Merayau Di Pahang, Dari Gajah Ke Terowong Bijih Timah
3 min read
Terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada Malaysia Inbound Tourism Association (MiTA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kerana sudi menjemput dan membawa saya merayau di Pahang meneroka apa lokasi pelancongan yang menarik yang ada di negeri istimewa ini. Saya dengan agensi pelancongan yang hebat sama-sama turut serta dalam program Showcasing Tourism Product (STP) Pahang yang menjelajah Kuantan dan Taman Negara.
Dari MATIC di Kuala Lumpur, kami dibawa merayau dan singgah dekat Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah yang terletak di Lanchang dalam daerah Temerloh. Kali kedua datang ke Kuala Gandah, ia sudah banyak berubah dengan landskap yang semakin menarik. Ia lebih mesra pengunjung.
Ia boleh membuatkan orang ramai ingin menghabiskan masa lebih lama di Kuala Gandah. Apa yang dilakukan oleh team di Kuala Gandah untuk menyelamatkan gajah yang bermasalah seperti sakit, terperangkap dan ada konflik dengan manusia seterusnya memindahkannya ke habitat baru patut dipuji dan disokong.
Luahan Encik Zul yang bertanggungjawab menguruskan pusat konservasi berkenaan bahawa mereka beroperasi dengan bajet yang agak terhad perlu diberi perhatian oleh Jabatan Perhilitan. Ia patut terus dibiarkan beroperasi kerana orang ramai sudah mengenali Kuala Gandah.
Pada tahun lepas sahaja, ia menerima kunjungan kira-kira 200,000 orang pengunjung untuk melihat kerja murni yang dilakukan mereka ke atas gajah-gajah berkenaan.
Papan Informasi Di Kuala Gandah
Kami tertarik melihat Mek Tripod atau namanya Selendang yang sudah berusia 18 tahun menurut Encik Zul. Kalau umur gajah dengan manusia dia tak ada perbezaan nisbah macam umur kucing. Ia lebih kurang sama dengan manusia. Selendang hanya ada 3 kaki kerana sebelah kakinya terkena jerat di dalam hutan.
Dek kerana selalu memakai sebelah sahaja kaki hadapan, ia tidak dapat menampung berat Selendang sehingga membuatkan badannya jatuh dan tulang bahunya terangkat. Selendang kelihatan amat sakit. Kata Encik Zul, Selendang sudah tidak boleh hidup lama lagi jika dilihat kepada keadaannya.
Jika korang datang ke sini, anak-anak pasti seronok dapat melihat gajah di depan mata mereka sendiri dengan jarak dekat. Anda boleh memberi makan kepada gajah-gajah yang ada. Mereka diberi makan pisang dan tebu.
Kami merayau lagi ikut team MiTA ke Deerland di Lanchang yang kebanyakan orang ramai terlepas pandang. Ia terletak dekat dengan Kuala Gandah. Anda boleh bermesra bersama banyak rusa-rusa yang dipelihara di situ dan turut memberi makan kepada mereka. Bukan sahaja rusa, banyak lagi tarikan menarik haiwan yang lebih cantik boleh dilihat di Deerland.
Selepas habiskan masa di Deerland, kami dapat layanan best 1st class masa makan tengahari ala-ala hutan dengan makan nasi dalam buluh dan ikan bakar. Bayangkan dapat makan ikan bakar ikan patin dan talapia serta makan dengan nasi buluh pula tu. Ikan banyak pulak di masak, memang kalau minat makan ikan jenis itu, boleh makan puas-puas.
Deerland Di Lanchang
Makan Ala Hutan Ikan Patin Dan Talapia Bakar Serta Nasi Buluh
Habis di situ, kami merayau lagi ke Sungai Lembing. Satu kawasan di Pahang berdekatan dengan Kuantan yang ada banyak keistimewaan terutamanya Muzium Sungai Lembing yang menceritakan tentang kehebatan Sungai Lembing sebagai kawasan perlombongan bijih timah yang terkenal di dunia.
Sungai Lembing pada tahun 1920 hingga 1950 adalah bandar paling kaya dengan pengeluaran bijih timah. Pada masa itu, Sungai Lembing adalah kawasan lombong bijih yang terbesar di dunia pada tahun itu. Ia ada lubang yang panjang dan terdalam sehingga 1,400 ke 2,300 kaki.
Anda kena cuba untuk masuk ke dalam kawasan terowong berkenaan untuk merasa sendiri keadaan di dalam sebuah terowong melombong bijih timah, iaitu sejenis logam yang amat popular di zaman awal-awal kewujudan Tanah Melayu. Naik keretapi kecil yang dulu digunakan bawa pelombong masuk ke dalam terowong sejauh 80 meter. Kemudian, masuk lagi berjalan kaki ke dalam terowong berkenaan sejauh kira-kira 600 meter.
Keretapi Lombong Bijih Timah Di Sungai Lembing
Jangan risau sebab keadaan di dalam terowong sejuk dan anda tidak akan merasa sesak nafas pun. Malahan anda akan berasa sejuk dengan adanya angin yang lembut bertiup. Bukanlah suasananya akan menjadi panas dan menyesakkan seperti yang anda sangkakan. Di dalam terowong sepanjang berjalan kaki, anda boleh membaca informasi yang disediakan berkaitan lombong bijih timah di Sungai Lembing.
Terowong Lombong Bijih Timah Sungai Lembing
Semua ada di Pahang, semua jenis tarikan pelancongan ada di Pahang. Bagi anda yang masih belajar atau baru mula bekerja dan hendak travel sekali sekala, banyak tempat ada di Pahang untuk korang pergi, lawat dan rasai pengalamannya.
Kami akan nukilkan pula artikel ke dua tentang merayau di Pahang ke lokasi yang penuh dengan syurga ketenangan iaitu Taman Negara.