Lexis Hibiscus Hotel Malaysia Yang Pegang Dua Rekod Dunia
2 min read
Hotel Lexis Hibiscus yang terletak di Port Dickson adalah hotel yang memegang dua rekod dunia dalam Guiness World Records sebagai sebuah hotel yang mempunyai paling banyak kolam renang di dunia dan rekod pembinaan villa di atas air paling banyak dalam satu hotel.
Itu adalah satu perkara paling unik dan unggul yang terdapat di hotel ini selain reka bentuk binaan yang mirip sekuntum Bunga Raya yang boleh dilihat jelas dari udara.
Lexis Hibiscus berjaya mencipta rekod kolam renang paling banyak kerana hotel berkenaan memiliki 643 buah kolam renang kerana setiap bilik di pusat peranginan itu ada sebuah kolam renang. Walaupun, bilik di hotel Lexis Hibiscus cuma 639, dua kolam renang berdekatan lobi untuk kegunaan tetamu hotel berkenaan dan kolam di bilik suite dua tingkat yang terdapat di hotel berkenaan.
Naib Presiden Kanan Kumpulan Perhotelan Lexis Steve Woon berkata, perkara itu menjadi keunikan dan keistimewaan untuk dipromosikan kepada pelancong khususnya di luar negara kerana ada hotel dari Malaysia menjadi pemegang rekod dunia dan ia adalah satu pencapaian yang membanggakan.
“Kita perlu menyatakan ini kepada dunia bahawa ada hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan memegang rekod ini di dunia.
“Hadir ke Lexis Hibiscus adalah satu pengalaman berbeza kerana anda boleh menikmati pengalaman menginap di bilik yang mempunyai kolam renang peribadi di setiap bilik,” katanya ketika menyampaikan pembentangan berkenaan hotel Lexis Hibiscus kepada peserta program Showcasing Tourism Products (STP) Negeri Sembilan semalam.
Bertempat di Lexis Grand Ballroom, Steve menyampaikan pembentangan itu menjelaskan tentang keistimewaan hotel berkenaan yang merupakan produk industri pelancongan untuk ditawarkan kepada pelancong dari luar dan dalam negara.
Para peserta yang terdiri daripada ejen pelancongan dan blogger turut diberikan peluang menginap di bilik di Lexis Hibiscus di Sky Pool Villa yang berkeluasan 955 kaki persegi yang amat selesa.
Hotel Lexis Hibiscus turut menyediakan kemudahan yang amat selesa untuk pihak tertentu mengadakan majlis atau aktiviti seperti tembuilding, mesyuarat, perkahwinan dan persidangan.
Selain Lexis Hibiscus, Steve turut menyatakan bahawa kumpulan Lexis turut mempunyai hotel dua lagi hotel di Port Dickson iaitu Lexis dan Grand Lexis serta Lexis Suites di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Para peserta program STP kemudiannya dibawa dengan bas melawat beberapa lokasi produk pelancongan di sekitar Port Dickson iaitu Pusat Edu-Tourism Sungai Menyala, Dickson Dragon Cruise dan PD Dream World Upside Down dan 3D.
Program STP Negeri Sembilan adalah anjuran Tourism Productivity Nexus dengan kerjasama Malaysia Inbound Tourism Association (MITA). Turut bersama dalam lawatan berkenaan ialah Presiden MITA, Uzaidi Udanis.