan penerangan kepada peserta ITB Melaka dan Negeri Sembilan ketika sesi lawatan tapak ke produk pelancongan di Melaka.

Sejak ITB pertama di Langkawi Januari lalu, kini ITB sudah sampai ke penganjuran kali ke-10 di Melaka ini, para peserta yang menghadirinya sudah ramai mendapat idea dan berjaya mempromosikan produk pelancongan mereka untuk dimaklumkan kepada orang ramai khususnya dari luar negara supaya mereka datang untuk melawat negara ini.

Bagi mereka, penganjuran ITB benar-benar membuka mata mereka tentang realiti sebenar industri pelancongan khususnya pada wujudnya banyak ilmu baru yang amat berbeza dari aspek promosi tidak seperti sebelum ini ketika promosi dijalankan dalam bentuk manual dan bukannya dalam talian.

Ia selari dengan kenyataan Pengerusi TPN yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis yang menggesa para pengusaha pelancongan melupakan ilmu lama yang sudah dipelajari dan buka minda untuk mempelajari ilmu baru.

Itu adalah amanat pada setiap kali sesi para peserta bengkel intensif itu bersama dengan Uzaidi yang memimpin gerakan memartabatkan pelancongan ini supaya pengusaha pelancongan menguasai ilmu baru promosi dan bersaing bersama negara lain untuk kembali meletakkan nama Malaysia menjadi perhatian dunia.

Dalam bengkel ITB, selepas para pengusaha pelancong menghasilkan pakej percutian baru dengan tarikan berbeza dan unik akan membentangkan pakej mereka secara lengkap dan khusus kepada peserta lain termasuk penetapan harga untuk kemudian kesemua mereka berbincang untuk mencari ruang untuk memperbaiki pakej berkenaan supaya menjadi lebih baik.

Pakej yang baru ini akan dimuatnaik ke platform promosi pakej pelancongan yang akan menjadi alat mempromosi pakej berkenaan ke seluruh dunia untuk para pelancong menempahnya dan melawat ke negara ini.

Pada hari penutup ITB Melaka dan Negeri Sembilan, sesi penutup telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Menara Taming Sari Dr Muhammad Md Nor yang mewakili Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka Datuk Muhamad Jailani Khamis yang tidak dapat hadir.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan kepada para pengusaha pelancongan bahawa mereka perlu memperbanyakkan mempromosi dan menghasilkan pakej untuk membawa pelancong masuk ke dalam Malaysia bukannya banyak menghasilkan pakej bawa warga Malaysia ke luar negara.

Dengan bawa pelancong lebih ramai ke Malaysia, pelancong akan bawa masuk wang mereka ke dalam negara dan ia akan memberikan kesan yang baik kepada ekonomi negara.

Ia seiring dengan pesanan konsisten dari Uzaidi bahawa dengan semakin hampir Tahun Melawat Malaysia 2020, para pemain industri perlu berubah dan menceburkan diri untuk bawa pelancong datang lebih ramai ke Malaysia.

Program ITB akan bersambung esok kali ini di Sungai Petani Kedah selama tiga hari.

#itbmelakanegerisembilan #tourismproductivitynexus #mpc #mita #travelblogger #travelmelaka #travelmalaysia #tahunmelawatmalaysia2020 #malaysiatrulyasia

Leave a Comment