September 26, 2023

Umur 54 Tahun Baru Pertama Kali Saya Lihat Penyu Bertelur – Abdul Wahid Omar

2 min read

Rupanya seorang bekas CEO syarikat-syarikat terhebat pun ada angan-angan dan masa lapang untuk mengelamun. Bagi bekas CEO Maybank, PNB dan Telekom Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar beliau juga ada angan-angan.

Bagi beliau yang pada akhir bulan Jun lepas sudah pun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) ada angan-angan untuk melihat semua transaksi kewangan dalam dunia dilakukan secara elektronik tanpa melibatkan penggunaan wang tunai lagi.

Beliau berkongsi angan-angannya ketika tampil sebagai panel dalam rancangan Ada Wawasan terbitan Channel W, di Oasis Damansara, Rabu lepas (15 Ogos).

Menjawab soalan penonton Abdul Wahid berkata jika semua transaksi kewangan dijalankan secara elektronik, jenayah berkaitan kewangan dapat dikurangkan dengan drastik memandangkan semua urusan perniagaan ada direkodkan dan boleh dijejaki semula jika ada penipuan dilakukan.

“Itu angan-angan saya, kerana jika semua transaksi dilaksanakan secara elektronik semuanya boleh diaudit dan ‘money trail’ itu boleh dijejaki.

“Orang lain tidak akan berpeluang untuk menipu atau melakukan jenayah kewangan jika semua perkara dilakukan secara elektronik,” katanya.

Abdul Wahid turut berkongsi tentang aktiviti beliau selepas meletakkan jawatan di PNB. Beliau ketika ini berehat seketika daripada memikirkan perancangan kerjaya dan mengambil peluang masa lapang untuk mengembara melancong ke tempat-tempat impiannya.

Beliau sudah pun ke Tanzania di kawasan Safari di Serengeti, tempat yang selalu kita tonton di rancangan National Geographic dan program televisyen dokumentari berkaitan haiwan di padang-padang rumput di Afrika.

Paling lucu, pada usia beliau 54 tahun, baru pertama kali Abdul Wahid berpeluang untuk melihat seekor penyu bertelur di Cherating, Kuantan, Pahang.

“Pada usia 54 tahun, baru saya dapat melihat untuk pertama kali penyu bertelur,” katanya.

Abdul Wahid turut sempat mempromosi Royale Chulan di Cherating yang menjadi pilihan tempat penginapannya.

Berkaitan sistem kewangan di Malaysia, beliau mengakui bahawa sistem di Malaysia adalah sistem yang paling efisien untuk kedua-dua sistem konvensional manakala sistem kewangan Islam di negara ini adalah yang terbaik di dunia.

1 thought on “Umur 54 Tahun Baru Pertama Kali Saya Lihat Penyu Bertelur – Abdul Wahid Omar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *