YOUTUBER INDONESIA MENANGIS CEMBURU DENGAN KEJAYAAN MALAYSIA

Hasil dari kebijaksanaan pemimpin negara, kecekapan petugas barisan hadapan serta perpaduan rakyat dalam mencegah penularan wabak Covid-19 dari terus buruk, rakyat dari negara jiran, Indonesia kini cemburu dengan kejayaan Malaysia dan ada yang menitis air mata melihat kejayaan itu.

Di Youtube, pada masa ini selepas tular di merata-rata di dunia tentang kejayaan Malaysia ramai pencipta kandungan video di beberapa buah negara menghasilkan video reaksi tentang langkah yang negara kita ambil untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak virus korona itu.

“Aku sangat iri, aku sangat cemburu sama kalian yang ada di Malaysia,” kata Sastra dalam videonya.

Mereka buat reaksi berdasarkan video yang dimuatnaik oleh seorang doktor gigi dari Amerika Syarikat (AS) Dr Dustin Pfundheller yang jadi viral selepas beliau memuji langkah Malaysia yang berjaya menurunkan kes jangkitan dengan drastik.

Sebelum itu, jumlah jangkitan di Malaysia ada yang tertinggi di Asia Tenggara tiga kali ganda.

Seorang personaliti Youtube dari Indonesia, About Sastra dalam video reaksinya sampai menangis apabila melihat apa yang kerajaan, petugas barisan hadapan dan rakyat negara ini buat untuk bersama-sama berdepan wabak berkenaan.

“Video ini buat bulu roma saya meremang,” katanya di awal video berkenaan yang selama 11 minit.

Video itu mengisahkan cerita Dr Pfundheller yang memperincikan satu persatu langkah Malaysia daripada kebijaksanaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kecekapan petugas barisan hadapan di bawah pimpinan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abduullah serta penyatuan rakyat serta kerja berpasukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk berdepan ujian ini.

Menurut Sastra, rakyat Malaysia beruntung dan bertuah kerana ada pakar kesihatan seperti Dr Noor Hisham yang sudah pun dianggap antara doktor terbaik di dunia dalam melalui ujian Covid-19.

“Bertuahnya Malaysia, beruntungnya Malaysia,” katanya.

BACA JUGA – Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 Pakej Terbaik Bantu Industri Pelancongan Hadapi Cabaran Covid-19 – MITA

Paling mengejutkan beliau ialah bagaimana semua lapisan masyarakat yang ada kebolehan menjahit melibatkan diri dalam penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan kerana sebelum ini pasukan kesihatan mengalami masalah kekurangan bekalan PPE.

Banyak pihak dari tukang jahit, banduan dan orang kelainan upaya (OKU) turut sama-sama terlibat menjahit pakaian keselamatan itu.

Beliau berkata kejayaan Malaysia amat memberikan inspirasi dan video berkenaan membuatkan dirinya menjadi terlalu emosi dek kerana terlalu cemburukan Malaysia.

“Aku sangat iri, aku sangat cemburu sama kalian yang ada di Malaysia,” kata Sastra dalam videonya.

Sastra kagum tentang bagaimana kerajaan dan rakyat serta semua pihak boleh bekerjasama dengan sangat baik dari lapisan masyarakat yang paling bawah sehingga ke yang paling atas.

“Kita perlu mempelajari sesuatu dari Malaysia, kita perlu menjadikan Malaysia sebagai negara contoh.

“Saya berasa amat sedih kerana saya tidak mendapat apa yang ada di Malaysia di negara saya kerana beberapa orang hanya memikirkan kepentingan mereka sahaja dan masyarakat masih kurang pendedahan tentang betapa pentingnya untuk menjaga diri,” katanya.

Beliau amat berharap kerajaan Indonesia akan dapat menonton video berkenaan supaya negara Garuda itu lebih tegas dalam melaksanakan undang-undang khususnya berkaitan perintah berkurung atau di Malaysia dipanggil Perintah Kawalan Pergerakan.

Hari ini, hari pertama Peritah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa sehingga 31 Ogos 2020 sebagai ruang masa untuk negara kembali pulih dengan membuka semula hampir semua sektor ekonomi di seluruh negara.

Sebelum ini ialah fasa PKP Bersyarat iaitu dari 13 Mei hingga 9 Jun. Hasil dari pematuhan tinggi rakyat serta kecekapan pentadbiran kerajaan negara berjaya mengurangkan kadar jangkitan sehingga kini hanya 1 angka sahaja dan semalam tiada jangkitan melibatkan warganegara Malaysia dilaporkan. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *