Showcasing Tourism Product (STP) 2018 Kuantan Labuhkan Tirai Di Taman Negara
5 min read
Sebagai rakyat Malaysia, antara tempat yang anda mesti atau wajib lawati ialah Taman Negara yang terletak di Pahang. Ada banyak bandar yang boleh menjadi pintu masuk ke Taman Negara kerana ia terletak di antara sempadan tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia seluas 4,343 kilometer persegi.
Taman Negara di Pahang adalah destinasi terakhir para ejen pelancongan dan media dalam program Showcasing Tourism Product (STP) Pahang 2018 di Kuantan dan Taman Negara yang bermula 29 hingga 31 Oktober lepas. Selepas selesai dengan kejayaan program di hotel The Zenith, Kuantan untuk program bersama dengan pengusaha pelancongan, peserta STP dibawa ke Taman Negara di Jerantut dalam perjalanan selama lebih tiga jam.
Bagi ejen pelancongan yang menyertai STP kali ini, sudah pasti dalam diri mereka sudah ada rasa teruja dan tidak sabar untuk menanti apakah tarikan yang disediakan di Taman Negara untuk mereka rasai seterusnya boleh dijual pula kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia selepas ini.

Sepanjang perjalanan lebih tiga jam, peserta disajikan pemandangan alam sekitar dengan hutan tebal khatulistiwa yang cantik sebelum sampai di Han Rainforest Resort di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Kami disambut pemilik resort sendiri iaitu Tuan Kenny Ng How Ann. Han Rainforest Resort adalah resort yang terbesar di Taman Negara.
‘Black-Out’ di Han Rainforest Resort Taman Negara
Ada kelainan apabila menyambut ketibaan saya dan peserta lain dalam STP apabila bekalan tenaga elektrik terputus apabila kami sampai.
Kami menikmati makan malam yang disediakan oleh pihak resort dalam keadaan gelap diterangi cahaya dari led lampu suluh di telefon bimbit masing-masing. Seronok juga sekali sekala makan begitu. Semuanya dilupakan kerana perut dah lapar selepas lama di dalam bas mengharungi perjalanan berjam-jam.
Pujian harus diberikan kepada pengurusan Han Rainforest Resort kerana bersungguh-sungguh memastikan para peserta selesa menikmati makan malam walaupun ketiadaan bekalan elektrik.
Selepas kami diberikan kunci bilik dan menyalin pakaian, kami memulakan pengalaman di Taman Negara dengan aktiviti Night Jungle Walk atau berjalan kaki di dalam hutan pada waktu malam.
Aktiviti Night Jungle Walk Membuka Tirai
Anda jangan risau atau takut kerana perjalanan keseluruhan program mengambil masa dalam sejam sahaja dengan pemandu arah yang terlatih dan begitu ramah melayan setiap pertanyaan anda tentang Taman Negara. Ada laluan khas disediakan dengan platform yang kukuh sepanjang program untuk memastikan anda selamat daripada gigitan serangga atau hidupan liar pada waktu malam.
Anda boleh merasai ketenangan dan suasana di dalam hutan pada waktu malam. Aktiviti ini biasanya memberikan fokus kepada serangga dan haiwan yang aktif di waktu malam. Dalam aktiviti ini, saya dibawa ke satu pelantar pemandangan di laluan Night Jungle Walk yang digunakan untuk para pengunjung memerhatikan haiwan. Jika takdir untuk anda baik, mungkin anda boleh nampak gajah, harimau kumbag atau si Pak Belang.



Paling banyak, anda akan dapat melihat serangga pelbagai jenis dan yang paling biasa akan ditemui ialah ulat gonggok gergasi dan kala jengking. Kami dapat melihat bagaimana kala jengking di badannya akan memantulkan cahaya jika ia disuluh dengan lampu UV. Pemandu Arah kami brader Eddy, menggunakan ranting kayu untuk mengumpan kala jengking itu keluar dan itu adalah satu pengalaman yang amat berharga.
Macam-macam jenis serangga dapat ditemui. Jika anda bernasib baik, anda juga akan dapat melihat spesis burung dan monyet yang mungkin sedang tidur.
Hari Terakhir di Taman Negara Bermula Dengan Canopy Walkway
Hari terakhir program STP Pahang 2018 di Kuantan dan Taman Negara berakhir pada 31 Oktober 2018. Selepas selesai sarapan pagi, seawal pukul 9 pagi, kami semua bersedia untuk aktiviti pada hari itu iaitu Canopy Walk Way dan Rapid Shooting. Semua peserta terdiri daripada ejen pelancongan dibawa menaiki bot panjang untuk ke Canopy Walkway.
Awal-awal, perjalanan bot semua lancar dan semuanya berjalan seperti biasa. Selepas diturunkan di permulaan tangga untuk ke laluan kanopi, bot pun meninggalkan semua peserta.

Di Canopy Walkway, anda akan dapat merasakan pengalaman berjalan di atas laluan titi gantung setinggi kira-kira 50 meter dari aras tanah digantung di batang-batang pokok yang besar yang berusia ratusan tahun di Taman Negara. Laluan Canopy Walk adalah sejauh kira-kira 300 meter dan ada empat platform untuk anda berhenti sebentar. Platform ketiga adalah yang tertinggi iaitu 50 meter.
Jangan bimbang kerana ia adalah kukuh dan korang hanya perlu ikut apa kata pemandu arah iaitu renjer yang bertugas di kawasan Canopy Walkway itu.

Perjalanan ke atas ke tempat permulaan laluan Canopy agak tinggi dan anda akan menaiki anak-anak tangga tetapi jangan risau kerana anda dalam kawasan hutan tropika yang masih dara tidak disentuh oleh sesiapa jadi bekalan oksigen amat banyak. Anda hanya perlu berhenti dan jangan duduk dan tarik nafas seperti biasa kemudian tenangkan diri. Selepas itu sambung semula berjalan kaki.
Basah Dek Rapid Shooting Dan Perkampungan Orang Asli
Selepas habis aktiviti Canopy Walkway, barulah pengalaman sebenar bermula. Kami semua kembali menaiki bot untuk bergerak ke perkampungan orang asli suku Bateq. Sepanjang perjalanan, anda akan dibasahkan oleh pemandu arah dengan air dengan menggoyangkan bot ke kiri dan kanan sebagai pengalaman kepada anda.
Bot di sebelah pula akan merapatkan bot dan kemudian dengan satu pendayung pemandu arah bot berkenaan akan membasahkan pula penumpang di bot lain. Daripada banyak-banyak aktiviti yang ada, mungkin yang ini satu-satunya akan membuatkan anda betul-betul basah kuyup.
Anda akan seratus peratus basah, dan ia amat menyegarkan selepas berjalan jauh mendaki anak tangga dan berjalan di Canopy Walkway.

Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ke perkampungan orang asli berkenaan. Di sana, anda akan belajar mengenali budaya, adat resam dan cara orang asli suku Bateq dapat hidup di kawasan Taman Negara. Suku kaum itu adalah satu-satunya suku kaum orang asli yang dibenarkan tinggal dalam kawasan Taman Negara.
Belajar Menyumpit dan Menyalakan Unggun Api
Suku kaum Bateq ada kemahiran yang hebat dalam menyalakan unggun api dan membuat peluru damak untuk sumpit yang mereka gunakan untuk berburu. Mereka memburu kebanyakannya binatang yang duduk di atas pokok seperti monyet, tupai, musang dan burung.
Kami juga berpeluang menyumpit dan juga menyalakan api dengan menggunakan kaedah yang mereka gunakan.
Selesai sahaja program di perkampungan orang asli ini, selesai sudah program STP Pahang menjelajah ke Kuantan dan Taman Negara selama tiga hari dua malam. lengkap merasai pengalaman tarikan pelancongan yang ada di Kuantan dan Taman Negara.
Saya berterima kasih kepada Malaysia Inbound Tourism Association (MiTA) dan Malaysia Productivity Corporation (MPC) kerana menjemput Sepatah Dua ke program STP Pahang di Kuantan dan Taman Negara pada kali ini dan ia adalah satu pengalaman yang berharga.

Kalau dah pengamal media rasa bertuah apatah lagi anda yang suka melancong jika dapat merasakan pengalaman ke Taman Negara. Walaupun Kuantan merupakan sebuah bandar dan ibu negeri bagi negeri Pahang Darul Makmur, ia penuh dengan tarikan pelancongan untuk dikunjungi orang ramai.
Bak kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, kerajaan negeri Pahang akan terus mempromosikan kalau boleh semua tarikan pelancongan di negeri itu supaya lebih ramai pelancong akan hadir ke negeri Pahang dan merasai pengalaman yang amat berharga.