Tahun Melawat Malaysia 2020 : Semua Penggiat Industri Perlu Bersatu Baru Berjaya Tarik Lebih Ramai Pelancong

Industri pelancongan di negara ini memerlukan satu hubungan kerjasama yang lebih kuat dalam kalangan penggiat industri sendiri jika ada kemahuan melihat martabatnya diangkat ke tahap lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Dengan kekuatan itu, ditambah dengan kemunculan pakej dan produk pelancongan baru, ia pasti mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita, menghabiskan masa yang lebih lama dan membelanjakan wang yang lebih banyak.

Itu harapan dan nasihat dari Pengerusi atau Champion Tourism Productivity Nexus (TPN) Uzaidi Udanis kepada peserta program East Coast Tourism Corridor (ECTC) Summit and Business Exchange 2019 yang diadakan di Mangala Resort and Spa di Gambang, Pahang semalam.

Wakil daripada Min House Camp, Nor Muhammad (kanan) dan wakil dari Cerana Villa Resort Mohd Asri Husin dari negeri Kelantan sedang berbincang dengan penggiat industri lain untuk mewujudkan jalinan kerjasama.

Semasa berucap kepada kira-kira 40 orang para peserta program yang terdiri daripada penggiat industri pelancongan dari negeri-negeri di bawah ECTC iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, Uzaidi berkata program berkenaan adalah khusus untuk usahawan dari ECTC untuk mengetahui apa produk yang ada serta apa peluang untuk satu jalinan kerjasama diwujudkan antara semua pihak.

“Hari ini (semalam), history in the making kita hendak tahu apa produk kita, kita kena networking, ini bukan untuk semua orang ia hanya untuk penggiat industri di wilayah ECTC yang telah menyertai program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) dan juga yang telah menyertai program ECTC sebelum ini,” katanya.

Uzaidi juga adalah Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA).

Program semalam diisi dengan hampir keseluruhannya program yang melibatkan dialog di antara penggiat industri dengan pihak TPN dibawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) iaitu program sesi townhall, dialog ala-ala berborak dan juga mesyuarat antara penggiat industri untuk menjalinkan kerjasama.

Exco Kerajaan Negeri Pahang untuk Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin turut hadir dan menyampaikan sepatah dua ucapan dalam program berkenaan. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi ECTC yang baru dan ia diumumkan oleh Uzaidi.

Datuk Seri Mohd Sharkar menyampaikan ucapan dalam interaksi bersama pada penggiat industri pelancongan di Gambang, Kuantan semalam.

Bagi penggiat industri pula, mereka memberikan perhatian yang lebih kepada perancangan untuk mewujudkan kerjasama yang besar di antara para penggiat industri untuk sama-sama mempromosikan produk secara bersama tidak secara sendiri-sendiri seperti kebiasaan.

Untuk menarik kehadiran jutaan pelancong ia perlu ada satu kuasa tarikan yang besar yang satu dan padu dalam promosi pelancongan di luar negara.

Tahun depan ada Tahun Melawat Malaysia 2020 dan sasarannya ialah kehadiran 30 juta orang pelancong dengan pulangan wang berjumlah RM100 juta.

Selain jaringan kerjasama, persiapan para usahawan produk pelancongan dengan produk baru yang lebih segar dan menyediakan pengalaman berbeza dan unik kepada pelancong.

Gaya orang melancong dunia sudah berbeza, melawat ke pusat membeli-belah dan ke bandar-bandar besar sudah semakin ketinggalan zaman.

Keperluan datang melancong bersama syarikat ejen pelancongan sudah semakin berkurang, orang lebih gemar memilih dan mengatur sendiri pakej mereka. Mereka juga mahu melihat lebih jauh ke dalam memahami sesuatu kebudayaan serta cara hidup penduduk negara yang dikunjunginya.

Mesyuarat jalinan kerjasama sedang berlangsung dalam program semalam di Gambang, Kuantan.

Bagi Mohd Sharkar pula, infrastruktur yang berkait rapat dengan pelancongan perlu diperbaiki dan dimantapkan kerana ia mampu membuatkan pelancong selesa dan mahu berada lebih lama di Malaysia. Menurut beliau, antara infrastruktur yang penting ialah kemudahan wifi internet di seluruh negara.

Pada program berkenaan, para peserta juga diberikan penjelasan tentang program Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) iaitu satu program pensijilan industri pelancongan kepada usahawan kecil dan sederhana dalam industri itu. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *