Tidak Sengaja Mengaku Pengganas, Visa Ke AS Ditolak

Kalau mahu isi borang penting, kena perhati betul-betul petak yang perlu ditanda dan apa butiran yang perlu diisikan.

Itulah yang berlaku ke atas seorang wanita yang mahu bercuti ke Amerika Syarikat (AS) tapi permohonan visanya ditolak kerana secara tidak sengaja mengaku di dalam borang permohonan kepada Jabatan Imigresen AS sebagai penggannas.

Wanita itu Mandie Stevenson berumur 29 tahun, dari Falkirk, Scotland ingin memohon visa dan penerbangan ke New York.

Dia dan teman lelakinya, Ross Malcolm merancang untuk menaiki penerbangan ke negara Uncle Sam itu Sabtu lepas.

Bagaimanapun dua hari selepas perancangan itu, Mandie yang didiagnos menghidap kanser dikejutkan dengan berita bahawa permohonan visanya ditolak.

Ia disebabkan kesilapannya mengetik satu kotak di dalam borang permohonan yang bertanya sama ada dia mahu terlibat, atau pernah terlibat dalam aktiviti pengganas, pengintipan, sabotaj atau pembunuhan beramai-ramai.

Cubaan pertama Mandie untuk mengisi borang permohonan visa secara dalam talian menggunakan tablet pintar begitu mengecewakan, membuatkan dia mengisi semula dengan tergesa-gesa sehingga membuat pilihan pada kotak berkenaan secara tidak sengaja.

Pasangan itu pada mulanya diminta untuk menangguhkan perjalanan mereka selama sebulan.

“Saya tidak percaya ia berlaku,” katanya.

Mandie bernasib baik kerana dapat membuat perubahan pada rancangan percutiannya.

Dia bagaimanapun terlepas peluang untuk menyaksikan perlawanan hoki ais.

“Saya boleh ketawa mengenainya sekarang tetapi ia merupakan pengajaran untuk mengambil perhatian terhadap borang-borang permohonan ini dan peringatan kepada lain untuk membuat semakan beberapa kali,” katanya dipetik Mirror Online UK.

Leave a Comment