Pakej Escapade Cerana Villa Resort cara anda nikmati Kelantan dari semua pandangan budaya, makanan dan alam sekitar

Jika anda hendak menikmati pengalaman mengenali kebudayaan dan kesenian negeri Kelantan Darul Naim dari pelbagai sudut padang, pakej bersama Cerana Villa Resort yang terletak di Sering, Kota Bharu, Kelantan mungkin boleh difikirkan untuk menjadi pilihan anda.

Selama 3 hari 2 malam anda akan dibawa di sekitar Kota Bharu dan juga di Cerana Villa untuk melihat, mencuba dan merasai pelbagai pengalaman gaya orang Kelantan dengan pengalaman mengenali budaya, makanan, muzik dan juga seni bina Islam yang amat cantik.

Kembara yang menjanjikan pengalaman menarik tentang sisi masyarakat negeri Kelantan ini diberi nama Escapade Cerana Villa Resort

Sebagai pelancong, pada hari pertama seawal pukul 9 pagi anda akan dijemput di Lapangan Terbang Antarabangsa Pengkalan Chepa, dan terus dibawa melawat Collectible Museum Kota Bharu tempat di mana elemen berbentuk permainan yang dijadikan koleksi dipamerkan seperti Hot Wheels dan permainan yang jarang ditemui.

Di muzium berkenaan, anda juga boleh merasai pengalaman bermain permainan khas seperti kuiz dan mencari harta karun dan cabutan bertuah.

Selepas selesai daftar masuk ke hotel bajet yang dipilih pada kira-kira pukul 12 tengah hari, anda akan dibawa ke Cerana Villa Resort yang terletak di tepi Sungai Pengkalan Datu yang merupakan sebuah pusat peranginan eko dan budaya.

Set lauk kampung yang dikenali seperti set kenduri atau “bekwoh” yang akan anda nikmati dalam pakej Escapade Cerana Villa Resort ini.

Sejurus tiba anda akan menikmati hidangan makanan tengah hari lauk-pauk kampung umpama hidangan “bekwoh” yang merupakan dialek Kelantan yang bermaksud makan kenduri kalau di Terengganu ia bermaksud makan kenduri.

Selesai makan dengan hidangan lauk pauk kampung yang pelbagai, pelancong akan dibawa menaiki antara tarikan utama di Cerana Villa Resort iaitu menikmati cruise di Sungai Pengkalan Datu.

Perjalanan menikmati cruise Sungai Pengkalan Datu Eco Water Trail untuk ke Kampung Pulau Gajah.

Anda akan dapat menikmati pemandangan sekitar kawasan tepi sungai yang cantik, burung-burung laut berterbangan dan mencari makanan. Paling menarik, anda akan berhenti seketika dan melihat orang kampung mencari rezeki dengan mengambil buah nipah untuk dibuat air nira dan jeli dari buah berkenaan untuk dijual.

Kemudian, anda akan sampai ke Kampung Pulau Gajah untuk melawat dua kawasan tumpuan yang ada di dalam pakej kembara anda iaitu Pasar Nelayan Kampung Pulau Gajah dan anda akan melawat Masjid Ar-Rahman yang begitu unik dan dibina dari kayu dengan senibina yang amat cantik.

Orang ramai memilih ikan segar yang terus dijual di Pasar Nelayan Kampung Pulau Gajah tanpa dibawa atau dibeli oleh peraih untuk dijual di pasar.
Ruang dalaman Masjid Ar Rahman yang menyerupai seni bina Masjid Demak di Indonesia yang ada di Kampung Pulau Gajah di Pengkalan Datu.

Masjid ini dibina mengikut konsep yang sama dengan Masjid Demak yang dibina di Jawa Tengah, Indonesia.

Kemudian, anda akan kembali semula ke Cerana Villa Resort dan akan mencuba mencari Lokan iaitu sejenis hidupan laut bercangkerang seperti kepah dan ia ada di dalam kawasan lumpur di Cerana Villa dan sekitarnya.

Lokan memang habitatnya di kawasan sungai yang sudah dekat dengan kuala di muara di penghujung sebelum sungai mengalir masuk ke dalam laut.

Aktiviti mencari Lokan di tepi Sungai Pengkalan Datu, berdekatan dengan Cerana Villa Resort.

Kemudian anda akan dibawa pulang ke Cerana Villa Resort dan menikmati minum petang dan persembahan kebudayaan serta makan malam ketika melihat matahari terbenam di Restoran Terapung Cerana Villa dengan hidangan yang lazat.

Kemudian pada keesokan harinya pada hari kedua, para pelancong akan dibawa ke sebuah lagi pusat peranginan organik di Kubang Kerian kira-kira 10 kilometer dari Cerana Villa Resort iaitu Min House Camp.

Di sana pelancong akan dibawa bersiar-siar di dalam kebun organik di dalam kem berkenaan yang sudah pun mendapat pelbagai anugerah di peringkat Asia Tenggara sebagai hotel yang menepati ASEAN Green Hotel Standard. Di sana, pelancong akan di bawa melihat koloni Kelulut yang dipelihara dengan baik oleh pihak pengurusan kem.

Pemandangan dari pintu masuk ke koloni Kelulut yang ada di Min House Camp.

Selain bersiar-siar, anda akan ditunjukkan cara membuat kraftangan menggunakan buah Beluru, memasak kuih Onde-onde. Pada waktu malam, anda akan dibawa melihat kelip-kelip menaiki bot menyusuri Sungai Pengkalan Datu sebelum dibawa kembali ke hotel.

Esoknya pada hari terakhir, pelancong akan dibawa pula untuk melawat dan membeli-belah di Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu sebelum kemudian mengakhiri pakej Escapade Cerana Villa Resort dengan pengalaman dan kenangan yang tidak boleh dilupakan.

Pengusaha Cerana Villa Resort, Asri Husin merupakan peserta program Inbound Tourism Bootcamp yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun lepas dan kini beliau begitu bersungguh-sungguh mahu Cerana Villa Resort mengangkat imej budaya Kelantan sesuai dengan namanya iaitu Cerana yang merangkap C Culture, E Eco, R Retreat, A Art, N Nature dan A untuk Agro. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *