Penyanyi “Suci Dalam Debu” Sudah Tiada Lagi

Kita sudah kehilangan satu lagi permata cukup berharga dalam bidang nyanyian iaitu Saleem Iklim yang meninggal dunia pada pukul 6 pagi tadi. Bagi mereka yang lahir sekitar tahun 80-an, kehilangan Saleem pasti akan terasa kerana kebanyakan mereka membesar dengan lagu-lagu nyanyian beliau yang bersama dengan kumpulan Iklim.

Saleem atau nama sebenarnya A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ketika berusia 57 tahun.

Berita itu disahkan oleh anak tiri Saleem, Iera Fakhira menerusi laman sosial Facebooknya.

“Ayah saya A.M Salim Abdul Majeed atau lebih dikenali dengan nama Saleem telah menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 6 pagi tadi…

Jenazah arwah Saleem, ketika ini masih berada di hospital dan dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Bukit Mahkota, Cheras untuk diuruskan.



Allahyarham Saleem yang popular bersama kumpulan Iklim menerusi lagu Suci Dalam Debu, dimasukkan ke HUKM akibat kemalangan jalan raya pada 21 September lalu kerana mengalami patah tulang rusuk.

Sebelum ini, ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyebarkan berita palsu kematian Saleem di laman media sosial menyebabkan para netizen marah dengan tindakan itu.

Sama-samalah kita berdoa akan kesejahteraan roh arwah Saleem dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Leave a Comment