COVID-19 : Jangan Sampai Kerajaan Ambil Tindakan Betul, Tapi Orang Ramai Salah Bertindak

Negara Malaysia sudah terbukti dengan langkah yang diambil kerajaan kini berjaya menangani jangkitan wabak pandemik Covid-19 daripada merebak dengan teruk di dalam negara dan sekarang keadaan di dalam negara beransur pulih.

Sudah dua kali, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa jangkitan di dalam negara dalam kalangan rakyat tempatan adalah sifar.

Bagaimanapun, kita mesti berharap dan berdoa supaya orang ramai tidak alpa dan leka daripada terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk terus mengekalkan keadaan ini sehingga negara betul-betul berjaya pulih dari pandemik Covid-19 ini.

Negara kita kecil sahaja dengan penduduk 30 juta orang rakyat, kalau kluster besar macam di Itali dan Amerika Syarikat (AS) wujud dan ia menjadi buruk, boleh pupus ramai rakyat kita khususnya warga emas yang paling berisiko dijangkiti wabak Covid-19 dan berisiko tinggi maut.

Jangan nanti, kerajaan Malaysia ambil tindakan yang betul tetapi rakyat yang menghala ke arah yang salah.

Ini berikutan, amaran dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa terlalu banyak negara yang cuai dalam langkah mereka berdepan wabak pandemik itu sekali gus menyaksikan keadaan tidak akan kembali normal dalam masa terdekat.

Pada 12 Julai 2020, ada 230,000 kes jangkitan Covid-19 baharu dilaporkan di seluruh dunia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pandemik itu akan terus menjadi semakin buruk kecuali orang ramai berdisiplin melakukan penjarakan sosial, selalu membasuh tangan, memakai pelitup mulut dan hidung serta tidak keluar rumah jika tidak sihat.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sesetengah negara yang bertindak melonggarkan perintah berkurung, kini berdepan kebangkitan semula virus itu kerana tidak mengikut langkah yang telah terbukti dapat mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.

“Saya mahu berterus-terang dengan anda. Tidak akan berlaku kembali kepada ‘normal lama’ pada masa depan setakat yang dapat diramalkan.

“Biar saya menyatakan tanpa berselindung: terlalu banyak negara menuju ke arah yang salah.

“Virus itu kekal musuh nombor satu kepada awam, namun banyak kerajaan dan orang mengambil tindakan yang tidak menggambarkan keadaan berkenaan,” katanya pada sesi taklimat secara maya kepada media.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika memberikan taklimat secara maya pada 13 Julai 2020 lalu.

Sekarang ini, kalau kita lihat di beberapa lokasi seperti restoran, jeti dan pasar raya, ada rasa bimbang kerana orang ramai tidak mengamalkan penjarakan sosial dan juga tidak memakai pelitup mulut dan hidung.

Di jeti untuk ke pulau-pulau peranginan sekarang ini yang sudah dibuka semula, orang ramai sudah mula berhimpit dan berkumpul serta tidak menjaga jarak.

Pita pelekat yang diletakkan di atas lantai untuk menjaga jarak sosial pun sudah tidak diendahkan lagi. Janganlah leka kerana jika ada satu sahaja kes di dalam kelompok orang yang berkumpul ramai-ramai ia akan mewujudkan kluster yang besar dan angka jangkitan akan kembali melonjak tinggi.

BACA JUGA – Youtuber Indonesia Menangis Cemburu Dengan Kejayaan Malaysia

Mereka yang sudah dijangkiti tapi tak bergejala bila pulang ke rumah bersama pula dengan isteri, anak, rakan-rakan serta ahli keluarga dan menjangkiti mereka pula. Kalau ada yang enggan menjalani saringan pula dan menjangkiti ramai lagi, negara kita pun akan ikut sama macam negara lain yang ambil tindakan salah itu.

Lama kita hendak sampai ke peringkat ini dan lebih tiga bulan kita kena berkurung di rumah. Jagalah jarak dengan orang lain, pakai topeng dan sentiasa basuh tangan supaya kita terus berjaya.

Negara kita kecil sahaja dengan penduduk 30 juta orang rakyat, kalau kluster besar macam di Itali dan Amerika Syarikat (AS) wujud dan ia menjadi buruk, boleh pupus ramai rakyat kita khususnya warga emas yang paling berisiko dijangkiti wabak Covid-19 dan berisiko tinggi maut. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *