October 3, 2023

Bagaimana Uzaidi Ingin Menambahkan Jumlah Kehadiran Pelancong Dari China

3 min read
Para penggiat industri pelancongan di Malaysia kini perlu bergerak bersama-sama dan menjayakan inisiatif baru untuk bersaing dengan industri pelancongan di negara lain dalam menarik minat pelancong terutamanya dari negara China untuk datang ke Malaysia.

Para penggiat industri pelancongan di Malaysia kini perlu bergerak bersama-sama dan menjayakan inisiatif baru untuk bersaing dengan industri pelancongan di negara lain dalam menarik minat pelancong terutamanya dari negara China untuk datang ke Malaysia.

Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis berkata pesaing utama Malaysia dalam bidang pelancongan seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang sekarang memberi kemudahan visa percuma ketika ketibaan (VOA) kepada pelancong China untuk memudahkan mereka datang dan melancong di sana.

Beliau turut berharap pihak kerajaan dapat memikirkan satu mekanisme berbeza tetapi untuk tujuan sama memudahkan ketibaan pelancong dari China seperti memberikan VOA tetapi dalam jangka masa yang singkat tetapi pada masa sama memastikan keselamatan negara terjamin.

“Saya harap sangat jika kerajaan Malaysia atau lebih spesifiki Kementerian Dalam Negeri kena tengok cara bagaimana untuk memudahkan tetapi kena pelihara keselamatan.

“Mungkin kita boleh berikan dalam jangka masa terhad VOA secara percuma dan kerajaan boleh membuat saringan ke atas pelancong-pelancong ini melalui ejen pelancongan yang mereka ambil,” kata Uzaidi dalam satu temubual eksklusif.

Selain VOA, Uzaidi turut menyatakan beberapa program yang sudah diaturkan sepanjang 2019 untuk meningkat kadar kehadiran pelancong berkualiti yang berbelanja besar dari China ke Malaysia.

Menurut beliau, hari ini ada satu program fesyen kanak-kanak yang mana kanak-kanak dari China datang ke negara ini dan memperagakan pakaian tradisional Malaysia serta mempelajari tarian Malaysia serta mereka akan berada di sini selama enam hari di negara ini.

“Mereka akan turut mempersembahkan tarian yang dipelajari dalam satu konsert khas menampilkan kira-kira 250 orang kanak-kanak ini dari China.

“Mereka ini datang dan membawa sekali keluarga menjadikan jumlah mereka kira-kira 500 orang pelancong dari China untuk membuat showcase persembahan tarian di negara ini, ini adalah kali keempat MITA menganjurkan acara ini untuk menarik pelancong dari China,” kata Uzaidi.

Beliau berkata acara paling unik ialah Malaysia-China Spring Festival Carnival yang akan diadakan pada bulan depan untuk menunjukkan kepada pelancong China keunikan sambutan Tahun Baru Cina di negara ini yang berbeza dengan cara sambutan di negara China.

“Kita ingat sama rupanya lain, macam-macam tradisi yang kita ada di sini yang tidak ada di negara China.

“Antaranya ialah acara menggaul Yee Sang ialah cara sambutan di Malaysia, pada majlis itu majlis Yee Sang akan dilakukan bersama-sama dengan artis-artis. Mereka datang ke Malaysia membayar harga pakej yang tinggi untuk ke majlis itu bagi bersama dengan artis-artis.

“Saya dapat tahu artis, Shila Hamzah akan turut serta yang terkenal di Malaysia dan di China. Ini adalah aktiviti yang akan diadakan untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong dari China,” kata Uzaidi.

Di China, ada kira-kira 150 juta orang rakyat China memiliki pasport antarabangsa dan boleh mengembara ke luar negara. Uzaidi mengajak semua penggiat industri pelancongan daripada pemilik kebun sehingga ke ejen pelancongan mahupun pengendali hotel untuk sama-sama berusaha mengajak rakyat China datang ke Malaysia seterusnya meningkatkan produktiviti pelancongan negara.

Negara mensasarkan pada tahun 2019, seramai 3 juta rakyat dari negara China akan datang melancong ke Malaysia dan berbelanja besar.

Uzaidi berkata melalui platform Tourism Productivity Nexus di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) semua pemain industri perlu bergerak dalam satu pasukan sama meningkatkan daya saing Malaysia dalam pelancongan demi masa depan industri yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *