December 9, 2023

Homestay Kampung Lonek, Kunjungan Yang Pasti Akan Cipta Kenangan

3 min read

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, orang ramai nampak lebih gemar menginap di homestay daripada menginap di hotel-hotel. Ada macam satu perkembangan budaya memilih homestay untuk didiami sementara beberapa hari untuk bercuti atau untuk urusan kerja.

Biasanya, homestay akan jadi pilihan jika ada urusan hendak menghadiri kenduri, meraikan ahli keluarga konvokesyen ataupun menghantar rombongan meminang. Kalau di sekitar Negeri Sembilan, di daerah Bahau, Jempol atau Batu Kikir, admin boleh cadangkan homestay mana yang anda perlu pilih yang selesa dan sempurna.

Anda harus memilih Homestay Kampung Lonek yang terletak di daerah Batu Kikir kira-kira 9 kilometer dari pekan Bahau. Tempat ini terletak dari sebahagian dari laluan Bahau ke Temerloh. Kalau hendak cerita tentang suasana, ia amat cantik kerana ia terletak dalam kawasan sawah padi di Negeri Sembilan.

Biasanya, kalau sawah padi memang suasananya tenang dan keadaan pada malamnya adalah sejuk dan dingin. Sesekali pada waktu tengahari terasa lah juga terik panasnya tetapi kebanyakan rumah homestay di Kampung Lonek dah siap ada pendingin udara.

Ia diuruskan oleh Koperasi Homestay Lonek atau Kolonek dengan Puan Badariah sebagai Pengurus Homestay. Kalau hendak sekadar singgah dan menginap, ada banyak pilihan jenis chalet yang semuanya selesa dan rumah yang boleh memuatkan ramai orang untuk menghadiri apa-apa majlis.

Koperasi berkenaan diterajui oleh Pengerusinya Puan Nor Asiah Haron.

Macam-Macam Program Menarik Ada

Tarikan utama di Homestay Kampung Lonek ialah program pengalaman homestay yang menyediakan pelbagai program menarik secara hands-on untuk orang ramai dan peserta. Daripada pelajar tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar universiti, syarikat korporat atau agensi kerajaan semua sudah mengadakan pelbagai bentuk program di sini.

Anda akan ditunjukkan demonstrasi memasak dodol, membuat empeng padi dan masak onde-onde. Pasukan yang menguruskan homestay ini memang pakar dan amat profesional dalam mengendalikan demonstrasi-demonstrasi ini. Paling unik ialah program Mengoca Ikan atau menangkap ikan guna tangan di dalam parit di tepi sawah.

Jika dalam program besar melibatkan organisasi, para peserta akan ditempatkan bersama keluarga angkat di rumah-rumah kampung dan menjalani kehidupan bersama. Makan menu yang dimasak keluarga angkat, beramah-mesra bersama serta menghadiri program bersama penduduk kampung pun sama-sama.

Muafakat Penduduk Kampung Yang Harmoni

Kalau anda tinggal di Homestay Kampung Lonek, anda boleh lihat satu muafakat antara penduduk kampung yang begitu kuat dan hebat. Mereka saling bekerjasama menjaga peserta homestay serta memastikan keselamatan mereka. Senang cerita, mereka akan utamakan keselamatan dan ketenangan anda.

Mereka juga profesional dan gaya mereka uruskan homestay dah nampak hebat seperti menguruskan resort yang bertaraf lima bintang. Keadaan rumah homestay yang bersih dan kemudahan lengkap memang tidak dapat dinafikan. Memang bersih selesa dan menyeronokkan.

Sekali anda tinggal di Kampung Lonek biarpun untuk tempoh sekejap, pasti akan ada kenangan yang anda tidak boleh lupakan dan akan bawa balik bersama kerana ia sudah tersemat dalam ingatan anda.

Pilihan Makanan Yang Banyak Dan Sedap

Kalau anda sekadar menginap di Homestay Kampung Lonek buat sementara waktu, anda tidak perlu risau pasal makan-makan. Dalam 9km ke pekan Bahau, macam-macam pilihan makanan ada, ada KFC dan Pizza Hut serta bermacam-macam pilihan menu masakan Melayu dan ala-ala Thailand.

Sebelah pagi jika hendak sarapan pun sama, dari menu tradisional ke menu sarapan moden ada hanya menanti anda sampai dan menikmatinya sahaja.

Kalau ada hal atau kerja atau apa-apa sahaja di sekitar Bahau dan Batu Kikir, Negeri Sembilan memang sesuai kalau anda pilih homestay di Kampung Lonek ini untuk korang stay dan menginap kerana ia pasti akan jadi kenangan dan pengalaman antara yang berharga dalam hidup anda.

Crew Homestay Kampung Lonek, sentiasa menunggu kehadiran anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *