Di KLIA, Logo TMM2020 Dilancarkan, Di Sungai Petani, Inbound Tourism Bootcamp Kedah Bermula

Semalam, logo bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan serentak semalam juga program bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 di Kedah memuatnaik video cara yang betul untuk mengamalkan ucapan selamat jenama Malaysia.

Bertempat di pintu masuk utama ke Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Dr Mahathir melancarkan logo TMM2020 yang akan disambut tahun depan.

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir semalam.

Beliau dalam ucapannya berkata negara berharap TMM2020 akan berjaya mencapai sasaran untuk membawa masuk pelancong seramai 30 juta pelancong serta menerima RM100 bilion pulangan perbelanjaan daripada pelancong yang datang.

Logo baru untuk TMM2020 merupakan satu usaha pemasaran dan promosi kempen dengan menampilkan khazanah kebanggaan Malaysia yang sudah dikenali seperti Burung Kenyalang, Bunga Raya, paku-pakis liar dan warna-warna dalam Jalur Gemilang.

Ia adalah rekaan Alfred Phua Hong Fook yang berjaya menewaskan beratus orang peserta lain yang menyertai pertandingan mencipta logo yang berlangsung pada awal tahun yang diterima dari seluruh negara.

Hari yang sama juga, program ITB Kedah bermula semalam di Sungai Petani selama tiga hari bersama pemain-pemain dalam industri pelancongan berkumpul menjalani bengkel yang amat intensif untuk memerah otak bersama-sama mencari idea baru yang lebih segar untuk mempromosi Malaysia ke mata dunia.

Program Inbound Tourism Bootcamp 2019 Kedah di Sungai Petani.

Jurulatih ITB 2019, Isvaran Ramasamy memberi tunjuk ajar kepada kira-kira 50 orang peserta semalam cara-cara ucap selamat jenama Malaysia yang masih tidak diamalkan dalam negara ini khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pengajarannya, Isvaran mengajak beberapa orang peserta untuk cuba mempraktikkan gaya ucap selamat jenama negara lain seperti Thailand dan Indonesia. Mereka boleh melakukannya dengan baik kerana mereka kerap ke negara berkenaan dan kerap melihat gaya berkenaan di mana-mana kerana ia boleh dikatakan amat popular.

Kemudian, beliau mengajar peserta ITB di Kedah cara yang betul mengucapkan selamat jenama Malaysia.

Video berdurasi 2.02 minit itu kemudian dimuatnaik ke laman sosial Facebook untuk memberi pendedahan yang sama kepada orang ramai supaya ia disebarkan untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia. Apabila tiba tahun depan, rakyat sudah tahu bagaimana caranya untuk melakukan ucap selamat jenama Malaysia kepada pelancong.

Pada hari pertama ITB Kedah juga, peserta didedahkan tentang realiti sebenar bagaimana sesetengah rakyat Malaysia melayan kehadiran pelancong yang kerap menganggap pelancong bukan tetamu istimewa tetapi hanya orang biasa. Ada ketikanya, kehadiran pelancong tak dihiraukan pun malahan tidak diambil peduli.

Peserta ITB membentangkan gambaran awal pakej percutian sehari mereka pada hari pertama ITB Kedah di Sungai Petani.

Dengan amalan ucapan selamat jenama Malaysia ini, mungkin rakyat Malaysia boleh mengucapkan selamat datang kepada pelancong apabila bertemu mereka di luar ketika bersiar-siar di bandar-bandar utama di negara ini.

Setidak-tidaknya, apabila bertemu dengan pelancong warga Malaysia boleh mengalu-alukan kedatangan mereka dengan mengucapkan selamat datang kepada mereka.

Selama tiga hari bermula semalam sehingga Rabu, para peserta akan berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh pakej percutian yang baru dan segar beserta pengalaman baru untuk ditunjukkan kepada para pelancong luar negara yang datang nanti.

Program ITB adalah inisiatif dari platform Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (TPN) yang dipimpin oleh pihak pemain industri sendiri iaitu dengan kerjasama Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) melalui Presidennya, Uzaidi Udanis selaku Pengerusi TPN.

Presiden MITA dan Pengerusi TPN Uzaidi Udanis.

ITB diadakan untuk mencari cara baru yang lebih baik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan untuk meningkatkan produktiviti sektor berkenaan.

ITB Kedah adalah yang kedua terakhir sebelum program terakhir di Ipoh, Perak minggu depan.

#itbkedah #tourismproductivitynexus #mpc #mita #travelkedah #travelmalaysia #malaysiaproductivitymalaysia #drivingproductivityofthenation #thinktourismacttourism #travelblogger#mediaexpert

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *