Sebanyak 112 Syarikat Pelancongan Berjaya Diiktiraf Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) Selepas Patuh Lebih 100 Indikator Penilaian Standard

Sebanyak 112 syarikat berjaya mencapai tahap pematuhan standard untuk lebih 100 indikator untuk membolehkan mereka menerima sijil pengiktirafan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) sejak ia mula dicetuskan kewujudannya lapan bulan yang lalu.

Semalam, mereka menerima plak pengiktirafan mereka dalam satu majlis pelancaran MaTEx di Putrajaya yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohammaddin Ketapi.

Dalam ucapan pelancarannya, beliau amat berbangga dengan usaha yang digerakkan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menghargai kepakaran, usaha dan pengalaman dengan mewujudkan pengiktirafan perniagaan MaTEx ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohammaddin Ketapi berucap kepada para penerima sijil pengiktirafan perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di Putrajaya, semalam.

“Ini kali pertama dalam sejarah apabila para pemain industri sendiri menyingsing lengan dan tidak tidur malam untuk merangka indikator standard untuk menghasilkan program pengiktirafan yang akan membantu memperbaiki, memajukan dan mengiktiraf industri yang bergerak dalam skala mikro, kecil dan sederhana dalam industri pelancongan,” kata beliau.

Pengiktirafan MaTEx diberikan dalam lima kategori iaitu agensi pelancongan, tempat penganjuran acara, pengurusan acara, pengendali produk dan tempat pelancongan, serta penggerak pelancongan lasak.

Turut hadir dalam majlis semalam ialah Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman, dan Pengerusi atau Champion TPN Uzaidi Udanis. Mereka turut sama menyaksikan pemberian plak oleh Datuk Mohammaddin kepada wakil-wakil syarikat pelancongan.

Datul Abdul Latif (kiri sekali) dan Uzaidi (kanan sekali) sama-sama menyaksikan penyampaian plak simbol kepada penerimaan pengiktirafan perniagaan MaTEx pada majlis pelancarannya semalam.

Pengusaha Kuantan River Tours Zainal Ahmad menunjukkan maklumat berkaitan aktiviti cruise Sungai Kuantan dan melihat buaya Sungai Kuantan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi sempena majlis pelancaran MaTEx semalam di Putrajaya.

Terdahulu, sejurus beliau tiba di Putrajaya, Mohamaddin dibawa meninjau beberapa booth pameran dan maklumat aktiviti pelancongan yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat yang berjaya diiktiraf oleh MaTEx.

Sebelum itu, satu program MaTEx Meet Up Talk diadakan untuk memberikan ruang kepada beberapa wakil syarikat yang berjaya menerima pengiktirafan MaTEx berkongsi tentang sejarah permulaan serta apa aktiviti serta produk pelancongan yang ditawarkan kepada para pelancong.

Pengiktirafan MaTEx bukan calang-calang kerana ia dinilai oleh para penilai berpengalaman luas dalam bidang pelancongan serta indikator yang dinilai melibatkan semua aspek penting dalam perjalanan sesebuah industri.

Dalam sidang media, Uzaidi berkata antara indikator yang menjadi penilaian ialah kebersihan, operasi syarikat, keselamatan dan amalan pengendalian syarikat yang cekap diambil kira untuk menilai syarikat-syarikat pelancongan yang memohon untuk mendapatkan pengiktirafan MaTEx.

“Kalau anda ada buat aktiviti menaiki bot, keselamatan bot amat diambil kira dan menjadi antara indikator penilaian MaTEx ini.

Sidang media majlis pelancaran sijil pengiktirafan MaTEx selepas disempurnakan oleh Datuk Mohammaddin.

“Janganlah kalau bot anda tu boleh bawa 50 orang tapi anda bawa 150 orang itu dah melanggar peraturan dan tidak mengamalkan keselamatan, jadi indikator ini dinilai dalam MaTEx ini.

“MaTEx diwujudkan bukan untuk mencari kesalahan dan menghukum, ia adalah untuk anda mengenalpasti di mana tahap pencapaian anda yang anda perlu perbaiki dan untuk anda merancang perjalanan syarikat anda, mungkin selepas itu anda merancang untuk memperoleh pengiktirafan MyTQA pula dari MOTAC iaitu pengiktirafan yang atas selepas MaTEx ini.

“Kalau yang tertinggi kita ada ISO yang ia memang lebih ketat penilaiannya,” kata Uzaidi.

Sementara itu, Datuk Abdul Latif pula menyifatkan para penggiat industri khususnya di peringkat permulaan perlu ada satu sistem pengiktirafan setaraf sebagai satu permulaan yang jelas.

“Setiap perkara perlu ada garis asas dan MaTEx ini adalah satu daripadanya, para usahawan ini boleh tahu apa kelebihan mereka daripada indikator yang ada serta mereka boleh tahu apa pula kekurangan mereka sebagai panduan mereka untuk bergerak lebih jauh.

“Seperti kita sendiri, kita hendak tahu bahawa kita sihat atau tidak, kita harus bertemu doktor dan melakukan pemeriksaan berdasarkan indikator tertentu seperti tekanan darah dan tahap kolesterol, selepas semuanya dinilai baru kita tahu tahap kesihatan kita dan MaTEx memberikan gambaran sebenar kepada para penggiat industri sendiri,” katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman ketika berucap pada majlis pelancaran sijil pengiktirafan perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) di Putrajaya semalam.

Pihak MPC dan MOTAC mengajak kepada syarikat lain yang masih tidak mendaftar untuk memohon mendapatkan pengiktirafan MaTEx berbuat demikian tahun depan supaya industri mereka lebih terjamin serta prestasi syarikat mereka jelas.

“Jika ada pengiktirafan seperti MaTEx ini, keyakinan syarikat juga adalah lebih kuat,” kata Datuk Abdul Latif. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *