December 9, 2023

Pengusaha Pelancongan Perlu Bijak Tingkat Produktiviti Untuk Masa Depan Industri

3 min read

Dengan keadaan dunia perniagaan yang semakin mencabar serta ketidaktentuan ekonomi dan keadaan politik dunia, para pengusaha industri dalam ekonomi kini perlu bijak membudayakan produktiviti.

Sempena dengan program Showcasing Tourism Product (STP) Sabah yang dilancarkan hari ini, pihak yang disarankan untuk memperkasakan produktiviti ialah pengusaha industri pelancongan di pelbagai peringkat khususnya Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau berkata komitmen untuk memacu produktiviti dan menghapuskan pembaziran serta aktiviti yang tidak memberi nilai tambah kepada pelanggan mestilah menjadi perhatian.

Pada masa yang sama, kebersihan, penjagaan infrastruktur dan keindahan destinasi pelancongan dapat dipelihara dan dipertingkatkan sentiasa.

“Saya yakin dan percaya penghasilan produk pelancongan dan pengalaman pengunjung yang berkualiti, di samping mengukukah produktiviti dan daya saing sektor pelancongan, akan memastikan pertumbuhan industri pelancongan terus rancak dan mampan.

“Kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan penggiat industri pelancongan perlu mengenalpasti dan mengambil peluang baharu untuk meningkatkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan serta mencari penyelesaian bagi menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya ketika berucap merasmikan STP Sabah 2018 di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut beliau, pada tahun 2017, statistik kedatangan pelancong merekodkan seramai 3.68 juta orang dengan jumlah perbelanjaan bernilai RM7.8 bilion.

Sehingga bulan September, Sabah telah menerima kedatangan seramai 2.56 juta orang pelancong yang merupakan kenaikan sebanyak 5.4 peratus.

Ahmad Shah berkata tujuan utama pelancong ini datang melawat Sabah adalah terdiri daripada Free Independent Traveller (FIT) untuk bercuti dan ia amat sesuai dengan produk-produk pelancongan Sabah yang berteraskan eko-pelancongan, pelancongan kembara dan pelancongan luar bandar.

“Sabah mempunyai khazanah pelancongan yang boleh dibangunkan lagi terutamanya di kawasan pedalaman terdapat sekurang-kurangnya 15 produk pelancongan berpotensi di kawasan itu yang boleh dimajukan.

“Antaranya ialah Gunung Trusmadi, dan Gua Laing yang telah dikenalpasti memiliki potensi besar untuk dijadikan destinasi tarikan pelancongan bagi menggamit lebih ramai pelancong ke negeri Sabah ini,” katanya.

Menurut beliau, melalui jalan udara, sebanyak 14 buah syarikat menawarkan penerbangan ke Kota Kinabalu dengan kekerapan penerbangan mingguan masing-masing 176 bagi sektor antarabangsa dan 418 domestik beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Sementara itu, seramai 70 orang ejen pelancongan menyertai STP di Sabah, kali ini serta seramai 102 pengusaha pelancongan di Sabah turut sama hadir pada majlis perasmian yang mana turut diadakan satu sesi bersemuka antara ejen dan pengusaha untuk mempromosikan produk pelancongan di Sabah.

Negeri di bawah bayu dipilih sebagai destinasi terakhir STP selepas Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Sarawak oleh kerana mengambil contoh pengurusan terbaik pelancongan negeri Sabah yang mempunyai produktiviti yang tinggi.

Presiden MITA Uzaidi Udanis berkata antara pengurusan yang boleh dijadikan contoh di Sabah ialah kawasan tumpuan pelancongan yang ada di mana-mana hampir di keseluruhan negeri Sabah termasuk di pedalaman.

“Kadar taburan pelancongan di negeri Sabah adalah tinggi di mana di kawasan pedalaman contohnya di Kundasang juga turut ada kawasan pelancongan yang hebat dan terkenal, bukan sahaja di kawasan bandar sahaja.

“Selain itu, industri pelancongan di Sabah turut memperkasakan penduduk setempat yang turut dilibatkan bersama dalam mengusahakan industri pelancongan di negeri ini, bukan sahaja ejen tetapi masyarakat setempat juga mendapat faedah daripada industri pelancongan berkenaan,” kata Uzaidi dalam sidang media.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis STP Sabah 2018 di Kota Kinabalu.

Pada STP kali ini, kesemua ejen pelancongan di bawa melawat lokasi pelancongan menarik di Sabah antaranya KDCA Cultural Village di Penampang yang memaparkan kehidupan kaum pelbagai etnik di Sabah dan sebuah muzium peribumi di Tuaran.

Hari ini, mereka akan dibawa melawat dan merasai pengalaman berada di Kundasang, lokasi percutian tanah tinggi yang terkenal di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *