ITB Melaka Dan Negeri Sembilan Disajikan Persembahan Rasa Melaka The Musical, Elemen Unik Pelancongan Bandaraya Bersejarah

Nampaknya, ada perkembangan baru berkaitan pelancongan iaitu pelancongan yang berteraskan persembahan pentas khususnya persembahan teater muzikal.

Persembahan sebegini kini semakin popular tetapi setakat ini hanya Negeri Melaka yang ada dua persembahan ala teater muzikal yang amat digemari oleh pelancong yang datang ke negeri bersejarah itu.

Pasukan penganjuran program bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 untuk negeri Melaka dan Negeri Sembilan dalam tempoh bengkel berlangsung telah dibawa menonton persembahan muzikal hebat tentang sejarah negeri Melaka iaitu Rasa Melaka The Musical yang dipentaskan di Panggung Bangsawan.

Eksekutif Pemasaran Cultural Touch Enterprise iaitu syarikat yang menerbitkan pementasan itu, Syed Jamalnur Fikri merupakan seorang daripada peserta ITB Melaka dan Negeri Sembilan.

Panggung Bangsawan, lokasi pementasan Rasa Melaka The Musical.

Pentas teater ini, Panggung Bangsawan merupakan Panggung Wayang Cathay lama yang telah diubahsuai sesuai untuk menjadi pentas teater muzikal berkenaan. Rasa Melaka The Musical adalah pementasan oleh satu kumpulan teater Muka Space yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang diasaskan oleh dua orang iaitu Dr Deric Gan dan Easee Gan yang dilahirkan di Melaka.

Khabarnya, pementasan ini akan dilakukan selama 18 bulan sempena dengan Tahun Melawat Melaka 2019 dan ia disokong oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Persembahan Rasa Melaka The Musical di Panggung Bangsawan, Melaka.

Ia mengisahkan tentang cerita sejarah negeri Melaka dari anak mata rakyat negeri bersejarah itu sendiri bermula dari tahun 1956 apabila Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang kejadiannya berlaku di Padang Bandar Hilir.

Para peserta ITB dihiburkan dengan aksi lakonan menarik Melia seorang gadis Melayu, Lak seorang lelaki Cina dan Kashvi seorang gadis Chetty dalam pementasan yang menampilkan penceritaan tentang sejarah negeri Melaka.

Selain Rasa Melaka The Musical, ada satu lagi pementasan teater muzikal berskala lebih besar iaitu Encore Melaka.

Gaya pelancongan ini semakin mendapat tempat dan ia boleh menjadi platform untuk menyampaikan maklumat tentang sejarah sesebuah negeri secara menyeluruh kepada para pelancong yang datang melawat. Ia boleh dijadikan pusat sehenti pertama untuk semua pelancong sebelum mereka kemudian melawat ke lokasi-lokasi pelancongan lain di negeri berkenaan.

Kalau di Melaka ada Rasa Melaka The Musical dan Encore sudah pastinya di negeri lain ada keistimewaan tersendiri yang boleh dipentaskan sama seperti di Melaka. Persembahan kesenian sebegini boleh digunakan untuk menggarap segala khazanah di sesebuah tempat untuk dipamerkan dengan gaya tersendiri kepada pelancong sekaligus dapat memahat kenangan berharga ke dalam minda para pelancong yang datang.

Seperkara lagi, dalam jalan cerita Rasa Melaka The Musical ada diterapkan elemen pelancongan gaya Experience Host atau pelancongan secara merasai sendiri pengalaman di sesuatu lokasi.

Dalam babak seorang pelancong yang datang ke Melaka, Melia, Lak dan Kashvi menjadi tuan rumah dengan membawa pelancong berkenaan bersiar-siar sekitar negeri Melaka dan bercerita tentang sejarah serta cerita unik tentang negeri asal mereka iaitu Melaka.

Elemen Experience Host yang ditonjolkan dalam pementasan Rasa Melaka The Musical, ia adalah gaya baru pelancongan pada zaman moden kini.

Dalam bengkel ITB, itulah yang berkali-kali diterapkan kepada peserta untuk mempromosikan produk pelancongan memperkenalkan budaya Experience Host kepada pelancong supaya mereka dapat merasa sendiri pengalaman cara hidup, budaya dan sejarah Malaysia secara menyeluruh dan membawanya pulang sebagai satu kenangan.

Program ITB diilhamkan oleh pihak industri sendiri melalui platform Tourism Productivity Nexus dipimpin oleh Pengerusinya, Uzaidi Udanis yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) digerakkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai pemudah cara bagi sektor pelancongan meningkatkan produktiviti.

Sebanyak 12 program ITB diadakan di seluruh negara untuk mempersiapkan para pengusaha industri pelancongan dengan kemahiran pelancongan berasaskan pengalaman ini untuk diterapkan kepada pelancong. Bukan itu sahaja, para pengusaha akan menghasilkan pakej baru, unik dengan pengalaman yang siap sedia untuk dikongsi bersama dengan pelancong.

Dengan pengalaman yang diberikan kepada pelancong nanti, kenangan mereka berada di Malaysia itu akan membuatkan mereka akan datang lagi melancong ke Malaysia.

#itbmelakanegerisembilan #tourismproductivitynexus # mpc #mita #travelblogger #travelmelaka #travelmalaysia #tahunmelawatmalaysia2020 #malaysiatrulyasia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *