Usahawan Pelancongan Di Negeri Sembilan Tarik Nafas Lega, T-VAC Kini Di Negeri Mereka

Usahawan industri pelancongan di Negeri Sembilan boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh mendapat manfaat khidmat nasihat perniagaan secara percuma melalui program Klinik Nasihat Perniagaan Maya Pelancongan (T-VAC) yang dianjurkan oleh platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dan disokong kuat oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun melancarkan Negeri Sembilan Produktif iaitu nama untuk program T-VAC di negeri adat perpatih itu bertempat di Kediaman Rasmi beliau di Seremban.

Ketika negara dilanda wabak pandemik Covid-19 awal tahun ini, usahawan industri pelancongan di seluruh negara mengalami masalah apabila operasi serta pendapatan mereka terbantut ekoran kekurangan pelancong yang datang ke produk pelancongan mereka.

“Kehadiran MPC dan TPN dengan program TPN dengan program TPN Virtual Advisory Clinic atau T-VAC, satu program khidmat nasihat pelancongan secara maya, amat tepat dengan usaha yang dirancang oleh kerajaan negeri,” katanya.

Pada 18 Mac, keadaan menjadi lebih buruk apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan membuatkan mereka mesti menghentikan operasi.

Program T-VAC hadir untuk memberikan khidmat nasihat kepada para usahawan ini untuk mengenalpasti langkah dan apa yang boleh dibuat untuk memulihkan kembali perniagaan mereka serta menstabilkan kembali operasi serta kembali mula beroleh pendapatan.

Menurut Aminuddin, kerajaan negeri menyambut baik kerjasama dengan MPC dalam meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara.

“Hari ini kita melihat satu bentuk usaha sama di antara kerajaan negeri, MPC dan TPN di bawah seliaannya dalam membantu pengusaha-pengusaha industri pelancongan yang amat terkesan dengan impak penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam ucapan perasmian beliau semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap merasmikan program T-VAC Negeri Sembilan Produktif di kediaman rasminya di Seremban, semalam.
Datuk Seri Aminuddin (dua, dari kiri) menandatangani poster Pelancaran TPN Virtual Advisory Clinic (T-VAC) Negeri Sembilan sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman (tiga, dari kanan) dan Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis (kiri sekali).

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan turut menggerakkan kempen “Jom Teghojah Nismilan” yang telah dimulakan sejak 10 Jun yang lalu untuk memberi tumpuan kepada langkah kemas kini senarai produk pelancongan, meningkatkan promosi dan memberi pengiktirafan kepada produk yang dijadikan sebagai ikon pelancongan negeri.

“Kehadiran MPC dan TPN dengan program TPN dengan program TPN Virtual Advisory Clinic atau T-VAC, satu program khidmat nasihat pelancongan secara maya, amat tepat dengan usaha yang dirancang oleh kerajaan negeri,” katanya.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman ketika menyampaikan ucapannya, semalam pada majlis pelancaran Negeri Sembilan Produktif.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman dalam ucapannya berkata MPC sentiasa bersedia menjalankan usaha sama strategik dengan kerajaan negeri dalam mengorak langkah ke arah program Negeri Sembilan Produktif.

“Negeri Sembilan merupakan negeri kedua bekerjasama dengan MPC dan TPN melancarkan program ini di peringkat negeri,” katanya.

Sebelum ini, negeri pertama program T-VAC dilancarkan di peringkat negeri ialah Pahang.

T-VAC telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 8 Mei yang lalu.

BACA JUGADunia Harus Tahu, Kelantan Berpotensi Besar Jadi Tempat Pelancongan Tumpuan Sukan Berkuda

Beliau berkata Model Khidmat Nasihat Perniagaan Secara Maya atau Business Advisory Clinic ini diusahakan bersama dengan sembilan Nexus Produktiviti serta unit-unit berkaitan di MPC selepas melihat keadaan industri yang terjejas berikutan krisis Covid-19.

“MPC menyedari bahawa terdapat keperluan yang mendesak untuk maklumat berkaitan cadangan penyelesaian dalam menghadapi waktu yang mencabar ini, sampai kepada para pemain industri untuk mereka merencanakan dengan lebih efektif pelan dan strategi pemulihan perniagaan,” katanya.

Bagi Pengerusi atau Champion TPN, Uzaidi Udanis, beliau berkata sebagai wakil industri pelancongan industri berasa amat terharu dengan sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha membina semula industri pelancongan negara secara amnya.

Champion Tourism Productivity Nexus (TPN) Uzaidi Udanis.

“Apa juga bentuk bantuan dan sokongan yang dihulurkan amatlah bermakna kepada kami para pemain industri pelancongan memandangkan kepayahan yang sedang kami alami berikutan impak Covid-19.

“Tourism Productivity Nexus (TPN) merupakan suara industri, ia ditubuhkan di bawah mandat Malaysia Productivity Blueprint (MPB) dengan diterajui oleh pemain industri sendiri dalam usaha mengukuhkan jalinan kerjasama awam-swasta yang lebih berkesan, mapan dan berdaya saing,” katanya.

Program T-VAC akan menampilkan panel Penasihat dari TPN secara maya melalui sidang video memberikan khidmat nasihat berkaitan perniagaan pemain industri berkenaan secara satu dengan satu memberikan fokus kepada langkah-langkah untuk memulihkan kembali perniagaan termasuk nasihat berkaitan kewangan.

Datuk Seri Aminuddin memberikan beg sekolah kepada anak-anak yatim sekitar Port Dickson dan Jelebu.

Pada program semalam juga, Aminuddin turut meraikan anak-anak yatim dari sekitar Port Dickson dan Jelebu dengan memberikan mereka beg sekolah baharu. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *