Pelajar Korea Di Homestay Pachitan, Pemenang ASEAN Homestay Standard 2019-2021
4 min read
Kalau di Negeri Sembilan, mesti anda akan terfiikir tentang adat Pepatih yang menjadi tunjang pemerintahan negeri berkenaan sejak lama dahulu. Bagaimanapun, di Negeri Sembilan, masih terdapat banyak lagi cabang budaya dan akar rumpun Melayu serta masih kekal kuat diamalkan sehingga ke hari ini.
Antaranya ialah masyarakat Jawa yang ada mendiami kawasan kampung di sekitar Bukit Pelanduk. Kampung yang paling terkenal ialah Kampung Pachitan bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga sudah dikenali di rantau Asia. Ini adalah kerana, Kampung Pachitan ialah tempatnya satu perkampungan Homestay yang mengekalkan tradisi masyarakat Jawa dalam kalangan masyarakatnya.
Homestay berkenaan baru sahaja menerima Anugerah ASEAN Homestay Standard pada 18 Januari lepas di Vietnam bagi tempoh 2019 hingga 2021. Ini membuktikan betapa Homestay Kampung Pachitan dikenali di rantau Asia Tenggara.


Saya berkunjung ke homestay ini untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama sahabat Ahmad Nadzri Ismail yang sudah lama menguruskan homestay ini bersama penduduk-penduduknya yang cukup mesra, ramah dan begitu penyayang sebagai Penyelaras.
Pada 19 dan 20 Januari lepas, ada 24 orang pelajar Korea Selatan dari Hanyang University di Seoul datang ke Homestay Pachitan untuk menjalani program pengalaman homestay di sana selama 2 hari 1 malam. Saya hendak beritahu, jika anda ada organisasi besar yang memerlukan latihan team building atau program retreat, Homestay Pachitan amat sesuai kerana ia kaya dengan budaya unik masyarakat Jawa.
Ketibaan para pelajar ini yang dibawa oleh pihak University Of Nottingham disambut meriah oleh paluan muzik daripada penduduk kampung menyebabkan para pelajar dari Korea ini terasa disambut dengan mesra oleh masyarakat Kampung Pachitan di dewan di Dataran Pachitan.


Sesekali terasa teruja memandangkan ada pelajar berkenaan yang mirip artis K-Pop dari Korea. Maklumlah, kalau dah asal dari Korea, sudah pastilah ada iras-iras begitu kerana mereka semua asal dari sana. Mereka dijamu minum petang kuih muih serta tempe goreng yang mereka makan bersama-sama dengan sambal.
Kemudian, mereka dibawa melihat tempat memproses kelapa sawit yang terletak berhampiran dewan di Dataran Pachitan. Mereka diberikan penerangan oleh wakil penduduk yang menguruskan homestay tentang buah sawit dan kegunaannya. Ada di antara mereka yang mencuba untuk makan buah sawit berkenaan.

Selepas melihat buah sawit para mahasiswa Hanyang University dibawa pula melawat ladang arnab pedaging iaitu 2Min Rabbit Farm yang diusahakan oleh Encik Asmadi. Ia satu ladang yang unik yang membekalkan daging arnab untuk dimakan. Nanti, saya akan ceritakan di artikel lain tentang ladang arnab berkenaan.

Kemudian, mereka dibawa untuk makan rambutan di rumah seorang daripada penduduk kampung berkenaan merasa buah rambutan yang manis yang sudah masak ranum. Pelajar-pelajar Hanyang University itu amat menyukai buah rambutan.
Untuk hari pertama, mereka kemudian dihantar ke rumah keluarga angkat masing-masing yang akan menjadi tuan rumah untuk mereka sepanjang mereka tinggal di kampung itu.
Malam itu, para pelajar dari Korea Selatan itu disajikan pula dengan persembahan muzik tradisional Melayu iaitu Gamelan dan mereka turut diajar bermainnya serta belajar tarian Melayu selepas menikmati jamuan makan malam istimewa. Mereka dijamu dengan makanan tradisional Jawa iaitu Nasi Ambeng.
Saya pun tidak ketinggalan dan ia amatlah sedap sekali.





Pada hari kedua, seawal pagi mereka melakukan senaman aerobik serta makan sarapan bersama keluarga angkat masing-masing. Usai makan bersila ala-ala berkelah, mereka berseronok pula dalam sukaneka di kawasan padang di halaman rumah penduduk di homestay berkenaan.
Selepas sukaneka, mereka dibawa ke rumah Encik Nadzri yang juga terkenal di Homestay Pachitan sebagai Kampungstay Kulit Kayu untuk mewarnakan batik. Para pelajar Korea itu diberikan satu helai kain batik yang sudah siap dicanting dan mereka mewarnakannya. Macam-macam gaya mewarna mereka tunjukkan, tidak kurang juga yang cantik.


Menjelang tengah hari, kira-kira pukul 11 pagi, mereka kemudiannya berkumpul di Dewan Dataran Pachitan untuk program penutup dan kemudian pulang menaiki bas melengkapkan program pengalaman homestay mereka di Homestay Pachitan.
Pada pemerhatian saya, para penduduk dan masyarakat di Kampung Pachitan begitu komited dengan homestay mereka dan begitu ramah melayan para pelajar dan melayan saya. Mereka semua mengenali nama saya seperti sudah mesra dan semua program dijalankan dengan lancar dan efisien. Masing-masing tahu peranan masing-masing apa yang perlu dilakukan untuk memastikan program berjalan lancar dengan baik.
Tidak hairanlah, Homestay Kampung Pachitan berjaya menang Anugerah Best Homestay 2014/2015 dalam Malaysia Tourism Award dan anugerah terbaru iaitu ASEAN Homestay Standard 2019 – 2021 untuk ASEAN Tourism Award.


Jika kuat muafakat, datanglah berkat sesudah datang berkat Kampung Pachitan sentiasa dikurniakan rahmat, In Sha Allah.
Anda kena hubungi En Nadzri di 019-385 9793 untuk rundingan dan merancang program pengalaman homestay untuk anda di Homestay Pachitan.