USAHAWAN PELANCONGAN INGIN TAHU APA PERANCANGAN KERAJAAN UNTUK INDUSTRI ITU BERDEPAN COVID-19

Ekoran penularan wabak pandemik Covid-19 yang melumpuhkan hampir semua negara di dunia ini, banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup dan ada yang masih ditutup sehingga hari ini serta hala tujunya pada masa depan masih lagi kelam.

Ruang lingkup ekonomi yang paling tidak menentu masa depannya ialah industri pelancongan bukan sahaja di Malaysia malahan di dunia. Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan mengeluarkan satu garis panduan atau ‘blueprint’ untuk semua usahawan berkaitan industri itu tentang bagaimana rupa dunia pelancongan pada masa akan datang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah pun menjelaskan bahawa pandemik ini akan berlarutan setidak-tidaknya dalam tempoh dua tahun lagi.

Usahawan pelancongan mencari rezeki dengan berkongsi keindahan Malaysia, bagaimana mereka mahu menjemput rezeki jika kehadiran orang ramai untuk menikmati pengalaman itu masih tidak dibenarkan.

Ada sektor ekonomi yang boleh dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) tetapi adakah pelancongan boleh dibuka dengan cara yang sama.

Jika ia tidak boleh dibuka lagi, sekurang-kurangnya ada pihak yang boleh memberikan satu penjelasan yang membolehkan para usahawan industri pelancongan melihat apa yang akan berlaku dalam tempoh mungkin enam bulan, setahun atau beberapa tahun akan datang.

Industri pelancongan melibatkan banyak cabang perniagaan, ada makanan, pengangkutan, perhotelan, produk pelancongan, taman tema, homestay, pengendali kawasan tumpuan pelancongan, pantai, air terjun, sungai dan pelancongan lasak.

Pengusaha pelancongan mahu melihat apakah perancangan kerajaan untuk membenarkan ia beroperasi kembali dan dari situ mereka boleh merancang apa yang boleh mereka lakukan untuk beroperasi semula mengikut ketetapan yang sudah diberikan oleh kerajaan.

Perancangan dan idea baru tidak akan dapat difikirkan jika tidak ada garis panduan apa yang akan dilakukan oleh kerajaan pada masa akan datang.

Yang pasti, entah berapa lama pelancong asing dari luar negara akan dilarang masuk ke negara ini. Rakyat negara ini pula, jika dibenarkan melancong, adakah mereka akan melancong semeriah dulu kerana ketika wabak Covid-19 menyerang, orang Malaysia cenderung untuk beramai-ramai melancong di luar negara.

Persatuan pelancongan sudah banyak, platform untuk usahawan pelancongan mendapatkan khidmat nasihat juga ada, bagaimanapun idea pemulihan dan perancangan pihak kerajaan untuk industri berkenaan bangkit semula masih samar-samar.

Kini, usahawa pelancongan dalam diam berharap ada penerangan dan kata-kata jelas untuk melihat peraturan atau gaya baru pelancongan yang akan berlaku dalam negara kita.

Pelancongan mencerminkan identiti dan budaya Malaysia kepada dunia, dan pelancongan memperlihatkan keindahan Malaysia kepada rakyat kita sendiri yang masih belum menyaksikannya.

Usahawan pelancongan mencari rezeki dengan berkongsi keindahan Malaysia, bagaimana mereka mahu menjemput rezeki jika kehadiran orang ramai untuk menikmati pengalaman itu masih tidak dibenarkan. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *