Festival Dron Dan Festival Belon Udara Panas Idea Tarikan Baru Pelancongan Di Perlis

Festival belon udara panas dan festival pertandingan dron merupakan antara cadangan yang dicetuskan untuk dianjurkan di Perlis pada masa akan datang untuk menarik jumlah kehadiran pelancong yang lebih ramai ke negeri paling utara di Semenanjung Malaysia itu.

Intipati yang mustahak dalam program ITB ialah jangan terus berasa selesa dengan keadaan sekarang dan mula laksanakan kerja bukan dengan cara biasa tapi menggunakan cara yang luar biasa yang lebih segar dan kreatif.

Cadangan itu diberikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Azman Mohd Yusof semasa beliau berucap merasmikan program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Perlis di Kangar yang bermula hari ini selama dua hari.

ITB Perlis ialah program edisi ke-14 sejak edisi pertama di Pulau Langkawi awal tahun ini dan seramai kira-kira 30 orang penggiat industri menyertainya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Azman Mohd Yusof berucap merasmikan program ITB Perlis di Kangar, hari ini.

Dalam ucapannya, Tuan Azman berkata keadaan persekitaran negeri Perlis amat sesuai untuk festival berkenaan kerana muka bumi yang rata dan luas umpama satu venus yang sudah tersedia untuk menganjurkan program seperti itu yang bertaraf dunia.

“Saya ada idea untuk anjurkan festival belon udara panas di Perlis ini, kita juga ada perancangan untuk anjurkan festival dron antarabangsa yang mungkin boleh diadakan dalam bentuk pertandingan, mereka yang mempunyai dron boleh bertanding di sini.

“Kita ada kawasan yang luas yang amat sesuai untuk program sebegitu yang boleh melonjakkan lagi nama Perlis dalam industri pelancongan di peringkat dunia,” katanya.

Beliau turut memberikan idea kepada para penggiat industri pelancongan untuk menghasilkan pakej baru percutian yang berbeza sebagai contoh ketika orang ramai datang ke negeri itu untuk menghadiri majlis konvokesyen di univesiti-universiti di negeri ini.

Menurut Tuan Azman, pakej yang dihasilkan boleh membawa ahli keluarga pelajar yang datang untuk melancong sehari sebelum konvokesyen dan sehari selepas konvokesyen ke tempat-tempat menarik di negeri Perlis.

“Biasanya kalau konvokesyen, ahli keluarga tidak tahu hendak ke mana sehari sebelum konvekesyen dan sehari selepas, jika ada pakej sebegini, sehari sebelum dan selepas mereka boleh melawat lokasi-lokasi menarik di negeri ini sebelum mereka balik,” katanya.

ITB merupakan satu bengkel intensif untuk penggiat industri pelancongan didedahkan dengan realiti sebenar keadaan industri pelancongan negara sebelum kemudian diberikan bimbingan untuk menghasilkan pakej percutian yang menarik dan berwajah baru untuk dipromosikan.

Promosi akan dijalankan menggunakan platform digital dan atas talian di internet menerusi aplikasi perkongsian pelancongan yang kini banyak di internet dan promosi akan terus ditujukan terus kepada pelancong dan tidak melalui syarikat ejen pelancongan seperti kebiasaan.

ITB dianjurkan oleh platform produktiviti yang dikenali sebagai Tourism Productivity Nexus (TPN) dipengerusikan oleh Uzaidi Udanis di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Beliau merupakan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

Uzaidi berkata ITB juga merupakan ruang yang tepat untuk pemain industri melupakan cara lama yang pernah mereka belajar tentang pelancongan dan mula belajar ilmu baru dalam industri berkenaan khususnya dalam aspek promosi.

Pengerusi TPN Uzaidi Udanis berucap kepada peserta ITB Perlis di Kangar yang bermula hari ini.

Intipati yang mustahak dalam program ITB ialah jangan terus berasa selesa dengan keadaan sekarang dan mula laksanakan kerja bukan dengan cara biasa tapi menggunakan cara yang luar biasa yang lebih segar dan kreatif.

Selepas program ITB Perlis tamat esok, satu program pertemuan perniagaan antara penggiat industri pelancongan di Perlis dan syarikat ejen pelancongan dari negara jiran Thailand akan diadakan.

Penggiat industri di Perlis juga akan disertai oleh penggiat industri dari negeri Kedah dan Perak untuk mempromosikan produk pelancongan kepada mereka untuk ditempah seterusnya membawa pelancong datang ke negeri Perlis.

Para peserta ITB Perlis bergambar bersama Tuan Azman selepas selesai majlis pembukaan program berkenaan di Kangar, hari ini.

#itbperlis #kangar #tourismproductivitynexus #mita #mpc #visitmalaysia2020 #tahunmelawatmalaysia2020 #tahunmelawatperlis2021

One thought on “Festival Dron Dan Festival Belon Udara Panas Idea Tarikan Baru Pelancongan Di Perlis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *