Program Showcasing Tourism Product (STP) Unik Kerana Libatkan Semua Peringkat Industri Pelancongan
3 min read
Program Showcasing Tourism Product (STP) adalah satu program yang unik kerana ia melibatkan semua peringkat industri sehinggalah ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana semua pihak diperlukan untuk merealisasikan kejayaan industri pelancongan di negara ini.
Pengerusi Tourism Productivity Nexus dan Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MiTA) Uzaidi Udanis berkata industri pelancongan adalah satu persaingan hebat dan penggiat industri di negara ini tidak perlu lagi duduk dalam zon selesa dan terus komited berusaha meningkatkan kualiti produktiviti pelancongan.
“Program STP ini sangat unik dan melibatkan semua peringkat industri dari peringkat persekutuan, negeri dan juga PBT komited sebagai merealisasikan industri pelancongan ini.
“Sebenarnya industri pelancongan adalah satu pasaran dengan persaingan yang besar, saya baru balik dari China dua hari lepas. Di sana kita ada Pavilion, Pavilion Malaysia. Saya tengok Thailand, Vietnam dan Kemboja negara-negara yang kita tidak boleh bayangkan mempromosikan pelancongan melakukan tugas yang baik dan agresif.
“Kita di Malaysia ini tidak mahu duduk dalam ‘comfort zone’, dan tengok, kalau hotel kita ni 40 peratus macam mana kita nak tingkatkan jadi 50 peratus, kalau hotel kita 50 peratus macam mana kita nak tingkatkan 60 peratus itulah produktiviti yang kita perlukan,” kata Uzaidi ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis pelancaran STP di The Zenith Hotel, Kuantan hari ini.
Beliau mengambil contoh, tragedi yang berlaku di Phuket, Thailand baru-baru ini apabila ada nahas melibatkan bot yang menenggelamkan ramai pelancong.
Uzaidi berkata ekoran daripada tragedi itu kehadiran pelancong China ke Thailand merosot dengan mendadak.
“Jadi, kerajaan Thailand dia tengok macam mana hendak tingkatkan kehadiran pelancong China, bagaimana hendak tingkatkan ketibaan pelancong dari China.
“Baru-baru ini, kita ada Golden Wings, ia adalah satu tempoh di mana pelancong China akan pergi melancong ke mana-mana, seramai 100 juta pelancong daripada China akan pergi ke satu tempat untuk melancong. Jadi kerajaan Thailand buat keputusan untuk memberikan visa percuma, tak perlu mohon visa.
“Dengan adanya keputusan ini, peningkatan pelancong daripada China ke Thailand telah mendadak,” katanya.
Beliau berkata ada harapan untuk penggiat industri dan kerajaan bersatu serta bekerjasama dan kerajaan yang baru mendengar apa keperluan industri pelacongan di negara ini.
Menurut Uzaidi, Pahang adalah satu negeri yang amat tepat untuk mempromosikan pelancongan ke Malaysia kerana ia ada segala-galanya tarikan pelancongan.
“Pahang adalah tempat terbaik kerana ia ada semua, dia (Pahang) ada Cameron Highland, dia ada Taman Negara dia ada pulau dia ada semualah, gua, ikan, jadi Pahang adalah satu negeri yang kita perlu maksimumkan kedatangan pelancongan China daripada golongan berpendapatan tinggi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pahang, kerana telah menubuhkan satu platform yang dinamakan Biro Pelawat dan Konvensyen untuk kita menarik lebih ramai pelancong terutamanya daripada China,” kata Uzaidi.
Program STP di Pahang adalah program ketiga selepas yang pertama di Seremban, Negeri Sembilan, di Terengganu dan di Kuantan, Pahang. Majlis hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang Datuk Seri Sharkar Shamsudin.
Menurut Uzaidi, selepas ini program STP akan diadakan pula di negeri Sarawak dan Sabah bulan depan.
Para peserta yang terdiri daripada penggiat industri di bawa melihat dan merasai sendiri pengalaman di beberapa lokasi pelancongan di negeri Pahang.
Program STP diadakan dengan kerjasama Tourism Productivity Nexus dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Di Kuantan, antara program yang diadakan ialah sesi Business Matching di antara pembekal produk pelancongan tempatan dan agen pelancongan, sesi forum bagi membincangkan isu terkini dalam industri pelancongan dan sesi konsultasi secara bersemuka tentang Productivity Gain Measurement (PGM).