Tourism Productivity Nexus : Platform Merancakkan Industri Pelancongan
2 min read
Satu platform untuk melihat perkembangan dan produktiviti industri pelancongan di negara ini sudah pun bermula dan ia akan membantu industri pelancongan memperbaiki kelemahan untuk lebih maju dan berkembang pada masa akan datang dengan lebih pesat lagi.
Selepas ini, pelancong dari luar negara atau dari dalam negara akan dapat menikmati pengalaman melancong di seluruh negara dengan lebih baik apabila produktiviti industri pelancongan negara dipertingkatkan lagi.
Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis berkata platform berkenaan yang dikenali sebagai Tourism Productivity Nexus yang bernaung di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Nexus Produktiviti adalah platform yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan produktiviti, inovasi dan mendapatkan peluang pertumbuhan baharu.
“Dengan sokongan MPC, Nexus Productivity akan menyediakan pakar produktiviti sektor tertentu dan membantu perusahaan dengan menolong mereka mendiagnosis bidang untuk ditambah baik dan menyokong pelaksanaan penyelesaian produktiviti,” kata beliau semasa berucap dalam majlis perasmian program Showcasing Tourism Products (STP) Negeri Sembilan 2018 pagi tadi.
Program STP adalah satu program di mana para penggiat atau player dalam industri pelancongan akan ditunjukkan produk dan lokasi pelancongan yang terdapat di sesebuah negeri, dalam program kali ini ialah di Negeri Sembilan.
Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, beliau berkata Nexus Produktiviti akan menjadi seperti mata di langit yang boleh melihat perjalanan industri pelancongan dan ia akan mengenalpasti halangan atau rintangan yang menghalang industri pelancongan daripada terus berkembang.
“Dengan sokongan kuat dari kerajaan, saya yakin bahawa Nexus Produktiviti akan dapat membantu pengusaha pelancongan untuk mengembangkan industri dengan lebih baik pada masa akan datang,” kata Uzaidi.
Majlis STP pada pagi tadi diadakan di Hotel Royale Chulan dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. Program STP menghimpunkan penggiat industri pelancongan dan juga ejen pelancongan untuk membuat rangkaian bersama untuk memantapkan lagi industri pelancongan di negara ini.
Para peserta STP dibawa dengan menaiki bas melawat tempat menarik sekitar Negeri Sembilan. Mereka melawat kawasan menarik di sekitar Seremban antaranya Galeri Tuanku Jaafar dan melawat pokok getah pertama yang ditanam di Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih itu.
Masih banyak rupanya tempat menarik untuk dilawati di Negeri Sembilan. Seremban pun tidak kurang hebatnya.