81 Orang Terima Faedah Pemeriksaan Mamogram Oleh MAKNA Di MD Family Clinic
2 min read
Seramai kira-kira 81 orang hadir menjalani pemeriksaan Mamogram bagi mengesan kanser payudara di Seri Kembangan dalam satu program anjuran Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada 19 November lepas dengan kerjasama MD Family Clinic. Program berkenaan dikendalikan oleh Dr Sobana L Muthu.
Program amal yang murni itu bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 petang. Menurut Dr Sobana, jumlah 81 orang itu mencapai sasaran beliau iaitu seramai 50 orang.
Wanita yang berumur 40 tahun ke atas akan menjalani pemeriksaan berkenaan secara percuma. Selain itu, wanita yang berusia 35 tahun ke atas juga boleh menjalaninya jika ada mempunyai keluarga yang ada sejarah pernah menghidap penyakit kanser payudara.
Beliau berkata bagi seorang wanita adalah penting untuk mengesan kanser payudara di peringkat awal kerana kebarangkalian pesakit akan sembuh lebih tinggi berbanding jika ia dikesan lewat.
‘Biasanya kalau cancer stage 0 dan stage 1, kalau kita berjaya kesan awal, dia punya kadar penyembuhan untuk kekal selama lima tahun ialah seratus peratus, semakin awal ia dikesan, survival rate dia akan menjadi lagi panjang,” kata beliau.

Mereka yang ingin menjalani pemeriksaan Mamogram pada hari berkenaan hadir dan mendaftar serta mengisi borang khas sebelum dibawa dengan kenderaan MAKNA untuk ke trak bergerak Mamogram yang disediakan di luar menggunakan teknlogi canggih.
Menurut Dr Sobana, selain pemeriksaan itu, wanita akan diajar oleh petugas MAKNA untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara di rumah supaya pemeriksaan boleh dilakukan secara kerap.

Beliau berkata, dalam masa kira-kira dua minggu mereka menjalani pemeriksaan, pihak MAKNA akan memberikan keputusan ujian kepada beliau untuk beliau kemudian memaklumkan kepada mereka yang menjalani pemeriksaan berkenaan. Jika ada antara mereka yang mempunyai masalah, Dr Sobana akan merujuk mereka kepada hospital pilihan mereka sama ada hospital kerajaan atau swasta.
Diharapkan lebih ramai pengamal perubatan seperti Dr Sobana akan mengadakan lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang yang jelas membantu mengesan kanser yang membunuh ini di peringkat awal supaya ia boleh dirawat.
