September 27, 2023

Sapeh : Alat Muzik Anugerah Dari Alam Semulajadi Bumi Kenyalang

3 min read

Kalau anda hendak membayangkan alam sekitar, hutan belantar, air sungai yang mengalir jernih, serta bukit-bukau yang menghijau, bayangkanlah sambil anda mendengar permainan sejenis alat muzik yang bernama Sapeh. Dalam dunia muzik, satu-satunya alat muzik yang mencerminkan keharmonian alam ialah Sapeh.

Sapeh yang juga dipanggil sampe’, sampek dan sambe’ adalah satu alat muzik yang berasal dari kaum orang Ulu di negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Apabila terdengar alunan sapeh dipetik, minda akan segera membayangkan keadaan alam semulajadi kerana Sapeh itu sendiri dicipta untuk menjadi harmoni antara manusia dengan alam sekitar.

Jika boleh disunting satu petikan video alunan permainan Sapeh, kekayaan bumi alam sekitar Sarawak yang penuh dengan keindahan cukup untuk menjadi penghias rentak irama Sapeh daripada keadaan muka bumi sehinggalah keindahan flora dan faunanya. Begitulah, yang dapat dirasakan ketenangan jika mendengar alunan muzik Sapeh.

Saya mendengar alunan irama dari Sapeh ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Sarawak seumur hidup saya pada 21 November 2018 di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak ketika majlis makan malam menghargai saya yang turut serta dalam program Showcasing Tourism Product (STP) Sarawak yang bermula dari 21 November hingga 23 November anjuran Malaysian Inbound Tourism Association (MiTA) dan Tourism Productivity Nexus.

Turut hadir pada malam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor dan Presdien MITA, Uzaidi Udanis.

Ia dimainkan dengan begitu gemalai dan sepanjang masa makan malam, semua keindahan alam yang ada di bumi Sarawak sudah terbayang di dalam minda.

Alunan Sapeh, sesuai dengan lembutnya pergerakan Orang Utan iaitu sejenis mawas yang begitu dibanggakan oleh negeri dan rakyat negeri Sarawak. Bagaimana Orang Utan memanjat pokok dengan bulunya yang cantik di dalam hutan begitu seiring dengan alunan irama permainan Sapeh.

Kini, Orang Utan hanya ada di hutan hujan Borneo dan Sumatera sahaja. Selain Orang Utan, Sapeh jika dimainkan dengan alunan muzik sejati Sarawak, ia akan jadi sebati dengan keindahan gua-gua hebat yang terkenal dunia yang ada di negeri itu. Taman Negara Mulu di Sarawak sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2000.

Di situ lah terletaknya pancang batu kapur yang tajam yang dipanggil The Pinnacles dan Sarawak Chamber iaitu ruang gua yang terbesar di dunia yang boleh memuatkan 40 buah pesawat Boeing 747. Gua Rusa yang indah juga yang memegang reputasi sebagai tempat yang mempunyai laluan gua terbesar di dunia.

Keindahan Sarawak yang dibangkitkan menerusi alunan irama Sapeh ialah keindahan sungai-sungai di negeri ini. Kalau di Kuching, Sungai Sarawak sudah sedia terletak di dalam ibu negeri Sarawak itu dengan keindahan yang sempurna. Sungai Sarawak terlekat di barat daya negeri Sarawak, Hulu Sungai Sarawak terlekat di Banjaran Kapuas dan mengalir sepanjang 217 kilometer.

Ia mengalir ke kawasan Asa Jaya di Kuching. Itu yang dapat dilihat di bandar-bandar, belum lagi aliran air sungai jernih di dalam hutan-hutan Sarawak yang masih tidak diusik dengan pencemaran.

Kalau Orang Utan dan keindahan sungai di Sarawak masih tidak mencukupi menghiasi alunan alat muzik Sapeh, kita lihat pula pada khazanah hidupan liar yang ada di negeri Sarawak iaitu buaya.

Di Sungai Batang Lupar sahaja, dikatakan ada kira-kira 70 ekor buaya menghuni sungai itu pada setiap kilometer. Walaupun ia haiwan purba yang ganas dan ada sesekali terlibat dalam serangan kepada manusia, bagaimanapun ia masih dilihat sebagai satu haiwan pemangsa yang cantik serta paling unik.

Siapa tidak ingat akan kisah si Bujang Senang, seekor buaya besar yang mengganas di Batang Lupar selama puluhan tahun sebelum berjaya dibunuh sekitar tahun 1992. Walaupu, ia tampak bengis dan ganas, buaya ada cerita tersendiri antara mereka dan rakyat Sarawak. Oleh sebab itu, Sapeh adalah nyawa serta alunan nafas negeri Sarawak.

Setiap kali Sapeh berbunyi alam sekitar serta kehijauan negeri Sarawak akan terus bernyawa dan memberikan harapan kepada negeri bumi kenyalang ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *