December 6, 2023

Enam Sahabat Raikan 400 Anak Yatim Sekitar Lembah Klang Sempena Deepavali

3 min read

Untuk melakukan perkara kebajikan sebenarnya tidak ada apa-apa peraturan asas atau keperluan lain kecuali rasa ikhlas yang mendalam. Itulah yang dilakukan oleh enam orang rakan yang pada 10 tahun lalu hanyalah mereka yang tinggal dalam kejiranan yang sama tapi kali ini dapat melakukan sesuatu yang menakjubkan.

Pada setiap tahun sejak 2009, mereka tidak pernah gagal menganjurkan program amal memberikan bantuan persekolahan dan barangan keperluan kepada anak-anak yatim dari rumah kebajikan di seluruh Lembah Klang semuanya atas satu prinsip kemanusiaan.

Tarikh 17 November lepas, kira-kira 400 orang anak yatim dari lapan rumah kebajikan menerima bantuan beg sekolah, alat tulis dan sumbangan wang tunai untuk membantu meringankan beban mereka dan memberikan harapan kepada mereka menjelang musim baru persekolahan pada tahun depan.

Sebahagian daripada anak-anak yatim yang diraikan dalam program sambutan Deepavali yang diadakan pada 17 November lepas.

Ia disampaikan dalam satu majlis sambutan Deepavali di Dewan Serbaguna MPSJ Seri Serdang di Seri Kembangan yang dianjurkan oleh mereka.

Menurut seorang daripada enam orang rakan berkenaan Krishna Muthu, ketika program pertama pada tahun 2009 mereka hanya memberikan bantuan sama kepada kira-kira 100 orang dan kini ia sudah meningkat empat kali ganda dengan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM30,000.

Bukan sahaja anak yatim, ada 10 orang warga emas turut menerima bantuan sumbangan berupa wang tunai.

Anak -anak yang diraikan bergambar kenanagan selepas menerima barangan keperluan sekolah.

Tiga orang pelajar dari elc International School Cyberjaya (elc) turut hadir membantu dalam program berkenaan. Mereka hadir menyumbangkan tenaga sebagai sebahagian daripada program khidmat komuniti yang disertai mereka.

Anuj Saripalli, Tahun 7 elc; Tej Saripalli, Tahun 9 elc dan Kavesh Saravanan, Tahun 7 elc merupakan pelajar dari sekolah berkenaan dan terlibat dalam program khidmat komuniti iaitu Duke Of Edinburgh (DoFE) dan program Junior Award Scheme For Schools (eJASS).

Dari kiri, Kavesh Saravanan, Anuj Saripalli dan Tej Saripalli, pelajar elc International School Cyberjaya.

Kavesh yang merupakan seorang Pengawas di elc berkata beliau terlibat dalam program eJASS kategori emas dan mereka perlu melengkapkan khidmat komuniti selama 18 jam dalam setahun dengan pelbagai jenis amal kebajikan untuk masyarakat. Jika berjaya, mereka akan layak ke peringkat seterusnya.

Bagi Anuj yang turut serta dalam program eJASS berkata, eJASS adalah program yang agak rendah sedikit daripada program DoFE yang lebih tinggi standardnya.

Bagi abang Anuj, Tej pula yang sudah terlibat dalam program DoFE berkata beliau menggemari program amal kebajikan seperti yang dilakukan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa dan beliau gemar membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Pada program sambutan Deepavali itu, mereka diiringi oleh dua orang guru mereka iaitu, Rita Nadesan dan Nicole Leigh Mc Donald yang mengajar Pendidikan Jasmani. Beliau berasal dari Afrika Selatan.

Bagi enam sekawan itu, Mohan Joseph, Dharma Subramaniam, Balaji Murugesu, Mani Muthu, Nagarajah Murugesan dan Krishna, mereka hanya melakukannya dengan usaha sendiri tanpa bantuan daripada sebarang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sebarang pertubuhan berasaskan politik.

“Kita tiada sebarang dana yang dikutip hanya mengeluarkan perbelanjaan apabila hendak mengadakan program sama setiap tahun,” kata Krishna kepada Sepatah Dua ketika ditemui dalam majlis berkenaan.

Anak-anak yatim diraikan dengan begitu meriah dengan pelbagai jenis sajian makanan, persembahan tarian, penampilan badut, dan maskot bagi memastikan suasana program sentiasa hidup.

Tetamu dan anak-anak yatim diraikan menikmati hidangan yang disediakan pada program berkenaan.

Usaha enam orang rakan ini membuktikan kuasa dan pengaruh tidak diperlukan jika mahu membuat amal kebajikan tetapi cukup dengan kerjasama dan usaha yang tidak mengenal erti penat.

Pada majlis itu, penghuni rumah kebajikan yang menerima bantuan ialah Mary Home dari Setapak, Raghaventhra Home dari Balakong, Rumah Keluarga Kami dari Kajang, Emmanuel Home dari Petaling Jaya, Pedro Home dari Cheras, Corner Stone Home dari Semenyih, Rumah Beribuan Kasih dari Kajang dan Sweet Care Home dari Selayang.

2 thoughts on “Enam Sahabat Raikan 400 Anak Yatim Sekitar Lembah Klang Sempena Deepavali

  1. “Charity begins at home, but should not end there. This 6 friends are great by doing charity without failed for ten years. May God bless them.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *