5 Faktor Restoran Steamboat Semakin “Full House” Sekarang
4 min read
Satu masa dulu, gerai-gerai makanan yang menjual Tom Yam dan masakan ala-Thailand sentiasa dipenuhi oleh warga Malaysia yang mahu makan khususnya makan malam. Kalau anda hendak tahu, kawasan berkenaan dipanggil ‘Benteng’ pada masa itu.
Sekarang ini, kewujudan banyak restoran yang menyediakan makanan steamboat pula semakin popular dan menjadi pilihan orang ramai.
Restoran seperti Johnny’s, Pak John dan Restoran Sarang Steamboat and Grill sentiasa full house tidak kira masa makan tengah hari atau makan malam. Kalau anda tak buat ‘booking’ awal, kadang-kadang anda memang akan gagal dapat tempat duduk dan makan.
Ada 5 faktor kenapa restoran steamboat ini kini popular dan sentiasa ‘full-house’.
1. Boleh masak sendiri berangan ala-ala ‘Chef’
Ketika menikmati makanan di restoran steamboat, biasanya anda perlu masak sendiri dalam air rebusan sup dan juga ada restoran yang menyediakan kemudahan membakar (grill). Semuanya disediakan termasuk mentega dan marjerin untuk memudahkan anda masak.
Masa tu, anda boleh berangan masa sendiri dengan bahan-bahan sayuran atau makanan yang ada ala-ala anda seorang Chef yang konon-konon profesional. Campak itu campak ini, grill itu ini, dan kemudian anda makan sendiri. Gempak bukan!!
Variasi sayuran, bahan makanan dan bahan mentah yang banyak juga membuatkan makan dengan cara masak sendiri ini begitu jadi pilihan kerana anda boleh pelbagaikan menu ikut citarasa anda sendiri.
2. Boleh buat resipi ikut suka hati anda
Kalau anda lihat betul-betul, begitu banyak bahan pelbagai jenis di restoran steamboat ini sehingga membolehkan anda buat resipi sendiri. Resipi yang biasa boleh direka ialah resipi sup bersama bahan-bahan yang ada di restoran berkenaan. Sebagai contoh, campurkan Tom Yam dengan pelbagai jenis cendawan yang ada. Campurkan kuah Tom Yam dengan pelbagai jenis makanan laut.
Ada juga yang masak pelbagai jenis sayuran yang disediakan di dalam air rebusan sup pelbagai jenis yang disediakan. Bila rasa sedap, ada juga pengunjung steamboat yang datang akan pergi cari bahan itu di pasar raya dan kemudian masak sendiri di rumah.
Ada pengunjung sebuah restoran steamboat di Klang iaitu Captain Steamboat and Grill pernah dilihat hanya mengambil daging kambing yang disediakan untuk dibakar untuk dinikmati puas-puas. Kalau anda hendak makan apa sahaja makanan secara puas-puas pun boleh, bila datang lain kali, anda boleh cuba bahan lain pulak.
3. Boleh makan ‘seafood’ sampai puas
Faktor utama orang ramai datang berduyun-duyun dan duduk makan di restoran steamboat ini kerana mereka boleh makan seafood atau makanan laut sampai lebam. Bayangkan, hanya bayar biasanya kira-kira RM30 dan ada yang lebih murah anda boleh makan seafood macam-macam selagi anda larat. Ada orang hanya ambil satu jenis makanan laut yang mereka suka sahaja, ada yang ambil macam-macam.
Bukan itu sahaja, anda boleh pula cuba masak seafood itu dengan pelbagai cara, dibakar atau direbuskan dalam air rebusan steamboat. Rasanya kalau di restoran lain, kalau hendak memesan menu berkaitan udang bakar, dalam empat hingga lima ekor harganya pun dah mencecah puluan ringgit. Di restoran steamboat, hanya dengan bayaran harga berkenaan, sudah boleh makan semua jenis seafood dan ambil seberapa banyak yang mereka hendak.
Bagaimana pun, ada sesetengah restoran steamboat yang meletakkan jumlah tertentu dalam harga tertentu seperti di restoran Johnny’s. Semuanya terpulang kepada selera anda.
4. Tempat paling ‘havoc’ untuk makan ramai-ramai dengan kawan
Restoran steamboat sebenarnya memang molek untuk jadi tempat untuk anda makan beramai-ramai dengan kawan untuk apa sahaja tujuan. Untuk sambut hari lahir, untuk kawan-kawan ‘open table’ atau hanya sekadar untuk bersama-sama selepas waktu kerja seharian yang memenatkan. Makan sambil berbual dan cerita pasal kawan-kawan kemudian masak sendiri bahan-bahan steamboat memang riuh rendah jadinya.
Kalau di restoran steamboat di ibu kota, biasanya kalau masa hujung minggu ramai orang yang makan di restoran steamboat akan menyambut hari lahir kawan mereka di sana. Sekejap sekejap akan ada lagu ‘Selamat Hari Jadi’ berkumandang di pembesar suara menandakan sambutan hari istimewa salah seorang pengunjung di restoran itu.
Kalau sudah makan dengan kawan beramai-ramai, biasanya akan memakan masa berjam-jam makan di restoran itu. Sepanjang masa makan, bergelak ketawa sakan lah semua. Memang menyeronokkan!!
5. Boleh makan ala-ala artis drama Korea dan Jepun
Selain semua faktor dari nombor 1 sampai 4, yang kelima ini mungkin menjadi salah satu sebab juga. Ramai orang hendak makan di restoran steamboat adalah kerana hendak tiru ala-ala bintang drama Korea dan pelakon Jepun makan. Kalau dilihat, kemunculan banyak restoran steamboat tidak jauh dengan masa kemunculan banyak drama Korea ditayangkan di saluran televisyen di negara kita.
Kalau dah setiap hari menonton cerita Korea dekat saluran 393 dan 394 Astro tu, mesti ramai je berangan hendak makan ala-ala orang Korea tu. Biasa di restoran steamboat, alat untuk makan akan menggunakan ‘chop-stick’ dan sudah pasti gaya orang Korea. Bila makan di sana, mesti dalam hati ada rasa anda sudah jadi orang Korea atau orang Jepun.
Begitulah ragam orang sekarang ini, ramai suka berkunjung di restoran steamboat sekarang ini kerana banyak faktor yang menyeronokkan. Selain itu, mungkin ramai yang dah mula sedar tentang kepentingan untuk makan secara sihat. Makan sihat dan badan pun mungkin akan jadi kurus dan cantik.
Tidak hairanlah, bukan sahaja ramai orang suka pergi makan restoran steamboat, tapi semakin ramai juga orang yang ada impian yang hendak membuka restoran steamboat mereka sendiri. Sebab orang mesti ramai akan datang.
Begitulah, mungkin sebab restoran steamboat semakin penuh hari demi hari. Bukan orang sahaja ramai pergi ke sana malahan orang yang hendak buka restoran steamboat pun banyak.