Atas Sebab Apa Pun, Jangan Berani Minum Peluntur Atau Bleach!!
2 min read
Apa pun yang berlaku atau alasan apa pun, anda jangan sesekali minum cecair peluntur atau kita kenal sebagai Clorox kerana ia adalah racun. Ia adalah peluntur dan ia bersifat menghakis. Ia adalah amat berbahaya jika diminum, boleh membawa maut.
Seorang wanita sampai dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas selepas minum peluntur dengan sejenis kopi yang dikatakan boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Ini kes terpengaruh dan terpedaya yang membawa nahas.
Mangsa bernama Siti Hajar Abdullah, 30 tahun berasal dari Gua Musang, Kelate. Katanya, dia tidak ada merasa kesan selepas minum campuran kopi dan cecair peluntur itu, tapi dia sesak nafas seminggu selepas itu iaitu pada hari Khamis 9 Ogos.
Memetik laporan Mstar Online, dia berkata dia tidak tahu bagaimana dia mudah terpedaya dengan kata-kata peniaga berkenaan.
“Saya pun tidak tahu kerana saya ni orang kampung sahaja, saya tidak tahu yang minum peluntur itu bahaya.
“Semalam (Khamis) baru saya rasa sesak nafas dan seperti ‘putus’ nyawa. Anak yang berusia lapan tahun pun turut ikut saya minum sekali.
“Saya segera menghubungi suami untuk memberitahu tentang keadaan saya dan suami bawa saya ke hospital untuk dapatkan rawatan,” katanya menurut portal berita berkenaan.
Dia mengaku juga bahawa dia terpengaruh dengan dakwaan yang dibuat oleh peniaga itu tentang kononnya kebaikan kopi tersebut yang boleh mengubati pelbagai penyakit.
Sampai kena masuk hospital selama sehari.
“Doktor tak tolak kemungkinan ini kesan sampingan kerana saya mempunyai penyakit buah pinggang, jantung dan darah tinggi,” katanya.
Wanita tersebut mendakwa telah membeli tiga kotak kopi berkenaan yang dijual pada harga RM95 sekotak.
Sementara itu, suami Siti Hajar, Mohd Fauzi Zakaria, 39, telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengasas kopi terbabit.
“Pada asalnya saya tidak tahu isteri saya minum kopi dengan cecair peluntur kerana saya tidak berada di rumah ketika kejadian.
“Lepas saya tahu mengenai perkara ini, saya marah isteri sehingga tidak bertegur dengan dia,” katanya.
Susulan kejadian, Siti Hajar cuba mendapatkan penjelasan daripada rakan yang memperkenalkan produk itu kepadanya.
Namun, rakannya bukan sahaja enggan bertanggungjawab malah meminta agar Siti Hajar tidak terlalu memikirkan mengenai perkara ini.
“Dia kata jangan percaya komen negatif yang ditulis di Facebook kerana “biasalah ada orang nak tutup periuk nasi mereka, mereka kan berniaga.
“Saya risau (kesihatan) anak saya pula sebab dia pun minum juga,” tambah Siti Hajar.
Untuk anda yang lain, atas apa pun sebab JANGAN MINUM CECAIR PELUNTUR!!