October 3, 2023

Persembahan Dan Layanan Hebat Tersendiri Di Homestay Kampung Pachitan

2 min read

Saya begitu kagum dengan penduduk kampung yang mengusahakan Homestay Pachitan di Port Dickson kerana gaya mereka melayan kehadiran tetamu ke Homestay mereka amat profesional dan bertaraf antarabangsa.

Kunjungan para peserta program Showcasing Tourism Products (STP) Negeri Sembilan 2018 di homestay berkenaan malam tadi adalah amat bermakna apabila peserta yang terdiri daripada ejen pelancongan dilayan dengan hebat sekali lengkap dengan persembahan yang unik serta benar-benar beridentitikan kampung berkenaan.

Homestay hebat yang dah menang anugerah ini terletak di Kampung Pachitan dalam kawasan Port Dickson tetapi ia terletak agak jauh dari pantai.

Para peserta disajikan dengan menu Nasi Ambeng, kuih-muih dan kopi manakala ketika majlis makan malam peserta dapat menonton persembahan nyanyian dan muzik daripada penduduk kampung berkenaan yang cukup lengkap dan sempurna.

Turut hadir pada majlis makan malam di Homestay Pachitan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan juga Champion Tourism Productivity Nexus dan Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udanis.

Sistem audio yang bermutu tinggi, video tentang Homestay Pachitan yang dirakamkan dalam definisi tinggi HD, persembahan muzik yang merdu, pemain kompang yang unik serta penyanyi yang mempunyai suara amat powerrr!! Sudah pasti kalau penyanyi yang membuat persembahan malam tadi tak ada, ramai sudah penyanyi gantian yang turut mantap suaranya akan menggantikan.

Pengacara majlisnya pun boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik ketika mengendalikan majlis.

Bagi mereka yang ada syarikat pelancongan, memang wajib bawa pelancong yang menggunakan perkhidmatan anda ke Homestay Pachitan di Port Dickson ini dan menikmati layanan dan budaya penduduk Kampung Pachitan yang memang lain dari yang lain.

Jika mereka ada majlis atau program yang hendak diadakan dengan waktu persediaan yang amat singkat, sudah pasti semuanya dapat dilakukan dengan cepat memandangkan semua penduduk kampung berkenaan sudah seperti profesional dalam bab bersiap untuk mengadakan majlis.

Makanan sedap, dan para tetamu diuruskan gaya makan di restoran lima bintang siap dengan penghibur sekali. Penduduk kampung yang lain turut hadir dan sudah tentu menjadikan suasananya meriah.

Tambahan pulak ada gadis kampung yang berjalan dari meja ke meja dan mendapatkan kad bisnes para ejen pelancongan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *