Dunia harus tahu, Kelantan berpotensi besar jadi tempat pelancongan tumpuan sukan berkuda

Pernah atau tidak anda pergi ke negeri Kelantan di dalam kawasan kampung-kampung anda ada terlihat kandang-kandang kuda dan ada kuda dipelihara dengan berbagai jenis dan warna. Sebenarnya apa yang anda nampak adalah sebahagian sahaja daripada keseluruhan gambaran keadaannya di Kelantan.

Di Kelantan ada begitu ramai sebenarnya penggemar untuk menternak kuda dan di sana ada persatuan penternak kuda dan kuda-kuda di Negeri Cik Siti Wan Kembang diternak di dalam kawasan penternakan kuda yang khas dipanggil stable.

Kalau dalam filem P Ramlee, ada babak dalam cerita Tiga Abdul ketika dua beradik Abdul Wahab dan Abdul Wahib berebutkan harta ada disebutkan stable lumba kuda. Begitulah namanya untuk satu pusat menternak kuda serta melatih kuda.

Di Kelantan ada banyak pusat-pusat sebegitu dan ia sudah pasti ada potensi antarabangsa untuk industri pelancongan membawa masuk lebih ramai pelancong ke negeri itu.

Kenderaan untuk membawa kuda kalau kita nampak di jalan raya tu ia dinamakan “Float”.

Kalau anda hendak tahu di negeri Kelantan ada banyak persatuan penternak kuda dan di Kelantan ada juga pertandingan lumba kuda tapi dengan gaya Kelantan tersendiri iaitu mereka menunggang kuda berlumba tanpa memakai pelana.

Lebih unik lagi, jockey yang berlumba kuda di negeri Kelantan semuanya masih di peringkat umur kanak-kanak lagi sekitar 9 hingga 13 tahun dan mereka amat hebat menunggang kuda dengan pantas. Kalau diikutkan ada beratus stable di seluruh Kelantan.

Pada 8 November lepas, kami diajak oleh seorang daripada orang yang penting dalam penternakan kuda di Kelantan di jajahan Tanah Merah untuk sama-sama mengikuti program ala koboi yang diadakan oleh sebuah organisasi penternak-penternak kuda di Tanah Merah yang dikenali sebagai Redland Equine Empire.

Kami sempat juga menyertai program Cowboy Night REE 2019 yang diadakan pada satu malam dengan macam-macam acara melibatkan kuda sampai pertandingan beragam gaya koboi lagi. Untuk anda nak tahu, di Tanah Merah ada kira-kira 12 pusat penternakan kuda yang aktif.

Kami diundang oleh Presiden REE Che Fazli Che Mohamed yang biasa dipanggil dengan Cikgu Fazli. Pada hari kami tiba di Tanah Merah, musim monsun Timur Laut sudah pun bermula dan negeri Kelantan kerap disirami hujan yang lebat hampir setiap hari dan lokasi program berkenaan juga hujan agak lebat.

Untuk rekod Cikgu Fazli merupakan peserta Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Kelantan yang diadakan di Kota Bharu, pada 18 Mac yang lalu yang dianjurkan oleh Tourism Productivity Nexus dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Pada malam saya datang ke tempat program dalam kawasan Kampung Kelewek dekat Tanah Merah ni di sebuah tapak perkhemahan yang diusahakan oleh Cikgu Fazli, hujan lebat mencurah, entah bila hendak sudah.

Berjam-jam lamanya ketika kami berada di tapak berkenaan yang terletak dekat tepi sungai yang digelar Sungai Pecah Tok Kamal.

Kalau ada ayat atau nama tempat dalam bahasa Kelantan yang kami salah ejaan anda bantu tegur dan perbetulkan ya.

Pada malam pertama, hujan telah turun berjam-jam dan air sungai Pecah Tok Kamal naik agak mendadak, titi yang kami lalui yang hanya diperbuat dari batang pokok sudah hampir mencecah air ekoran kenaikan paras air sungai berkenaan.

Para penternak kuda di Kelantan menternak kuda kerana mereka begitu mengutamakan sunnah Nabi Muhammad SAW khususnya dalam sukan berkuda selain memanah dan berenang. Jadi, kebanyakan penternak kuda di Kelantan memelihara kuda kerana mengikut sunnah Nabi.

Jadi, dalam program mereka walaupun dengan tema ala koboi, mereka turut mengadakan sesi tazkirah pada malam pertama program dua hari satu malam dengan seorang penceramah untuk menyampaikan tazkirah berkaitan penternakan kuda dan apa tanggungjawab yang perlu dilakukan jika memelihara kuda.

Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Wan Muhammad Faiez Wan Mohd Noor yang lebih mesra dipanggil Syeikh Faiez.

Selepas selesai sesi tazkirah dan menunaikan solat Isyak berjemaah, barulah program ala koboi bermula dengan program pakaian beragam dan ada pertandingan surat beracun.

Macam-macam ragam para penternak-penternak kuda yang menyertai pertandingan.
Seorang daripada penternak kuda yang dikenali dengan nama Abe Adam bergaya ketika menyertai pertandingan pakaian beragam ala-koboi pada malam Cowboy Night REE 2019

Malam itu, para peserta penganjur dan kami nyaris terkandas di tapak perkhemahan berkenaan kerana air sungai Pecah Tok Kamal telah naik mendadak sehingga menyebabkan titi kayu yang kami lintas malam tadi hampir rosak. Kesudahannya, beberapa jam selepas itu, titi penyokong titi berkenaan patah dan ia memang tidak boleh digunakan untuk melintas.

Dekat sini lah kami melihat betapa kuat dan erat hubungan antara sesama penternak kuda ini apabila mereka sanggup memotong batang pokok dan berenang di dalam sungai yang dalam untuk membaiki titi asal yang patah berkenaan.

Anda bayangkan, dengan air sungai yang semakin dalam, mereka membahayakan nyawa mereka dengan berenang di dalamnya untuk membolehkan semua yang terkandas melintasi sungai berkenaan dan pulang pada malam itu juga.

Keesokannya, dengan cuaca yang cantik dengan langit yang biru di Tanah Merah, para peserta yang terdiri daripada penternak kuda di bawah REE mengadakan program tunggangan santai daya tahan kuda atau dalam bahasa Inggerisnya Mini Endurance Joy Ride.

Cikgu Fazli berkata program joy ride ini diadakan oleh Persatuan Kuda Tanah Merah dengan sokongan REE dengan penyertaan kuda lebih 30 ekor dari pelbagai baka. Peserta joy ride adalah daripada Kota Bharu, Kubang Kerian, Pasir Puteh dan Machang.

Apa yang ditengok tu? Seorang dari penternak kuda Encik Fatah bersiap sedia sebelum memulaukan Mini Endurance Joy Ride.

“Walaupun hujan lebat semalam, kita akhirnya dapat juga mengadakan program joyride bersama rakan-rakan penggemar kuda di Tanah Merah.

“Biasanya program endurance ini melibatkan program tunggangan kuda selama empat jam dengan dua jam perjalanan pergi dan dua jam perjalanan balik sejauh 40 kilometer,” katanya.

Kami berpeluang melihat proses apabila penjaga kuda membawa kuda ke dalam sungai untuk mandi sebelum program joy ride dan kemudian mandi sekali lagi selepas program berakhir. Kami pun sempat sama-sama mandi dengan kuda dan memandikan kuda.

Selepas program joy ride, ada kuda yang kelihatan badannya memang berpeluh dengan banyak, jadi ia adalah petunjuk bahawa kuda berkenaan adalah seekor kuda yang sihat.

Remaja dan anak muda yang membantu menjaga kuda di stable penternak kuda ini sedang memandikan kuda sebelum bermulanya program Joyride, ini adalah proses penting untuk memastikan suhu badan kuda sentiasa terkawal.

Menurut para ahli yang merupakan penternak kuda di bawah REE, anda boleh datang ke Kelantan dan berhubung dengan stable-stable kuda yang ada untuk merasai pengalaman menaiki kuda, mengenali kuda dan boleh belajar menunggang kuda yang ada di sekitar negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Biasanya di Kelantan, kebanyakan kuda yang diternak akan dilatih untuk tujuan bersukan berlumba kuda melalui program lumba kuda yang banyak diadakan di seluruh negeri Kelantan.

Ada yang diadakan setiap minggu, ada yang setiap 2 minggu dan ada yang diadakan setiap bulan. Kami masih belum berpeluang hendak menyaksikan betul-betul program lumba kuda di negeri Kelantan yang memang meriah pada setiap kali diadakan.

Paling unik, kenderaan yang membawa kuda yang digunakan penternak kuda di Kelantan kebanyakannya dibuat sendiri menggunakan kepakaran sendiri bukan yang sudah sedia ada.

Kenderaan untuk membawa kuda kalau kita nampak di jalan raya tu ia dinamakan “Float”.

Negeri Kelantan amat berpotensi besar dan memang ada di peringkat dunia kerana sukan berkuda malahan penternakan kuda amat popular di dunia khususnya di negara-negara besar seperti Arab, United Kingdom, Sepanyol dan Perancis. Para pelancong dari sana boleh datang dan merasai pula pengalaman bersama dengan kuda-kuda di negara ini pula.

Che Fazli Che Mohamed atau Cikgu Fazli, (tengah) yang mengajak kami datang ke Tanah Merah, Kelantan untuk menyaksikan program yang dianjurkan untuk kekuatan ukhwah para penternak kuda khususnya di Tanah Merah.
Geng Koboi Kelate boh!!

Kebanyakan kuda yang diternak di Kelantan adalah baka dari Thailand kerana negara jiran ada kepakaran untuk pembiakan dan di Kelantan ada kepakaran untuk melatih kuda dan melatih jockey untuk tujuan perlumbaan.

Pihak yang ada dana atau berkepentingan perlu memulakan sesuatu untuk mewujudkan satu lokasi untuk menarik pelancong dari seluruh dunia dan sama-sama melihat sendiri dan berpengalaman sendiri melihat kemeriahan penternakan kuda di negeri Kelantan ini. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *